Isnin, 2 September 2019 | 7:57pm
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) menandatangani plak Perasmian Pembukaan Swiss-Garden Hotel & Residence Genting Highlands. Turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan OSK, Datuk Saiful Bahri Zainuddin (dua dari kanan). - NSTP/Rosela Ismail

Bekalan air bersih mencukupi pacu pelancongan di Genting Highlands

GENTING HIGHLANDS: Inisiatif kerajaan negeri memperkemaskan sistem rawatan air bersih bagi menampung keperluan komersil terutama di kawasan peranginan berupaya memacu sektor pelancongan setempat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata usaha dilakukan dengan menarik pelabur asing bagi menjayakan misi merawat bekalan air untuk keperluan semasa.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius masalah kekurangan bekalan air bersih di kawasan tumpuan pelancong. Pusat peranginan menjadi tumpuan pengunjung, sudah pasti memerlukan bekalan air secukupnya.


Genting Highlands Premium Outlets salah satu tempat tumpuan orang ramai. - NSTP/Rosela Ismail

Beliau berkata, kira-kira 10 tahun lalu, seluruh Genting Highlands memerlukan sekurang-kurangnya 72 juta liter air terawat setiap hari.

“Kini berlaku kekurangan bekalan, penyedia utiliti tidak dapat menampung permintaan sedia ada,” katanya ketika merasmikan pembukaan Swiss-Garden Hotel & Residence Genting Highlands di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Yang Di-Pertuan Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ishak Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Alam Sekitar dan Perladangan, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Pengerusi Eksekutif OSK Holdings Berhad, Tan Sri Ong Leong Huat; dan Pengarah Eksekutif OSK Group, Datuk Saiful Bahri Zainuddin.

Beliau berkata, menerusi misi perdagangan kerajaan negeri ke Singapura yang diketuai beliau, awal Ogos lalu pihaknya berjaya menarik pelaburan bernilai RM1.134 bilion.


Swiss-Garden Hotel & Residence Genting Highlands. - NSTP/Rosela Ismail

Wan Rosdy berkata, daripada jumlah itu, RM100 juta dilaburkan oleh I.B.N Corporation Private Limited, bagi membina loji rawatan dan membekalkan air terawat untuk menampung keperluan semasa.

Beliau berkata, pelaburan seperti ini amat dialu-alukan kerana berlaku kekurangan bekalan air di kawasan berkenaan. Operator sedia ada hanya mampu menampung bekalan kira-kira 28.2 juta liter sehari.

“Usaha ini diharap meleraikan keresahan operator pusat peranginan antaranya Kumpulan OSK yang baharu memulakan perkhidmatan penginapan iaitu Swiss-Garden Hotel & Residence Genting Highlands,” katanya.

Mengulas operasi hotel berkenaan, Saiful Bahri berkata, kemudahan penginapan terbaharu disediakan di Genting Highlands iaitu Swiss-Garden Hotel & Residence, diharap merancakkan sektor pelancongan negara.

Beliau berkata, penginapan berkonsep santai, mesra keluarga dan selesa ini juga menjadi antara tarikan terkini pengunjung ke kawasan peranginan di sini.

Beliau berkata, pihaknya memilih tanah tinggi untuk membina hotel baharu, memandangkan lokasi berkenaan dikunjungi pengunjung tempatan dan pelancong asing sepanjang tahun, bagi menikmati pengalaman berbeza dalam suasana lebih segar.

“Ramai memilih percutian di tanah tinggi disebabkan pelbagai faktor antaranya cuaca yang sejuk selain keindahan flora dan fauna yang memikat,” katanya.

Swiss-Garden Hotel & Residence Genting Highlands, hotel ke-11 milik Kumpulan OSK Group, diuruskan oleh rangkaian Swiss-Garden Hotel Resort dan Inns di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Melaka, Damai Laut, Perak, Sungai Petani, Kedah dan Johor Bahru.

Hotel 40 tingkat dengan 561 bilik menawarkan pelbagai kemudahan antaranya gimnasium, kolam renang air berhaba di atas bumbung, jakuzi terbuka, gelanggang skuasy dan tenis.

Kemudahan tambahan iaitu taman permainan dan kolam renang kanak-kanak serta menawarkan sajian menu tempatan dan antarabangsa di Kafe Garden Terrace.

104 dibaca
Berita Harian X