Rabu, 19 Julai 2017 | 12:01am

12 jam 16 tenggiri

DARI kiri; Mohd Mustakim, Mohd Hilmi, Muhd Ruhul, Mohd Shamizan, Muhd Shawal, Mohd Fizul dan Ibrahim.
DARI kiri; Mohd Mustakim, Mohd Hilmi, Muhd Ruhul, Mohd Shamizan, Muhd Shawal, Mohd Fizul dan Ibrahim.

IKAN tenggiri yang banyak di perairan Terengganu, kini lebih kemaruk 'jig' iaitu umpan tiruan besi berbanding sebelumnya gemar umpan ikan hidup iaitu selar dan kembung yang dicangkuk dalam keadaan kepala mengarah ke hadapan.

Jadi, pemancing yang ingin membawa balik banyak tenggiri bersaiz dari lubuk spesies ini di perairan itu, perlu membawa banyak jenis dan saiz 'jig'.

Seorang pemancing negeri itu, Mohd Shamizan Abdullah atau Mijan Ganu, berkata untuk memastikan jenis dan saiz jig yang digunakan tepat dan mengikut 'cita rasa' tenggiri di lokasi itu, mereka perlu banyak mencari rahsianya daripada pemancing tenggiri dan tekong bot di kawasan itu yang menjadi rebutan.

Katanya, harapan mereka untuk menjinakkan ikan bergigi tajam itu tidak akan berjaya sekiranya tidak membuat persediaan serius.

Lokasi tumpuan sekitar Redang, Bidong

Mohd Shamizan berkata, pengalaman itu dilalui sendiri ketika memburu tenggiri bersama-sama rakannya dalam trip yang dianggarkan selama 12 jam, baru-baru ini.

Rakannya itu ialah Ruhul Qudus, Mohd Hilmi Ishak, Muhd Musthakim atau Poyok Runner, Ibrahim Salleh, Matwa dan Mohd Hafizul Sulong dengan menaiki bot yang dipandu Adry Mohamad.

"Untuk trip selama 12 jam itu, kami bertolak ke laut bermula jam 6.30 pagi.

"Lokasi tumpuan dengan menggunakan teknik jig ialah di sekitar Pulau Redang dan Pulau Bidong. Di situ terdapat empat unjam iaitu Redang 5, Redang 6, Cermin Bidong dan Tong Merah.

"Kawasan tukun pula ialah di sekitar kapal karam yang dikenali Kapal Yu atau Karang luas," katanya.

MIZAN Ganu bersama kerapu yang diperolehnya.
MIZAN Ganu bersama kerapu yang diperolehnya.

Gagal kerana joran patah

Dalam trip itu, mereka berjaya membawa pulang 16 tenggiri dengan beratnya antara lima hingga 6 kg seekor, selain masing-masing seekor aruan tasik dan kerapu.

"Saya berjaya menjinakkan empat tenggiri. Yang lainnya dapat antara dua hingga tiga tenggiri seorang. Cuma Poyok (Muhd Mustakim) gagal mendapat sebarang ikan selepas jorannya patah ketika berlawan dengan mangsa," katanya.

Berita Harian X