Sabtu, 17 Oktober 2020 | 2:11pm

Rawatan paliatif ringankan perjalanan akhir pesakit

Apabila individu dimaklumkan menghidap penyakit kronik, ia bagaikan mimpi ngeri dan mula membayangkan kesukaran serta kesakitan bakal dilalui. Keadaan akan bertambah buruk jika menghidap penyakit yang tiada harapan sembuh sekali gus menganggap ia pengakhiran hayat.

Hakikatnya, pesakit kronik yang mungkin tiada peluang untuk sembuh tidak perlu melalui saat akhir dengan kesakitan dan penderitaan, sebaliknya boleh dibantu menerusi perkhidmatan penjagaan rawatan paliatif.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penjagaan paliatif adalah perdekatan perubatan bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga mereka yang berdepan penyakit mengancam nyawa dengan mengatasi dan mengurangkan penderitaan, sama ada melalui rawatan fizikal, psikososial dan spiritual.

Rawatan fizikal tertumpu pada mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan dialami pesakit di samping merawat simptom lain yang dialami pesakit, manakala pendekatan psikososial adalah bagi pesakit, keluarga dan rakan rapat yang berdepan tekanan atau kesukaran menerima hakikat menghidap kanser, manakala spiritual menerusi pendekatan rohani berbataskan kepercayaan dan agama sesorang itu.

Rawatan paliatif tidak sama dengan euthanasia kerana ianya tidak diamalkan di Malaysia dan bertentangan dengan etika perubatan dan dari persepsi agama.

Secara amnya, lebih dari 100,000 pesakit tenat dan meninggal setiap tahun di Malaysia memerlukan rawatn paliatif dan dianggarkan jumlah ini akan meningkat sehingga 230,000 dalam tahun 2030. Di Malaysia, tidak ramai tahu mengenai perkhidmatan penjagaan paliatif, yang mula diiktiraf sebagai sebahagian bidang kepakaran perubatan selepas 2010, dan hanya memiliki 21 pakar di seluruh Malaysia (2019).

Kebanyakan pakar perubatan paliatif berkhidmat di hospital kerajaan dan hospital universiti, manakala hanya tiga pusat perubatan swasta menawarkan perkhidmatan berkaitan.

Satu daripadanya Pusat Perubatan Sunway, yang mula menawarkan perkhidmatan penjagaan paliatif sejak 2017 dan sudah menerima hampir 700 pesakit baharu dan berulang, setakat bulan lalu.

Dr Hayati memberi nasihat dan sokongan moral kepada pesakit. - Foto Eizairi Shamsudin
Dr Hayati memberi nasihat dan sokongan moral kepada pesakit. - Foto Eizairi Shamsudin

Kurangkan tekanan, penderitaan

Pakar Perunding Perubatan Paliatif dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Sunway, Dr Hayati Yaakup, berkata khidmat ditawarkan hospital itu unik untuk pesakit kanser dan yang tidak dapat sembuh seperti kegagalan buah pinggang, jantung, pernafasan, strok serta masalah neurologi lain.

Di sini ada pasukan khusus menawarkan penjagaan paliatif, merangkumi dua doktor perunding, seorang pakar bahagian pentadbiran dan dua doktor kanan serta tiga jururawat bertauliah.

Katanya, rawatan paliatif bukan untuk menyembuhkan, tetapi meringankan perjalanan terakhir pesakit yang tiada harapan sembuh serta keluarga dan rakan rapat supaya sentiasa dijaga dan dirawat, memastikan mereka tidak menderita.

"Contohnya, apabila seseorang dikesan menghidap kanser atau kegagalan buah pinggang, kita akan rawat semua simptom seperti kesakitan mendadak, sesak nafas, tidak boleh tidur atau kesan sampingan rawatan radioterapi.

"Jika pesakit berdepan tekanan seperti pesakit menyalahkan diri kerana menghidap kanser, menangis sepanjang masa atau tidak dapat menerima hakikat hayatnya semakin tiba, kita sediakan khidmat kaunseling atau dirujuk kepada pakar psikologi.

"Kita sedia mendengar luahan hati pesakit, keluarga atau rakan mereka. Jika pesakit berada di rumah, kita akan bantu keluarga atau rakan dengan mengajar cara menguruskan rawatan dan penjagaan seperti mencuci luka, memberi ubat dan sebagainya.

"Sesetengah pesakit perlukan bantuan spiritual. Kita akan minta bantuan individu seperti ustaz, paderi atau rahib, bergantung pada agama pesakit," katanya.

Beri kesan psikologi

Dr Hayati berkata, pesakit yang kurang bernasib baik dan tidak menerima penjagaan paliatif mungkin terpaksa menanggung simptom penyakit dialami tanpa rawatan, seperti kesukaran bernafas yang kritikal atau meracau sebelum meninggal dunia.

Pesakit juga mungkin fobia untuk datang ke hospital jika masih mengalami kesakitan selepas pembedahan, menyebabkan pesakit memilih terus menanggung kesakitan dan boleh meninggalkan impak yang tinggi pada psikologi.

"Contohnya, pesakit yang kanser sudah merebak ke tulang belakang. Jika tanpa rawatan onkologi, ia mungkin tidak dikesan awal menyebabkan pesakit berisiko lumpuh seumur hidup, sedangkan ia boleh dirawat dengan pembedahan, radioterapi kemoterapi," katanya.

Kongsi pengalaman rawat pesakit

Dr Hayati turut berkongsi pengalaman merawat seorang pesakit kanser pankreas berusia 30-an baru-baru ini, yang kansernya sudah merebak ke hati, jantung, paru-paru, tulang belakang, perut dan pelvis, selain kegagalan buah pinggang, hati serta serangan jangkitan kuman.

"Pasukan perubatan pada awalnya berjaya merawat masalah buah pinggang dan hati serta mengawal pendarahan dan memulihkan pernafasannya, sehingga dia berada dalam keadaan stabil.

"Tapi, apabila cuba bangun, pesakit tiba-tiba mengadu sakit tahap tinggi. Pesakit minta diberi ubat penenang kerana tidak sanggup menanggung kesakitan, dan kami pula sempat memanggil ahli keluarganya.

"Pesakit itu sempat mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarganya, sebelum diberi ubat untuk membantu kesakitannya. Keluarga pesakit sempat mengajarkan dia untuk menyebut kalimah syahadah sebelum meninggal dunia dalam keadaan tenang dan semulajadi.

"Semua itu berlaku di hadapan mata saya dan pesakit meninggal dunia dua jam selepas pesakit mengadu kesakitan yang amat sangat berkemungkinan di sebabkan pendarahan dalaman dari kanser yang cepat merebak. Menerusi rawatan paliatif, kesakitan pesakit dapat dirawat, selain sempat mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga," katanya.

Dr Hayati berharap orang ramai memahami kepentingan penjagaan paliatif dan tidak memilih untuk menanggung kesakitan, walaupun penyakit dialami tiada harapan untuk sembuh.

"Walaupun menghidap kanser atau penyakit lain yang tidak boleh sembuh, tidak bermakna anda perlu menanggung kesakitan dan pelbagai penderitaan. Datang ke hospital dan jangan biarkan diri anda merana sehingga akhir nafas," katanya.

Berita Harian X