Isnin, 26 September 2022 | 11:25am

5 gua lokasi 'jin bertendang' kembali bernyawa

SEBELUM ledakan fenomena 'Train To Dabong' tiga tahun lalu, Kompleks Gua Ikan, Kuala Krai, Kelantan tidak begitu dikenali dan hanya dikunjungi masyarakat setempat.

Kemewahan khazanah alam semula jadi seakan terbiar dan 'rahsia' lima gua iaitu Gua Ikan, Keris, Pagar, Gelap dan Seto (Manggis) juga tidak begitu diteroka sekali gus mengekalkan lokasi Dabong sebagai tempat 'jin bertendang' iaitu istilah rakyat Kelantan bagi sesuatu kawasan pedalaman.

Kini, hutan Dabong tidak lagi sunyi sebaliknya ia kembali bernafas dan menerima kunjungan orang ramai secara drastik terutama di hujung minggu atau cuti perayaan sejak hebahan berterusan dibuat.

Aktiviti pelancong aktif semula selepas pandemik

Dipertua Majlis Daerah Dabong, Mohd Hariff Ghazali menjelaskan, sepanjang Mac sehingga Julai lalu, kira-kira 30,000 pelawat sudah mengunjungi Kompleks Gua Ikan.

Kesan sejarah membentuk formasi gua batu kapur antaranya, pembentukan stalagtit dan stalagmit. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Kesan sejarah membentuk formasi gua batu kapur antaranya, pembentukan stalagtit dan stalagmit. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar

"Jenama Train To Dabong antara pencetus kepada kemeriahan daerah ini yang mana boleh dikatakan setiap hari akan ada penumpang yang menaiki kereta api datang meneroka setiap lokasi ekopelancongan di sini.

"Kebanjiran pengunjung terhenti seketika disebabkan pandemik COVID-19 dan sebaik dibenarkan rentas daerah serta negeri, kami sangkakan disebabkan tiada lokasi lain boleh dikunjungi menyebabkan Dabong kembali meriah.

"Bagaimanapun, lokasi seperti Kompleks Gua Ikan dan Gunung Stong tetap menerima kehadiran orang ramai termasuk dari luar negara selepas pandemik dan ini menunjukkan produk di sini sangat berpotensi dalam merancakkan sektor pelancongan," katanya.

Paling diburu adalah 'God's Light' di Gua Keris, iaitu cahaya matahari tembus menerusi rekahan bumbung terus ke lantai gua. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Paling diburu adalah 'God's Light' di Gua Keris, iaitu cahaya matahari tembus menerusi rekahan bumbung terus ke lantai gua. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar

Kompleks Gua Ikan yang mempunyai lima gua itu menjadi 'kegilaan' peneroka gua berikutan banyak kesan tinggalan sejarah yang membentuk formasi gua batu kapur itu antaranya pembentukan stalagtit dan stalagmit serta lapisan batu bersinar.

Cahaya dari rekahan bumbung

Paling diburu adalah 'God's Light' di Gua Keris iaitu keadaan di mana cahaya matahari tembus dari rekahan bumbung terus ke lantai gua yang menjadi buruan lensa kamera dan juga cabaran memasuki Gua Gelap dengan perlu berjalan di satu laluan sempit sejauh 30 meter (m) sebelum keluar melalui lubang dipanggil 'second birth hole'.

Mohd Hariff berkata, dengan bayaran serendah RM2 untuk dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak, pengunjung boleh menyusuri Gua Ikan sepanjang 250 meter dengan aliran air dari anak sungai di dalamnya.

Pemandangan gua sangat mengagumkan yang terdapat banyak fosil berusia jutaan tahun dalamnya. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Pemandangan gua sangat mengagumkan yang terdapat banyak fosil berusia jutaan tahun dalamnya. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar

"Untuk meneroka empat lagi gua yang lain, khidmat malim gunung dan pemandu arah diperlukan kerana selain untuk faktor keselamatan, penerangan yang jelas boleh diberikan berkaitan semua gua yang diteroka," katanya.

Banyak fosil jutaan tahun

Selain itu, ada juga disediakan aktiviti lain di sini antaranya 'rock climbing', abseiling sejauh 100 m dan 'via ferrata' yang terpanjang di Semenanjung iaitu 350m.

Penerokaan di kompleks gua seluas enam hektar itu turut mendapat perhatian pihak Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang membawa rombongan seramai 50 individu yang terdiri daripada kakitangannya, pengamal media rasmi dan media sosial, kelab pelancongan serta pempengaruh bagi melihat lokasi secara dekat, baru-baru ini.

Bagi Aron Awang, 29, dari kelab Sahabat Gunung Tebu, kali pertama meneroka Kompleks Gua Ikan membuatkannya teruja kerana sebelum ini hanya pernah mendengar nama destinasi ekopelancongan itu.

"Kali ini, saya menyaksikan sendiri keindahan pembentukan struktur gua dan sangat mengagumkan kerana terdapat banyak fosil yang berusia jutaan tahun dalamnya.

"Tidak sangka di Dabong ada destinasi ekopelancongan yang menakjubkan sebegitu dan sudah pasti saya akan kembali lagi untuk meluangkan masa lebih lama meneroka keindahan alam semula jadi di sini," katanya.

Fenomena God's Light jadi bualan

Pemandu arah, Norikma Rizal Manaf, 32, melihat kebanjiran pengunjung ke Kompleks Gua Ikan menjadikan kumpulan malim gunung dan pemandu pelancong tidak menang tangan.

Destinasi ekopelancongan yang menakjubkan jadi tumpuan pengunjung nikmati keindahan alam semula jadi. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Destinasi ekopelancongan yang menakjubkan jadi tumpuan pengunjung nikmati keindahan alam semula jadi. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar

Norikma Rizal yang sudah biasa meneroka kawasan gua itu berkata, boleh dikatakan setiap hari akan ada pengunjung yang inginkan khidmat pemandu arah untuk meneroka persekitaran gua.

"Fenomena God's Light dan pintu perangkap labah-labah (Spider Trap Door) sememangnya menjadi buah mulut orang yang pernah datang ke Gua Keris dan atas tarikan itu ia terus menjadi bualan untuk lebih ramai pengunjung.

"Selain itu, formasi dan bentuk batuan yang ada juga mengujakan pengunjung. Malah, ada yang meluangkan masa lebih lama merakamkan gambar kenangan atau mendengar segala penerangan daripada kami berkaitan khazanah dalam gua.

Lokasi Dabong sebelum ini dianggap sebagai tempat 'jin bertendang'. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
Lokasi Dabong sebelum ini dianggap sebagai tempat 'jin bertendang'. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar

"Bayaran dikenakan sangat berpatutan, iaitu serendah RM150 untuk satu kumpulan dengan dipandu seorang pemandu arah," katanya.

Penerokaan di kompleks gua seluas enam hektar itu turut mendapat perhatian pihak KeTSA yang membawa rombongan seramai 50 individu yang terdiri daripada kakitangannya, pengamal media rasmi dan media sosial, kelab pelancongan serta pempengaruh.

Berita Harian X