Isnin, 8 Januari 2018 | 10:47pm
SEBAHAGIAN orang ramai yang menyertai aktiviti mengoca ikan di Sungai Muar berhampiran Empangan Bangkung. - Foto Amran Yahya
WANITA dan anak-anak mengambil kesempatan berkelah ketika aktiviti mengoca di Sungai Muar. - Foto Amran Yahya
MENGOCA adalah dialek Negeri Sembilan yang bermaksud menangkap ikan menggunakan peralatan seperti jala, tangguk atau penapis plastik. - Foto Amran Yahya
ANTARA ikan yang ditangkap. - Foto Amran Yahya
MOHD Zamri Pilus (tengah) menunjukkan ikan yang ditangkap di Sungai Muar berhampiran Empangan Bangkung. - Foto Amran Yahya
SEBAHAGIAN orang ramai yang menyertai aktiviti mengoca ikan di Sungai Muar berhampiran Empangan Bangkung. - Foto Amran Yahya

'Mengoca' ikan di Sungai Muar

KUALA PILAH: Lebih 200 orang tidak melepaskan peluang memeriahkan suasana dengan menyertai aktiviti mengoca ikan di Sungai Muar, berhampiran Empangan Bengkung, Juasseh, di sini.

Ngoca adalah dialek Negeri Sembilan yang bermaksud menangkap ikan menggunakan peralatan seperti jala, tangguk atau penapis plastik.

Seawal jam 8 pagi, orang ramai mula berkumpul untuk menyertai aktiviti yang turut dinamakan penduduk tempatan sebagai 'melepaskan empangan' apabila air empangan dilepaskan untuk pengairan sawah.

Mereka yang hadir pada aktiviti yang diadakan setahun sekali sejak 70 tahun lalu itu bukan sahaja terdiri daripada penduduk setempat, malah ada yang sanggup datang dari Jempol dan Tampin.

Sebaik empangan dibuka oleh kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), penduduk turun ke Sungai Muar berpesta mendapatkan habuan iaitu ikan puyu, sepat, haruan, lampam, tilapia, baung, sebarau dan udang galah.

Abdul Latif Othman, 57, dari Kampung Pelangai, berkata dia datang ke sungai itu kira-kira jam 9 pagi dan berjaya memperoleh 20 ekor dalam tempoh dua jam.


ABDUL Latif (kiri) menunjukkan ikan haruan yang ditangkap. - Foto Amran Yahya

MENGOCA bukan aktiviti anjuran JPS, tetapi jabatan itu memberi peluang kepada penduduk setempat menangkap ikan secara percuma. - Foto Amran Yahya

Dia yang tidak pernah melepaskan peluang menyertai aktiviti itu sejak 20 tahun lalu, berkata ikan yang diperoleh termasuk haruan, baung, lampam serta udang.

"Hasil kali ini kurang sikit kerana tahun lalu saya berjaya memperoleh lebih 40 ekor ikan dalam tempoh sama. Bagaimanapun, saya tetap gembira meneruskan aktiviti ini," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Hazry Abd Rahman, 25, dari Taman Jemapoh berkata, dia memperoleh ikan haruan, lampam, tilapia dan puyu.

Katanya, sebelum ini dia mampu mendapatkan sehingga tujuh kilogram ikan tetapi kali ini, dia hanya memperoleh dua kilogram hasil.

"Saya bersyukur dengan rezeki ini kerana jika beli sudah tentu mahal. Kekurangan ini tidak menghalang saya dan rakan lain untuk terus menjalankan aktiviti unik ini setiap tahun," katanya.


MOHD Hazry menunjukkan ikan lampam yang ditangkap. - Foto Amran Yahya

Katanya, dia yakin kawasan terbuka itu menyebabkan orang ramai bebas memancing pada bila-bila masa, sekali gus menyebabkan jumlah ikan semakin berkurangan.

Sementara itu, kakitangan JPS, Khairuddin Maamor, 55, berkata Empangan Bangkung berfungsi sebagai kemudahan pengairan di sawah padi daerah ini.

Katanya, selepas padi dituai dan sementara menunggu kerja penanaman semula, pintu empangan akan dibuka bagi mengganti air yang baharu, selain dapat membersihkan tebing sungai.

"Ketika itulah penduduk mengambil kesempatan untuk mencari rezeki kerana kedalaman air menjadi cetek dan memudahkan ikan untuk ditangkap iaitu dengan hanya menggunakan peralatan yang ringkas," katanya.

Katanya, mengoca bukan aktiviti anjuran JPS, tetapi jabatan itu memberi peluang kepada penduduk setempat menangkap ikan secara percuma.

INFO

  • Aktiviti mengoca dijalankan sejak 70 tahun lalu.
  • Anggaran ikan diperoleh setiap orang 2 kilogram atau 20 ekor.
  • Jenis ikan puyu, sepat, haruan, lampam, tilapia, baung, sebarau dan udang galah.
Berita Harian X