Isnin, 17 Oktober 2022 | 10:31am

Rintis trek Trans Tebu pahat 1,000 kenangan

MEMORI di puncak Gunung Tebu, Terengganu, 30 tahun lalu tiba-tiba muncul sebaik melihat poster ekspedisi Trans Tebu 2022 di Facebook seorang teman beberapa bulan lalu.

Tarikan itu apatah lagi diumpan dengan kejernihan Sungai Angga membawa penulis kembali menelusuri trek ke puncak setinggi 1,037 meter, bersama 37 pendaki termasuk empat malim gunung.

Ekspedisi anjuran Kelab Gagau Kemaman (KGK) dan Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) itu antara inisiatif meraikan bulan kemerdekaan, baru-baru ini.

 Foto kumpulan sebelum memulakan ekspedisi. - Foto ihsan KGK
Foto kumpulan sebelum memulakan ekspedisi. - Foto ihsan KGK

Bahan makanan dibahagikan sama rata untuk dipikul pendaki. - Foto ihsan KGK
Bahan makanan dibahagikan sama rata untuk dipikul pendaki. - Foto ihsan KGK

Meskipun sudah lebih sebulan berlalu, pengalaman indah masih terpahat dalam memori. Selain meredah pokok resam tebal, denai licin, mendaki dan menuruni cerun, kami juga seakan hidup dalam dunia ala 'rambo'.

Apa tidaknya, kebanyakan hanya merasai nikmat tidur antara enam hingga 10 jam dalam tempoh ekspedisi yang terlajak hingga jam 5 pagi hari kelima, asalnya empat hari tiga malam.

Khemah pula dipasang sekadar 'ikut syarat' di lokasi yang jauh tersasar daripada perancangan, itupun hanya malam pertama dan kedua dengan 'sleeping bag' kekal tanpa disentuh, begitu juga tuala mandi.

Bak kata 'gogo' (ketua penganjur) Hamdan Azmi, ekspedisi Trans Tebu ini unik kerana pendaki khususnya malim gunung perlu 'menebuk' trek ditinggalkan sekurang-kurangnya tujuh tahun lalu.

Ia merangkumi 85 peratus daripada jarak pendakian dengan bakinya adalah trek baharu, sekali gus menyerlahkan pengalaman Asrul Effendi Abidin atau Fendi, selain Ropi, Roy dan Bakh dalam menguasai ilmu perhutanan dan penggunaan peta topografi, kompas dan GPS selain teknik menebas.

Deruan air terjun Lata Berangin gamit ketenangan

KGK yang ditubuhkan pada 2011 agak terkenal dalam merintis trek baharu ke puncak gunung dan bukit di Terengganu. Puluhan puncak diterokai termasuk Gunung Lipat Sanggul, Gunung Lawit, Gunung Batil, Gunung Ayam, Gunung Padang dan Gunung Kambing, malah nama kelab juga dikatakan tercetus daripada insiden tersesat ketika mendaki Gunung Gagau di Tasik Kenyir.

 Fendi menunjukkan cara mencari arah menggunakan peta topografi, kompas dan GPS. - Foto ihsan KGK
Fendi menunjukkan cara mencari arah menggunakan peta topografi, kompas dan GPS. - Foto ihsan KGK

 Penulis (tengah, duduk) bergambar kenangan bersama rakan pendaki. - Foto ihsan KGK
Penulis (tengah, duduk) bergambar kenangan bersama rakan pendaki. - Foto ihsan KGK

Bagi pendaki tegar yang sentiasa bersama KGK, Trans Tebu mungkin tidak banyak berbeza dengan ekspedisi terdahulu, namun tidak bagi penulis yang berasakan ia bukan sekadar mengerah keringat, malah juga satu bentuk penderaan mental.

Pendakian sejauh 40 kilometer (km) bermula di pintu rimba La Hot Spring di Kampung La, Jertih, Besut, sebelum berakhir di Lata Belatan, juga di Jertih. Dari pintu rimba kami perlu melewati Lata Berangin menuju ke Bukit Batu Balai, seterusnya ke Sungai Angga dan kemudian ke puncak Gunung Tebu.

 Penulis (kanan) bersama ‘kru dapur’ menyiapkan nasi bungkus untuk bekalan pendaki sebelum bergerak ke puncak Gunung Tebu. - Foto ihsan KGK
Penulis (kanan) bersama ‘kru dapur’ menyiapkan nasi bungkus untuk bekalan pendaki sebelum bergerak ke puncak Gunung Tebu. - Foto ihsan KGK

 Air terjun Lata Berangin. - Foto ihsan KGK
Air terjun Lata Berangin. - Foto ihsan KGK

Pendakian hari pertama bermula jam 11.30 pagi, sebelum penulis tiba di Lata Berangin 45 minit kemudian. Menikmati nasi bungkus bertemankan deruan air terjun benar-benar menggamit ketenangan.

Lata Berangin ditinggalkan tepat jam 3 petang, membawa bersama hampir empat liter air menuju ke puncak Bukit Batu Balai yang tiada sumber air.

 Antara trek pacak yang ditempuhi dalam Trans Tebu. - Foto ihsan KGK
Antara trek pacak yang ditempuhi dalam Trans Tebu. - Foto ihsan KGK

 Disiplin dan stamina antara kunci kejayaan ekspedisi Trans Tebu. - Foto ihsan KGK
Disiplin dan stamina antara kunci kejayaan ekspedisi Trans Tebu. - Foto ihsan KGK

Kem Rock Kapak - Taman Rashidah Utama

Pendaki dijadualkan tiba di Kem Rock Kapak jam 9 malam, lokasi yang hanya 10 hingga 15 minit untuk tiba di puncak Bukit Batu Balai. Nama Kem Rock Kapak tercetus kerana lokasinya dikatakan seumpama dalam klip video kumpulan Wings untuk lagu Taman Rashidah Utama.

Disebabkan trek pendakian agak sukar, pacak, dan ada kalanya pada kecerunan 90 darjah selain denai licin, juga beberapa bukit, memaksa kami berhenti di kawasan permatang jam 3 pagi.

Sekadar melepaskan lelah satu hingga dua jam dan selepas menikmati sarapan, kami bergerak ke Bukit Batu Balai setinggi 1,162 meter ketika hujan yang awalnya renyai bertukar lebat.

 ‘Ambil nafas’ seketika sebelum menyambung perjalanan. - Foto ihsan KGK
‘Ambil nafas’ seketika sebelum menyambung perjalanan. - Foto ihsan KGK

Menurut Fendi, trek ke Bukit Batu Balai sukar kerana ia terbiar lama dengan kali terakhir dilalui lapan tahun lalu bersama tujuh rakan daripada Persatuan Perintis Trek Gunung Malaysia (PERINTIS).

Sepanjang perjalanan itu beberapa tapak kem siam ditempuhi dan jika diamati mungkin ditinggalkan sejak beberapa minggu atau bulan. Kem siam merujuk kepada kem yang didirikan warga asing sama ada Thailand, Kemboja mahupun Vietnam untuk mencuri hasil hutan seperti kayu gaharu dan binatang eksotik.

 Menikmati pemandangan indah di Kem Rock Kapak. - Foto ihsan KGK
Menikmati pemandangan indah di Kem Rock Kapak. - Foto ihsan KGK

 Pendaki bergambar di Kem Rock Kapak selepas turun dari puncak Bukit Batu Balai. - Foto ihsan KGK
Pendaki bergambar di Kem Rock Kapak selepas turun dari puncak Bukit Batu Balai. - Foto ihsan KGK

Seketika di Kem 3AM

Kem permatang ditinggalkan pada jam 2.30 petang menuju ke Sungai Angga dengan menempuh laluan berbukit dan trek dipenuhi pokok resam.

Alhamdulillah kami tiba di laluan balak kira-kira jam 7 malam yang menurut Fendi, adalah laluan baharu yang perlu dirintis menggunakan peta topografi.

Terpancar kegembiraan apabila dimaklumkan perjalanan ke Sungai Angga hanya mengambil masa beberapa jam sambil membayangkan kejernihan air, sehingga ada berseloroh mahu 'merebus' kopi dalam sungai.

Malangnya sehingga jam 3 pagi kami gagal mencari arah tepat ke sungai itu berikutan hakisan di laluan balak sehingga memaksa untuk beberapa kali 'backtrack' atau berpatah balik.

Jelas keletihan pada wajah pendaki sehinggakan tempoh rehat lima minit digunakan sepenuhnya untuk lena, walau di mana sahaja berhenti hatta di atas trek berduri.

 Masa rehat digunakan sebaik mungkin untuk melelapkan mata. - Foto ihsan KGK
Masa rehat digunakan sebaik mungkin untuk melelapkan mata. - Foto ihsan KGK

 Penulis bersama rakan pendaki, Zainuri Misfar di puncak Bukit Batu Balai. - Foto ihsan KGK
Penulis bersama rakan pendaki, Zainuri Misfar di puncak Bukit Batu Balai. - Foto ihsan KGK

Kami memutuskan untuk memasang khemah di kawasan sedikit lapang di laluan balak yang kemudiannya kami namakan Kem 3AM, sementara sekumpulan pendaki menjejaki sumber air di kawasan berhampiran.

Kira-kira jam 12.30 tengah hari, kami meninggalkan Kem 3AM dengan kebanyakan hanya mampu melelapkan mata antara satu hingga tiga jam, sama seperti malam pertama. Selepas melewati trek mencabar termasuk dilitupi pokok resam tebal, kami tiba di Sungai Angga jam 9 malam.

 Trek dipenuhi pokok resam tebal antara cabaran dalam Trans Tebu. - Foto ihsan KGK
Trek dipenuhi pokok resam tebal antara cabaran dalam Trans Tebu. - Foto ihsan KGK

Selain dari Empangan Paya Pedar dan dari Bukit Batu Balai terdapat laluan alternatif ke Sungai Angga dengan paling dekat dari Lata Belatan ke Bukit Hulu Angga sebelum menuruni sungai.

"Laluan lengkap Gunung Tebu dari Sungai Angga-Bukit Batu Balai- Lata Berangin- La Hot Spring dibuka seorang penduduk Felda Tenang dikenali sebagai Kori selepas sembilan kali percubaan.

"Kami juga mencuba sebanyak lima kali untuk melengkapkan 'log trail' yang dirintis Kori," jelas Fendi.

Aktiviti pembalakan cemari Sungai Angga

Suatu waktu, Sungai Angga sangat cantik, kehijauan airnya sangat memukau terutama selepas hujan yang mana paras air sungai akan naik sehingga dua meter, itu kata Fendi, namun selepas kerja-kerja pembalakan di kawasan berkenaan, air menjadi keruh dan setakat ini, difahamkan berlaku tiga siri pengambilan balak.

Tidak mustahil pengambilan balak akan terus berlaku kerana masih banyak pokok balak di sekitar Gunung Tebu yang belum terusik.

Penulis tidak pasti tahap kekeruhan Sungai Angga kerana hanya berada di sana kurang dua jam bertemankan lampu kepala. Meskipun tiada yang cuba 'merebus' air sungai, kami bersyukur dapat melepaskan pelbagai hajat selepas tiga hari hidup dalam dunia ala 'rambo'.

 Puncak Gunung Tebu dari kejauhan. - Foto ihsan KGK
Puncak Gunung Tebu dari kejauhan. - Foto ihsan KGK

Sungai Angga yang sepatutnya menjadi lokasi bermalam ditinggalkan jam 11 malam menuju ke puncak Gunung Tebu. Laluan menegak yang diistilahkan 'Bukit Good Morning' menyapa sebaik kaki melangkah.

Istimewanya pendaki KGK, mereka sudah dibiasakan untuk tidak meninggalkan rakan, terutama ketika bergerak pada waktu malam. Ketika inilah deretan cahaya daripada lampu kepala jelas kelihatan.

 Sungai Angga yang sepatutnya menjadi lokasi bermalam hanya disinggahi tidak sampai dua jam. - Foto ihsan KGK
Sungai Angga yang sepatutnya menjadi lokasi bermalam hanya disinggahi tidak sampai dua jam. - Foto ihsan KGK

Terima kasih buat mak cik kantin

Selepas hampir empat jam mengerah kudrat, kami berhenti sejam untuk 'power nap' sebelum dikejutkan dengan suara 'bangun!' tepat jam 4 pagi.

Pergerakan kami lancar sehingga kami tiba di laluan menurun ke anak sungai, malangnya kami diminta untuk 'backtrack', seingat penulis anggaran 300 meter atau mungkin lagi jauh dengan kembali ke laluan pacak. Sedikit kecewa atau mungkin marah apabila diminta kembali menuruni laluan sama sebelum menyeberangi anak sungai.

Di kawasan itu, kami berhenti solat Subuh sebelum ramai mencuri masa untuk lelap. Namun tidak bagi kru dapur seperti Intan, Madi dan Dayang. Lincah menyiapkan bihun goreng untuk sarapan dan menyediakan bekal untuk makan tengah hari. Ucapan terima kasih buat mereka.

Dengan sisa kudrat yang ada, kami bergerak ke puncak Gunung Tebu tepat jam 11 pagi. Untuk sampai, tidak pasti berapa banyak bukit didaki dan lurah kami turuni ketika hujan.

"Tak perlu kuah nasi ni," seloroh seorang pendaki ketika menjamah bekalan tengah hari dalam hujan.

Alhamdulillah, kami tiba di puncak Gunung Tebu jam 6 petang. Kepenatan tidak terasa sebaik melihat pemandangan memukau dengan teduhan pokok bonsai. Masya-Allah... hanya itu yang mampu diucapkan ketika lelah masih bersisa.

 Pendaki bergambar di bawah teduhan bonsai di puncak Gunung Tebu. - Foto ihsan KGK
Pendaki bergambar di bawah teduhan bonsai di puncak Gunung Tebu. - Foto ihsan KGK

 Di bawah teduhan bonsai di puncak Gunung Tebu. - Foto ihsan KGK
Di bawah teduhan bonsai di puncak Gunung Tebu. - Foto ihsan KGK

 Seketika di puncak Gunung Tebu. - Foto ihsan KGK
Seketika di puncak Gunung Tebu. - Foto ihsan KGK

Gogo janjikan Trans Tebu 2.0

Bergegas meninggalkan puncak Gunung Tebu ketika jarum jam menghampiri 10 malam. Hayunan langkah pada awalnya kemas dan bertenaga menjadi semakin perlahan selepas memasuki jam ketiga. Perjalanan menuruni puncak untuk tiba di Lata Belatan sejauh lapan km terasa lama dan menyakitkan.

Beberapa kali penulis tertidur di trek termasuk dipenuhi pacat. Perjalanan tujuh jam yang dirasakan tidak berkesudahan hampir menyebabkan penulis putus asa dan berkeras mahu melelapkan mata sehingga siang.

Pendaki menunjukkan puncak Gunung Tebu. - Foto ihsan KGK
Pendaki menunjukkan puncak Gunung Tebu. - Foto ihsan KGK

Kata-kata semangat daripada beberapa pendaki menyelamatkan penulis daripada terus 'menghuni' trek Gunung Tebu. Kerahan kudrat terakhir ke Lata Belatan bagi menghabiskan perjalanan mengganggu emosi sehingga air mata penulis tumpah sebaik tiba.

Bak kata gogo dan pendaki KGK, Trans Tebu mencipta kelainan dan memberi cabaran paling hebat sejak kelab ditubuhkan.

Kata-kata seperti 'wiokmo', 'set kita jangang pecoh' dan hadiah pacat di kening menjadikan Trans Tebu lain daripada yang lain.

Gogo kata akan ada Trans Tebu 2.0... kita nantikan.

 Pemandangan indah ketika matahari terbenam di puncak Gunung Tebu. - Foto ihsan KGK
Pemandangan indah ketika matahari terbenam di puncak Gunung Tebu. - Foto ihsan KGK

 Semangat setiakawan kunci kejayaan ekspedisi Trans Tebu. - Foto ihsan KGK
Semangat setiakawan kunci kejayaan ekspedisi Trans Tebu. - Foto ihsan KGK
Berita Harian X