Lebih 200 tahun lalu, kawasan hutan di Bau, sebuah penempatan masyarakat Bidayuh berdekatan sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat, diteroka oleh pelombong Cina bagi mendapatkan butiran emas yang terdapat di perut buminya.
Rentetan di sebalik kegemilangan lokasi itu, maka wujud sebuah tasik buatan manusia hasil perlombongan emas oleh pelombong Cina, di Bau pada awal abad ke-19, iaitu dinamakan Tasik Biru.
Menariknya, bekas lombong emas terkemuka satu ketika dahulu, kini menjadi 'emas permata' baharu industri pelancongan, di Bumi Kenyalang ini apabila kawasan menjadi tumpuan dengan kewujudan Tasik Biru itu.
Justeru, pekan Bau mampu menjadi hab ekopelancongan ditambah pula dengan nilai sejarah perlombongan emas, budaya serta adat setempat sebagai produk pelancongan.
Namun, bagaimana bermula sejarah kewujudan Tasik Biru ini, yang warna airnya bertukar biru terutama selepas terkena panahan mentari terik dan di kala cuaca terang.
Sejarah melombong emas di Bau
Sejarah bermula apabila kumpulan pelombong Cina dari Tanah Besar China yang terlebih dahulu bermastautin di Sambas, wilayah Kalimantan Barat, Indonesia, kemudiannya memasuki Bau.
Pelombong Cina itu pada mulanya meneroka kawasan hutan di Bau, pada tahun 1820 untuk mencari mineral antinomi yang di kawasan Jambusan di daerah berkenaan.
Namun, ketika perlombongan antinomi giat dijalankan, pelombong menemui ketulan emas dan bermulalah aktiviti perlombongan hasil bumi bernilai tinggi itu secara besar-besaran.
Dalam tempoh 20 tahun sehingga 1840, perlombongan emas di Bau memberikan pulangan lumayan sehingga hasil yang dilombong mencecah kira-kira 200 kilogram (kg) setahun.
Kekayaan hasil bumi di Bau itu menarik minat Rajah Putih pertama, James Brooke yang mula memerintah Sarawak pada 1841 untuk mendapatkan hak mutlak terhadap pengeluaran hasil perlombongan itu.
Beliau mula memberi tekanan kepada pelombong Cina dengan memperkenalkan pelbagai peraturan, selain mengenakan cukai yang akhirnya mencetus rasa tidak puas hati dalam kalangan pelombong.
Pada 1856, pemerintah menubuhkan Borneo Company Limited yang diberikan hak eksklusif untuk melombong hasil bumi di Bau.
Pelombong yang semakin tertekan akhirnya melancarkan pemberontakan menentang Brooke pada 1857 dan ia berlarutan selama beberapa bulan sebelum bala tentera Rajah Putih itu berjaya menewaskan pelombong.
Selepas itu Borneo Company milik kerajaan Brooke merancakkan lagi aktiviti perlombongan emas di Bau dan pada tahun 1899, syarikat itu membuka lombong emas baharu dikenali sebagai Tai Parit Gold Mine dan Bidi Gold Mine.
Tasik Biru dibanjiri pengunjung
Namun, operasi lombong itu ditutup pada tahun 1921 berikutan saluran air bawah tanah pecah yang menyebabkan lombong itu ditenggelami air sehingga mewujudkan 'Tasik Biru'.
Pada tahun 1990, Tasik Biru dikeringkan semula oleh sebuah syarikat asing bagi membuka semula aktiviti perlombongan emas di kawasan itu.
Akibat perlombongan semula itu, beberapa lokasi di Bau termasuk sekolah, kem tentera serta kawasan kediaman mendap.
Ia mencetuskan bantahan penduduk yang bimbangkan keselamatan mereka dan akhirnya aktiviti perlombongan emas di Tasik Biru dihentikan sepenuhnya pada 1995.
Selepas tamatnya aktiviti perlombongan emas, air diisi semula ke dalam tasik itu dan Tasik Biru kembali menggamit kehadiran orang ramai untuk beriadah di sekitar tasik bekas lombong yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Kuching itu.
Potensi pelancongan di Tasik Biru
Menyedari potensi Tasik Biru untuk menjadi daya tarikan pelancongan ke Bau, inisiatif 'Greater Bau', dilancarkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada penghujung tahun 2020.
Menerusi inisiatif itu, pekan Bau akan menjadi hub ekopelancongan berikutan mempunyai nilai sejarah perlombongan emas, budaya serta adat setempat sebagai produk.
Antara yang dilaksanakan menerusi inisiatif itu ialah pembangunan Tasik Biru Resort City yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung beriadah.
Jambatan gantung 'Bau Bicentennial Bridge'
Jambatan gantung yang dikenali sebagai 'Bau Bicentennial Bridge' yang dibuka kepada orang ramai pada September tahun lalu antara tarikan pengunjung ke Tasik Biru ketika ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, jambatan kabel sepanjang 60 meter itu cukup bermakna kerana ia mercu tanda sejarah perlombongan emas di tasik berkenaan.
Menurutnya, jambatan itu mengembalikan nostalgia jambatan konkrit merah yang pernah dibina oleh pelombong di situ kira-kira 200 tahun lalu.
Selepas meniti jambatan gantung itu, pengunjung boleh beriadah mendaki bukit dengan melalui jalan sepanjang satu kilometer hingga ke puncak.
Di puncak bukit itu, terdapat sebuah tokong yang dibina oleh pelombong berketurunan Hakka ketika mereka mula meneroka kawasan itu, pada 1820.
Kayuh bot lihat keindahan tasik
Difahamkan, selepas pelombong yang melancarkan pemberontakan bersenjata terhadap Raja Putih berakhir dengan kegagalan yang teruk pada 1857, tokong itu terbiar.
Kini tokong itu dinaik taraf sebagai sebahagian tinggalkan bersejarah aktiviti perlombongan di Tasik Biru.
Lokasi tokong itu di puncak bukit menyajikan pemandangan indah Tasik Biru dari kedudukan tinggi.
Bagi memberi pengunjung pengalaman berjalan merentasi kawasan tengah tasik, jambatan terapung disediakan.
Sambil berjalan melihat keindahan tasik, pengunjung juga berpeluang memberi makanan kepada ribuan ikan yang dilepas bebas di tasik berkenaan.
Bagi yang ingin melihat keadaan tasik bekas lombong emas itu lebih jauh, mereka boleh menaiki bot, sama ada yang dipandu oleh jurupandu yang disediakan atau di kayuh sendiri.
Menginap di chalet terapung
Pengunjung yang ingin menikmati suasana malam di Tasik Biru boleh menempah chalet harga RM200 untuk hari biasa dan RM300 pada hujung minggu atau cuti umum.
Jika ingin suasana lebih menarik lagi, anda boleh menginap di chalet terapung dengan kadar sewa RM250 untuk hari biasa dan RM350, pada hujung minggu atau cuti umum.
Di sebalik kegemilangannya sebagai lombong emas terkemuka satu ketika dahulu dan kini menjadi lokasi baharu industri pelancongan, Tasik Biru juga pernah mencatat sejarah hitam apabila meragut 29 nyawa iaitu 25 pelajar dan dua guru pada 7 Jun 1979.
Kejadian itu berlaku apabila bas yang membawa rombongan sekolah seramai 67 orang terjunam ke dalam tasik sedalam hampir 100 meter itu.
Bas milik Bau Transport Company itu dikatakan hilang kawalan ketika menuruni kawasan berbukit di tebing tasik sebelum terjunam.
Info
Mengenai Tasik Biru
* Terletak di Bau, kira-kira 35 km dari bandar Kuching, Sarawak
* Terkenal dengan sejarah perlombongaan pada pertengahan abad ke-19 dan awal abad ke-20.
* Salah satu bekas tapak lombong emas yang kemudian dinaiktaraf sebagai destinasi pelancongan menarik
* Tasik buatan manusia mendapat nama daripada dialek Cina Hakka, "Tai Parit" yang bermaksud "longkang besar".
* Lama-kelamaan namanya berubah menjadi Tasik Biru kerana airnya biru.
* Sesuai untuk paddling boat', kayak, berkhemah dan beriadah.