Sabtu, 4 Ogos 2018 | 8:28pm

Soya tak jejas tenaga batin lelaki

KACANG soya kaya dengan sumber protein daripada tumbuhan dan banyak manfaat antaranya kalsium untuk tulang, antioksidan bagi cegah penyakit kronik seperti jantung serta diabetes.

Mineral seperti kalsium, magnesium, zat besi dan phosphorous serta vitamin B kompleks terkandung di dalamnya juga amat diperlukan untuk memberi kesihatan yang baik kepada individu.

Serbuk soya yang diperkaya dengan zat secara komersial dipasarkan sebagai alternatif bagi kanak-kanak yang mempunyai alahan terhadap susu lembu.

Ia mudah dicerna dan mengandungi zat yang diperlukan untuk tumbesaran kanak-kanak.

Justeru, ada pandangan menyatakan minuman berasaskan kacang soya tidak baik untuk kesihatan lelaki sehingga boleh mengurangkan nafsu seks, adalah mitos semata-mata.

Tiada kajian tepat

Pengerusi Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed, berkata sehingga kini tiada bukti saintifik menunjukkan air kacang soya mampu mengurangkan nafsu seks lelaki yang dakwaan sesetengah pihak.

Katanya, tidak dinafikan beberapa kajian dilakukan melaporkan kesan soya terhadap hormon lelaki, tetapi keputusannya boleh dipersoalkan dari sudut teknikal.

"Malangnya, hasil kajian seperti ini digembar-gemburkan di media sosial oleh pihak berkepentingan," katanya.

Mengenai penemuan bahan kimia phytoestrogen yang menyerupai hormon estrogen pada wanita yang didakwa dapat meningkatkan risiko kanser seperti payudara, ovari, prostat, melemahkan otak (minda) dan tulang, Dr Hamid Jan berkata, ia adalah dakwaan yang tidak benar.

"Begitu juga dakwaan mengatakan jika diambil berlebihan mampu mengubah perkembangan seksual yang mungkin melemahkan kejantanan lelaki dan mengurangkan kesuburan lelaki dan wanita.

"Memang ada phytoestrogen dalam kacang soya tetapi sedikit dan tidak kuat sehingga boleh menukar sifat kejantanan lelaki," katanya.

Berita Harian X