Sabtu, 15 Ogos 2020 | 12:34pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pelancongan kesihatan Malaysia bertaraf dunia

Krediabiliti Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi industri pelancongan kesihatan tidak disangkal lagi.

Tambahan pula negara ini sebagai lokasi 'penjagaan kesihatan menakjubkan atau 'world healthcare marvel' melalui perkhidmatannya yang berkualiti dan harga berpatutan.

Imej negara terserlah di mata dunia dalam mengawal penularan COVID-19, selain Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tersenarai sebagai tiga doktor terbaik di dunia berupaya menambah mata kredit bagi membolehkan pesakit antarabangsa memilih negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Sherene Azli, berkata negara ini mampu kembali unggul menerusi aktiviti pelancongan kesihatan selepas berhadapan saat getir susulan wabak COVID-19.

Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan antaranya terus kekal berhubung dengan rakan kongsi dan pihak pemegang taruh melalui mesyuarat serta perbincangan secara langsung.

"Negara ini, mempunyai kepakaran unggul seperti untuk rawatan kesuburan in-vitro (IVF), kardiologi, onkologi, pergigian, pembedahan plastik dan beberapa bidang lain.

"Contohnya, dalam bidang IVF, kekuatan Malaysia adalah dari segi peratusan kejayaan rawatan berkenaan.

"Hospital di Malaysia mencatatkan kejayaan rawatan lebih 60 peratus secara keseluruhan, lebih tinggi daripada peratusan di peringkat global, iaitu kejayaan IVF iaitu sebanyak 50 peratus.

"Dalam bidang rawatan jantung, hospital seperti Institut Jantung Negara (IJN) dan Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) memfokuskan kepakaran dalam bidang itu, sekali gus menjadi tarikan pesakit dalam rantau ini datang ke Malaysia," katanya.

Kesinambungan perawatan berkekalan

Beliau berkata, sebelum COVID-19, negara ini berada permulaan Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 dengan sasaran pendapatan sebanyak RM2 bilion melalui industri ini dan impak sebanyak RM6 bilion, namun ia ditunda akibat pandemik ini.

"Namun, kita akan terus berusaha dan mengambil tindakan bersesuaian bagi memastikan industri ini pulih sepenuhnya kesan pandemik COVID-19, dan memastikan kesinambungan perawatan yang berkekalan.

"Kami juga dimaklumkan hospital turut melaksanakan inisiatif dalam 'menjaga' pesakit dari luar termasuk menggunakan kemudahan digital antaranya e-farmasi dan perkhidmatan rundingan dalam talian, " katanya.

"MHTC juga akan menyusun semula strategi sejajar dengan situasi semasa supaya sektor ini terus menyumbang kepada ekonomi.

"Dengan usaha kerajaan berjaya melaksanakan kawalan efektif terhadap COVID-19 menyebabkan pesakit luar rasa selamat mendapatkan rawatan di sini," katanya.

Beliau berkata, Malaysia kini boleh menyambung semula usaha dilaksanakan MHTC dengan mempergiat promosi dalam talian, meningkatkan kecekapan proses permohonan dan saringan pesakit antarabangsa serta mengeratkan hubungan bersama pihak berkepentingan mulai 1 Julai lalu.

Kini kita menarik nafas lega apabila industri pelancongan kini mulai bangkit dalam fasa pemulihan selepas kerajaan memberikan lampu hijau dengan membenarkan industri itu beroperasi semula sejak tarikh berkenaan.

"Malah, ketika PKP mula dilaksanakan pada Mac lalu, MHTC masih menerima pertanyaan dan permintaan daripada pesakit yang ingin datang ke

Malaysia untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

"Ini menunjukkan permintaan terhadap kepakaran dalam bidang perubatan di negara ini amat tinggi dan diperlukan cuma, buat masa ini, penerimaan kemasukan pelancong kesihatan ke negara kita, tertakluk pada prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan.

"Bagaimanapun, sejak sempadan dibuka untuk tujuan pelancongan kesihatan pada 1 Julai lalu, pihak hospital mula menerima kedatangan pesakit antarabangsa, namun kami mengutamakan dulu kes kritikal seperti kanser, jantung dan kecemasan dengan kemasukan tertakluk pada SOP norma baharu, " katanya.

Beliau berkata, sejak dibuka semula, pihak MHTC menerima kira-kira 1,000 permohonan daripada pesakit antarabangsa bagi tujuan pelancongan kesihatan di sini namun kebenaran diberikan berdasarkan SOP yang ketat bagi memastikan tiada penularan COVID-19 dari kluster import.

Destinasi nombor satu

Katanya, Malaysia mempunyai kelebihan dalam sektor pelancongan kesihatan di mana negara sekali gus sebagai destinasi pelancongan nombor satu membabitkan jumlah kunjungan seramai 1.3 juta pelancong pada 2019.

"Berdasarkan statistik sebanyak 60 peratus pesakit adalah dari Indonesia, diikuti China, India dan rantau Asia Tenggara. Mereka memilih Malaysia disebabkan kualiti perkhidmatan, mampu milik dan akses yang mudah.

Beberapa hospital swasta di negara ini juga berjaya menempa nama di persada antarabangsa dengan kejayaan masing-masing.

Selain itu, Malaysia terkenal sebagai destinasi pelancongan Muslim sehingga menarik perhatian pesakit beragama Islam dari Brunei, Singapura, Indonesia, negara di Teluk Arab, India dan Bangladesh untuk datang ke sini bagi mendapatkan rawatan kesihatan dan menikmati kemudahan pelancongan patuh syariah.

"Kos perubatan, hospital swasta di Malaysia perlu mematuhi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan. Kos rawatan kira-kira 40 hingga 80 peratus lebih murah berbanding rawatan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah dan Australia.

Berita Harian X