Rabu, 7 September 2022 | 9:49am

Jualan cepat 'licin' di Pasar Terapung Sri Tanjong

SEAWAL jam 8 pagi bot penambang atau disewa khas mundar-mandir di delta Sungai Kelantan, Teluk Renjuna membawa kelompok pengunjung sama ada dari jeti Kok Majid, atau Kuala Besar, Kota Bharu.

Beginilah hampir setiap hari aktiviti penduduk kampung dan pengunjung yang datang ke lokasi berkenaan bagi mendapatkan pelbagai barangan makanan dan produk lain yang dijual di dalam bot terapung.

Melihat deretan 13 bot di permukaan sungai yang menjual aneka makanan dan pelbagai produk lain, mengingatkan kita dengan suasana pasar terapung di negara jiran.

Suasana di Teluk Renjuna, iaitu sebuah perkampungan di delta Sungai Kelantan yang menyediakan Pasar Terapung Sri Tanjong yang dibuka sejak empat bulan lalu.

Hamidah menunjukkan lokan bakar dan otok-otok yang mendapat sambutan di Pasar Terapung Sri Tanjung. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Hamidah menunjukkan lokan bakar dan otok-otok yang mendapat sambutan di Pasar Terapung Sri Tanjung. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar

Pasar terapung yang diperkenalkan pemilik tanah, Saidi Mamat@Ghani, 50, itu menyediakan 13 peniaga yang berniaga di dalam bot manakala 12 lagi menunggu pembeli di gerai masing-masing di tebing sungai.

Tidak hanya aneka makanan dan minuman, produk batik dan kraftangan yang dihasilkan penduduk dari 13 kampung di kepulauan itu turut dijual dengan harganya amat berpatutan.

Tarikan pelancong

Menurut Saidi, pasar terapung itu beroperasi dua hari seminggu, iaitu pada Jumaat bermula jam 3 petang hingga 6 petang manakala Sabtu seawal jam 8 pagi hingga 6 petang.

"Sebelum pasar terapung diwujudkan, lokasi ini sudah lima tahun beroperasi sebagai tempat tarikan pelancong berbentuk ekopelancongan dengan menyediakan chalet, aktiviti di sungai seperti berkayak, menaiki bot menyusuri sungai, mencari lokan dan berbasikal di sekeliling kampung.

Pengunjung membeli makanan daripada peniaga di bot terapung.- Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Pengunjung membeli makanan daripada peniaga di bot terapung.- Foto/Nik Abdullah Nik Omar

"Saya memikirkan cara untuk memperkenalkan lagi produk penduduk kampung di delta sungai, selain menjana ekonomi masyarakat di sini yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan dan melakukan kerja kampung.

"Sejak diwujudkan empat bulan lalu, pelbagai makanan dihasilkan penduduk kampung dijual antaranya lokan, makanan berasaskan pokok nipah serta menu tradisional rakyat Kelantan," katanya ketika ditemui di sini.

Jualan cepat 'licin'

Tambang antara RM3 hingga RM5 sehala agak berbaloi kerana pengunjung dapat menghayati panorama di sekitar sungai dan melihat kemeriahan pasar terapung yang ada kalanya diserikan dengan persembahan dikir barat.

Jualan aneka makanan sukar diperoleh di tanah besar sudah pasti menarik minat pengunjung dan keterujaan peniaga dapat dilihat apabila seorang demi seorang pembeli menghampiri bot mereka dan melihat makanan dijual daripada atas jeti.

Bagi peniaga, Hamidah Ismail, 51, jualan lokan bakar dan percik, kerabu nipah, air tuak nipah dan otak-otak sering menjadi rebutan pengunjung, malah menjadikannya tidak menang tangan walau dibantu suami, Nik Asmadi Mohamad, 54.

Katanya, walau pasar terapung itu tamat jam 6 petang, jualannya kerap 'licin' lebih awal walau sudah disediakan dalam kuantiti yang banyak.

"Untuk jualan lokan, saya sendiri mencarinya di sungai berhampiran rumah dan jika dirasakan tidak mencukupi, saya terpaksa membeli daripada penduduk kampung untuk persediaan jualan terutama Sabtu yang menerima ramai pengunjung.

"Walaupun hanya dua hari seminggu beroperasi, Alhamdulillah jualan dapat menambahkan pendapatan kami sekeluarga dan meringankan beban suami bekerja sebagai tukang rumah," katanya turut menghasilkan produk utama penduduk di kepulauan itu, iaitu kuih kapit.

Tumpu sediakan bot penambang

Bagi pemandu bot penambang, Mat Rani Hamid, 52, kewujudan pasar terapung terbukti mendatangkan rezeki lebih kepada puluhan pemandu lain daripada penduduk kampung sekitar yang memiliki pengangkutan air untuk membawa penumpang.

Pengunjung menikmati pelbagai makanan yang dibeli di pasar terapung. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Pengunjung menikmati pelbagai makanan yang dibeli di pasar terapung. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar

Pembawa bot penambang yang bekerja sebagai nelayan, mereka sanggup tidak turun ke laut pada Jumaat dan Sabtu dan lebih memilih membawa penumpang ke pasar terapung memandangkan pendapatan diperoleh untuk dua hari itu lebih lumayan.

"Pada Sabtu, ada antara kami memperoleh pendapatan mencecah RM200 hingga RM300 dan sudah pasti dua hari pada hujung minggu sebegini sangat dinantikan," katanya.

Seawal 8 pagi Pasar Terapung Sri Tanjong sibuk dengan urusan jual beli pelbagai barangan. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Seawal 8 pagi Pasar Terapung Sri Tanjong sibuk dengan urusan jual beli pelbagai barangan. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Pasar terapung sudah wujudkan sejak lima tahun beroperasi sebagai tempat tarikan ekopelancong.-Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Pasar terapung sudah wujudkan sejak lima tahun beroperasi sebagai tempat tarikan ekopelancong.-Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X