Khamis, 6 Oktober 2022 | 9:09am
Pesawat ‘The Mouse’ menjadi aset terbesar Walt Disney, selain barangan lain milik tokoh tersohor dunia hiburan itu dipamerkan sepanjang D23. -Foto/Ihsan Disney
Pesawat ‘The Mouse’ menjadi aset terbesar Walt Disney, selain barangan lain milik tokoh tersohor dunia hiburan itu dipamerkan sepanjang D23. -Foto/Ihsan Disney
Pesawat ‘The Mouse” yang dipamerkan sempena D23 Expo : The Ultimate Fan Event di Pusat Konvensyen Anaheim di Los Angeles, 9 September lalu.
Pesawat ‘The Mouse” yang dipamerkan sempena D23 Expo : The Ultimate Fan Event di Pusat Konvensyen Anaheim di Los Angeles, 9 September lalu.
Penulis bergambar dengan ikon Mickey Mouse, simbolik kepada D23 Expo, di Los Angeles.- Foto/Fatin Farhana.
Penulis bergambar dengan ikon Mickey Mouse, simbolik kepada D23 Expo, di Los Angeles.- Foto/Fatin Farhana.

Pesawat terbesar Walt Disney jadi perhatian

PESAWAT ringan jenis Grumman Gulfstream 1 digunakan pengasas empayar Walt Disney, mendiang Walter Elias Disney untuk meninjau hartanah miliknya di Florida, Amerika Syarikat (AS) pada era 1960-an, menarik perhatian pengunjung D23 Expo : The Ultimate Fan Event di Pusat Konvensyen Anaheim di Los Angeles, baru-baru ini.

Penulis yang mendapat jemputan eksklusif menghadiri Ekspo D23, berpeluang menjadi kumpulan pertama menatap pesawat digelar 'The Mouse' itu yang menjadi antara aset berharga peninggalan Walt Disney yang bakal dipamerkan di Muzium Udara Palm Springs, California.

Muzium menyimpan pelbagai jenis pesawat dan peralatan kelengkapan udara pelbagai era itu, berdekatan Smoke Tree Ranch, iaitu tempat di mana Walt Disney banyak menghabiskan masa santai bersama keluarga.

Memberi penerangan kepada 120 wakil media dari seluruh dunia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), The Walt Disney Company, Bob Chapek berbesar hati dapat mempamerkan 'The Mouse' kepada peminat Walt Disney pada D23.

"The Mouse bakal ditempatkan di Muzium Udara Palm Springs dan pameran khas sempena ulang tahun kelahiran Walt Disney, pada 5 Disember depan akan dianjurkan muzium terbabit," katanya.

Pesawat 'The Mouse' menjadi aset terbesar Walt Disney, selain barangan lain milik tokoh tersohor dunia hiburan itu dipamerkan sepanjang D23 yang berlangsung tiga hari, sejak 9 September lalu.

Pelbagai jenis cenderahati termasuk patung Mickey Mouse menggayakan busana juruterbang, botol air, topi dan bantal yang semua berimej pesawat 'The Mouse', turut dijual kepada pengunjung.

Pada D23 dianjurkan setiap dua tahun, wakil media dan jemputan dari seluruh dunia diberi akses untuk menjadi kumpulan terawal menonton sedutan daripada program baharu, mengikuti inisiatif terkini diambil Disney dalam operasinya.

Wakil media juga melihat perkongsian selebriti Hollywood menjayakan kandungan kreatif terbitan studio ikonik itu untuk tontonan pawagam mahupun platform penstriman Disney Plus.

Tonton adegan eksklusif filem Avatar : The Way Of Water

kehadiran kumpulan pelagak atau pemain ‘cosplay’ dengan pelbagai kostum babitkan karakter popular terbitan studio terkemuka Pixar, Marvel, Lucasfilm dan Disney curi tumpuan. Foto/Ihsan The Walt Disney
kehadiran kumpulan pelagak atau pemain ‘cosplay’ dengan pelbagai kostum babitkan karakter popular terbitan studio terkemuka Pixar, Marvel, Lucasfilm dan Disney curi tumpuan. Foto/Ihsan The Walt Disney

Selain pesawat 'The Mouse', mereka berpeluang melihat kostum lama pada pameran Step In Time sempena sambutan ulang tahun Disney ke-100.

Turut dipaparkan ialah pakaian, peralatan, tiket taman tema, lukisan dan barangan ikonik filem legenda yang pernah diterbitkan Disney.

Lebih mengujakan, kehadiran kumpulan pelagak atau pemain 'cosplay' dengan pelbagai kostum membabitkan karakter popular terbitan studio terkemuka Pixar, Marvel, Lucasfilm dan Disney, menghidupkan suasana seolah-olah kembali ke zaman kanak-kanak.

Pemain cosplay berkumpul untuk bergambar di depan pintu masuk Pusat Konvensyen Anaheim.
Pemain cosplay berkumpul untuk bergambar di depan pintu masuk Pusat Konvensyen Anaheim.

Malah, slot tontonan filem, drama dan siri animasi baharu terbitan Disney paling mengujakan pengunjung ekspo. Pengunjung dibekalkan cermin mata tiga dimensi (3D) untuk menonton enam adegan eksklusif filem Avatar : The Way Of Water yang akan ditayangkan di pawagam, mulai 16 Disember ini.

Pengunjung juga menyaksikan kemunculan bintang Hollywood yang terbabit dalam projek drama siri, filem dan animasi studio terkemuka itu di pentas.

Jumpa selebriti

Paling menarik perhatian tentunya aktor veteran yang sinonim dengan filem francais, Indiana Jones, iaitu Harrison Ford.

Melakonkan watak ikonik itu sejak 1981, Ford sebak apabila diberi pengiktirafan atas sumbangan dan beliau mengaku, filem baharu Indiana Jones menjadi naskhah terakhirnya.

Antara bintang lain yang tampil pada D23 adalah Jude Law, Lucy Liu, Jake Gyllenhal, Sam Worthington, Zoey Saldana, Sebastian Stan, Anthony Mackie, Jamie Lee Curtis, Gal Gadot, Kristen Bell dan ramai lagi.

Turut berkongsi aspirasi Disney adalah Pengerusi Disney Parks, Experiences and Resorts, Josh D'Amaro yang berkongsi perancangan syarikat menambahbaik kemudahan itu pasca penularan pandemik COVID-19.

Antara yang menarik adalah pelancaran kereta api Mickey & Minnie Runaway Railway dan Mickey's Toontown serta tunggangan baharu, Tron Lightcycle Run di Disneyland California, tahun depan.

Info: Ekspo D23

  • Dipilih bagi mengabadikan pembukaan studio pertama Walt Disney di Hollywood, pada 1923
  • Merujuk kepada kelab peminat rasmi Walt Disney sejak 99 tahun lalu.

  • Tiket ekspo RM404 (AS$$89) hingga RM4,077 (AS$899) mengikut pakej
  • Berita Harian X