Khamis, 22 September 2022 | 12:54pm

Redah 11 sungai, lalui denai berselut

TANYA saja kepada semua pendaki, rasa amat puas hati apabila jerih-perih dan pelbagai cabaran ditempuh menyelubungi diri tatkala sampai ke puncak gunung.

Inilah dirasai oleh 10 pendaki dari Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN ) Klawang, Negeri Sembilan dan peserta lain, malah lebih teruja apabila ia dilakukan bersama membawa misi memacakkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan, baru-baru ini.

Program dinamakan 'Tahan Merdeka Hike' disertai kakitangan pusat khidmat DUN, lima pendaki daripada Kelab Pencinta Alam Hikers (PAH) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Bakri Sawir berjaya 'menawan' puncak Gunung Tahan setinggi 2,187 meter.

Mereka memulakan pendakian pada 25 hingga 29 Ogos lalu.

Antara peserta program ‘Tahan Merdeka Hike’ ketika di laluan pacak.Foto/Abnor Hamizam Abd Manap
Antara peserta program ‘Tahan Merdeka Hike’ ketika di laluan pacak.Foto/Abnor Hamizam Abd Manap

Dua laluan mendaki gunung tertinggi di Semenanjung itu membabitkan laluan Kuala Tahan - Merapoh (K2M ) dan Merapoh - Merapoh ( M2M ) mempunyai cabaran berbeza.

Bakri berkata, walaupun pernah mendaki Gunung Kinabalu (4,095 m), selain Kem Induk Everest (EBC) di Lobuche Timur (6,111 m), tetap mengakui Gunung Tahan mempunyai cabaran tersendiri.

"Ketinggian Gunung Tahan lebih rendah, tapi tahap kesukaran dan cabaran dilalui ke puncak jauh lebih mencabar. Kami ambil masa tiga hari untuk misi ini.

"Pendaki turut membawa beg 10 hingga 15 kilogram (kg) tetapi berdepan laluan seperti laluan pacak, trek becak, berselut dan mengharungi beberapa batang sungai," katanya.

Usia bukan penghalang daki gunung

Bakri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan berkata, biarpun kali pertama mendaki gunung itu, beliau gembira kerana misi mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan berjaya dilaksanakan.

Gembira misi mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan berjaya. - Foto/Abnor Hamizam Abd Manap
Gembira misi mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan berjaya. - Foto/Abnor Hamizam Abd Manap

Peserta berehat sebelum meneruskan pendakian Gunung Tahan setinggi 2,187 meter. Foto/Anbor Hamizam
Peserta berehat sebelum meneruskan pendakian Gunung Tahan setinggi 2,187 meter. Foto/Anbor Hamizam

Katanya, sebanyak 11 sungai perlu diharungi di laluan M2M ini yang turut dibantu jurupandu, katanya yang mengupah seorang 'potter'.

"Saya dah berusia 63 tahun, turut membawa bebanan seberat 10 kg, namun dek kerana mahu menjayakan misi dengan cemerlang, digagahi juga. Ini membuktikan usia bukan penghalang menyertai aktiviti ini," katanya yang turut mengupah seorang 'potter'.

Bakri aktif mendaki gunung sejak 2008, berkata mereka mahu mendaki Gunung Tahan perlu menjalani latihan mencukupi dan jika tidak mungkin misi hanya separuh jalan.

Selepas Gunung Tahan, beliau berhasrat menganjurkan pendakian di Trans Naning yang mempunyai tujuh puncak gunung di Negeri Sembilan dan berharap disertai ramai pendaki muda.

Mendaki dalam hujan

Bagi Salli Yusof, 48, penyertaan selama lima hari membabitkan tiga hari pendakian dan dua hari untuk turun dari puncak gunung memberikan pengalaman cukup indah.

"Saya sendiri menjadi ' makcik kantin' sambil dibantu ahli PAH bagi menyediakan makanan dengan masing-masing membawa bebanan seberat 18 hingga 30 kg bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.

"Pendakian bermula dari Kuala Juram sebelum berhenti bermalam di Kem Kor yang mengambil masa empat jam dan sebelum sampai di kem berkenaan tiga sungai berarus deras dan beberapa anak sungai perlu diharungi.

Antara 11 sungai yang perlu dilalui sebelum sampai ke puncak Tahan. Foto/Abnor Hamizam.
Antara 11 sungai yang perlu dilalui sebelum sampai ke puncak Tahan. Foto/Abnor Hamizam.

"Selepas bermalam di Kem Kor, keesokannya pendaki meneruskan perjalanan menuju ke Bukit Botak, sejauh 16 km dan bermula di sini, pendaki perlu memiliki mental dan fizikal yang kerana perjalanan mengambil masa lama dengan pendaki paling awal tiba, jam 5.30 petang dan paling akhir, jam 9 malam," katanya.

Salli sudah dua kali mendaki Gunung Tahan menggunakan laluan M2M menjelaskan mereka diuji dengan laluan licin, berselut dan pacak.

Usai subuh dari Bukit Botak mereka meneruskan pendakian ke puncak Tahan terletak 2.4 km dan mengambil masa 90 minit.

"Mendaki dalam hujan menyebabkan laluan jadi teruk. Ada pendaki terjatuh, namun tidak alami kecederaan.

"Perjalanan turun juga pendaki perlu berhati-hati disebabkan laluan licin. Alhamdulillah, kami selamat sampai di Kuala Juram, jam 12 tengah hari, 29 Ogos lalu," katanya.

Kesukaran ditempuhi sepanjang perjalanan terubat apabila menikmati keindahan flora dan fauna terutama berada di puncak gunung yang bersebelahan dengan Kelantan.

Bakri (tiga dari kiri) bersama sembilan lagi pendaki menyertai program ‘Tahan Merdeka Hike’ ke Gunung Tahan, baru-baru ini.- Foto/Abnor Hamizam Abd Manap
Bakri (tiga dari kiri) bersama sembilan lagi pendaki menyertai program ‘Tahan Merdeka Hike’ ke Gunung Tahan, baru-baru ini.- Foto/Abnor Hamizam Abd Manap
Berita Harian X