Rabu, 18 Ogos 2021 | 11:41am
Bunga kantan atau nama saintifiknya etlingera elatior digunakan untuk perencah pelbagai masakan.- Foto Rosman Shamsudin
Bunga kantan atau nama saintifiknya etlingera elatior digunakan untuk perencah pelbagai masakan.- Foto Rosman Shamsudin

Bunga hutan perencah makanan

DI utara tanah air bunga kantan antara ramuan penting untuk membuat kuah laksa, manakala di Melaka sebagai bahan wajib dalam masakan asam pedas.

Selain itu, bunga kantan atau nama saintifiknya etlingera elatior turut digunakan untuk perencah pelbagai masakan termasuk nasi goreng, nasi kerabu dan ulam-ulaman serta hiasan bagi mencantikkan hidangan.

Aroma bunga kantan yang habitatnya berasal dari hutan menjadi nilai tambah dalam masakan membuatkan sesetengahnya gemar menanam sendiri, disebabkan harga sekuntum agak mahal.

Malah, tanaman itu kerap ditanam oleh golongan lelaki, meskipun wanita yang lebih kerap ke dapur.

Dipercayai ada menggunakan sebagai ubat tradisional, selain wanita selepas bersalin mencampurkan bunga itu dalam mandian untuk menghilangkan bau badan dan menyegarkan tubuh.

Bunga kantan antara ramuan untuk nasi goreng, nasi kerabu dan ulam-ulaman serta sebagai hiasan. - Foto Rosman Shamsuddin
Bunga kantan antara ramuan untuk nasi goreng, nasi kerabu dan ulam-ulaman serta sebagai hiasan. - Foto Rosman Shamsuddin

Bagi Pensyarah di Jabatan Teknologi Mekanikal dan Pembuatan, Kolej Vokasional Slim River, Abdul Baser Tajuri, 53, beliau mula berminat menanam pokok kantan apabila melihat harganya yang mahal.

Justeru, pada awalnya hanya menanam dua rumpun pokok kantan, lama-kelamaan bertambah dan kini melebihi 100 rumpun.

Ia ditanam sepanjang jalan berdekatan pintu gerbang Kampung Balun, Slim River, Perak.

"Saya memanfaatkan tanah di tepi jalan sepanjang 200 meter ditanam dengan pokok kantan.

"Saya pernah beli sekuntum RM3, malah pada musim perayaan pernah mencecah RM5. Sejak itu saya fikir lebih baik tanam sendiri.

"Aroma bunga kantan menjadikan masakan bertambah sedap. Jika tiada bunga kantan seakan masakan kurang 'kick'," katanya yang mula menanam sejak 2016.

Mudah dijaga

Abdul Baser berkata, cara penjagaannya tidak begitu rumit dan bagi menghasilkan bunga yang lebat ia perlu dicantas batang pokok dua minggu sekali, supaya dapat mengeluarkan rumpun yang baharu dan lebih baik.

Antara hasil bunga kantan ditanam Abdul Baser. - Foto Rosman Shamsuddin
Antara hasil bunga kantan ditanam Abdul Baser. - Foto Rosman Shamsuddin

Ia perlu dibaja setiap tiga bulan. Beliau menggunakan baja organik untuk pertumbuhan lebih sempurna.

Pokok yang hidup subur dalam rumpun berkenaan perlu dibiarkan membesar dengan jarak yang sesuai bagi membolehkan bunga kantan tumbuh pada rumpun itu.

"Kalau pokok dibiarkan merimbun dan tanamannya terlalu rapat menyebabkan sukar mengeluarkan bunga.

"Biasanya dua kali dalam seminggu saya akan memetik bunga kantan sambil menebas pokok yang kurang baik tumbuhnya sihat," katanya proses tanaman selama enam bulan sebelum mengeluarkan hasil.

Pokok kantan mudah dijaga kerana risiko serangan makhluk perosak jarang berlaku kerana baunya pokok itu menyebabkan makhluk perosak tidak suka mendekatinya.

Jadikan kawasan redup

Paling menarik, daun pokok kantan yang rendang dan lebat menjadikan suasana redup dan menambahkan keindahan landskap di kawasan sekitarnya.

Kelopak bunga yang mekar berkembang menarik dan sejuk mata memandang.

Bunganya yang sudah matang biasanya berwarna merah jambu dan diambil sebelum bunga kelopaknya berkembang.

"Setiap rumpun pokok kantan mampu mengeluarkan antara 30 sehingga 40 batang bunga kantan, tetapi bergantung kepada cara penjagaannya.

"Ketinggian pokok antara dua hingga tiga meter dan daun panjang berwarna hijau menjulur ke bawah dalam rimbunan jadikan kawasan redup.

Mahu tambah tanaman

Abd Baser berkata, melihat bunga itu tumbuh dengan baik, menjadikan beliau bersemangat untuk menambah tanaman.

Abdul Baser menanam bunga kantan sejak setahun lalu selepas menyedari harga di pasaran mahal. - Foto Rosman Shamsuddin
Abdul Baser menanam bunga kantan sejak setahun lalu selepas menyedari harga di pasaran mahal. - Foto Rosman Shamsuddin

Beliau juga berazam untuk menambah lagi pokok itu dan kini setiap minggu tanaman itu boleh menghasilkan kira-kira 200 kuntum bunga.

"Spesies kantan ditanam kucup memanjang. Pada hari biasa setiap kuntum dijual 40 sen kepada peniaga di pasaran berdekatan," katanya.

Tanaman diusahakan secara sambilan untuk masa senggang dan tidak kisah menjual dengan harga murah.

"Saya rasa tenang berkebun, selepas saban hari mengajar pelajar di kolej," katanya.

Info :

* Ketinggiannya mencecah lebih dua meter

* Mengeluarkan bunga di celahan batang pokok.

* Serumpun tumbuh 10 - 15 batang pokok.

* Pokok herba berasal dari hutan

* 2 jenis bunga kantan, bunga kantan merah jambu, putih dan merah.

Berita Harian X