Isnin, 4 Julai 2022 | 12:02pm
Bandaraya Melaka di Melaka mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia daripada UNESCO pada 2008. - Gambar hiasan
Bandaraya Melaka di Melaka mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia daripada UNESCO pada 2008. - Gambar hiasan
Melaka destinasi bersejarah yang memiliki pelbagai keunikan.- Foto/Arkib NSTP
Melaka destinasi bersejarah yang memiliki pelbagai keunikan.- Foto/Arkib NSTP

5 lokasi Tapak Warisan Dunia terus unggul

SETIAP tahun, tanggal 7 Julai adalah ulang tahun Tapak Warisan Dunia di Malaysia yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Tapak Warisan Dunia UNESCO menjadi lokasi penting kepada warisan budaya dan khazanah alam semula jadi termaktub dalam Konvensyen Warisan Dunia UNESCO.

Setakat ini, UNESCO sudah mengiktiraf lima tempat bersejarah di Malaysia sebagai Tapak Warisan Dunia, iaitu Taman Negara Mulu di Sarawak (2000), Taman Negara Kinabalu di Sabah (2000), Bandaraya Melaka di Melaka (2008), Georgetown, Pulau Pinang (2008) dan Lembah Lenggong, Perak (2012).

Menurut Pensyarah Sejarah dan Pengajian Umum, Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Fadilah Zaini pengiktirafan itu adalah langkah proaktif bagi menerapkan semangat cintakan sejarah dan warisan negara dalam kalangan rakyat.

Malaysia negara yang sarat tinggalan sejarah, budaya dan sains untuk pendidikan di seluruh dunia.

"Ini sekali gus meningkatkan kemajuan industri pelancongan di Malaysia, selain memelihara lokasi penting daripada musnahkan dek arus permodenan," katanya.

Georgetown kaya dengan tapak warisan dan binaan bersejarah. - Gambar hiasan
Georgetown kaya dengan tapak warisan dan binaan bersejarah. - Gambar hiasan

Georgetown tapak warisan terkenal

Fadilah berkata, kerajaan Pulau Pinang sejak 2010 juga sudah mengisytiharkan, 7 Julai sebagai cuti umum di negeri itu sebagai pengiktirafan meraikan sambutan ulang tahun Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia.

"Georgetown, kota metropolitan terletak di timur laut Pulau Pinang sebagai bandar raya tertua di Malaysia selepas Melaka memiliki banyak tapak warisan sejarah dan kampung tradisi yang lama wujud," katanya.

Sejak bandar raya ini berkembang sebagai tapak warisan terkenal membabitkan kawasan lebih 259 hektar itu merangkumi 3,853 bangunan warisan dan 1,160 struktur moden terpelihara dan masih mengekalkan bentuk sekali gus mengimbas zaman silam terhadap kewujudannya.

Banyak kesan tinggalan sejarah dapat disaksikan umpamanya, beberapa laras meriam, peluru dan senjata di Kota Cornwallis (1786), menara jam Queen Victoria, deretan bangunan kolonial yang masih unggul tersergam indah di sekitar Padang Kota.

Deretan rumah ibadat seperti Masjid Lebuh Acheh, Masjid Kapitan Keling, Kuil Kuan Yin, Kuil Sr Mariamman dan Gereja St George menunjukkan kepelbagaian agama bertapak di Pulau Pinang didirikan sejak 1700-an, selain banyak lagi keunikan warisan budaya di bandar raya itu.

Melaka bandar raya bersejarah

Fadilah berkata, pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sememangnya tepat kerana mempunyai banyak tempat bersejarah yang tinggi nilainya sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain daripada Georgetown pada 7 Julai 2008.

Ia menjadi destinasi bersejarah yang memiliki pelbagai keunikan terutama seni bina yang wujud sejak berusia sehingga ratusan tahun.

Georgetown kaya dengan tapak warisan dan binaan bersejarah. - Gambar hiasan
Georgetown kaya dengan tapak warisan dan binaan bersejarah. - Gambar hiasan

Keistimewaan Melaka sudah tercatat sebagai antara destinasi perdagangan paling popular di dunia dan pelabuhan terpenting di Asia Tenggara.

Banyak kesan sejarah warisan penjajah Portugis, Belanda serta British menjadikan negeri ini antara destinasi utama dikunjungi oleh pelancong dalam dan luar negara.

Taman Negara Gunung Mulu

Taman ini lebih dikenali sebagai Taman Negara Mulu, iaitu taman terbesar di Sarawak sekali gus membolehkan pelancong terus meneroka dan menikmati kepelbagaian jenis tumbuhan, keindahan alam serta hidupan liar yang bertaburan di sekitar kawasan itu.

Taman Negara Mulu, taman terbesar di Sarawak. - Gambar hiasan
Taman Negara Mulu, taman terbesar di Sarawak. - Gambar hiasan

Memiliki bentuk geografi yang unik kawasan taman seluas 52,864 hektar mengandungi tujuh belas zon tumbuhan dan menampilkan kira-kira 3,500 spesies tumbuhan vaskular gua batu kapur menjadikan nilainya begitu tinggi.

"Pelancong boleh mengikuti perjalanan melalui Laluan Kanopi Mulu yang begitu mempesonakan untuk melihat tumbuhan dan hidupan liar di lokasi terbabit.

"Menariknya, laluan sepanjang 480 meter ini adalah laluan pokok yang terpanjang di dunia. Justeru, tidak diragui lagi, Taman Negara Mulu ini diwartakan sebagai pusat warisan khazanah alam dunia, pada November 2000 oleh UNESCO," kata Fadilah.

Taman Negara Kinabalu miliki ekologi mega

Taman Negara Kinabalu, di Sabah yang terletak di bahagian utara Pulau Borneo pula sebagai taman tertua Sabah dihiasi Gunung Kinabalu yang tersergam indah diiktiraf Tapak Warisan Dunia, pada 2 Disember 2000.

Taman Negara Kinabalu adalah taman tertua di Sabah.- Gambar hiasan
Taman Negara Kinabalu adalah taman tertua di Sabah.- Gambar hiasan

"Taman Kinabalu adalah kawasan mempunyai ekologi mega memiliki kepelbagaian habitat dari kawasan rendah tropika, kawasan hutan hujan tropika, sehingga kawasan hutan gunung tropika, hutan separa alpine sehingga tumbuhan renek sebagai Pusat Kepelbagaian Tumbuhan Asia Tenggara," ulasnya.

Kerajaan negeri juga komited untuk terus memajukan Tapak Warisan Dunia Kinabalu ini sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia.

Lembah Lenggong tapak arkeologi

Lembah Lenggong, di Perak adalah tapak arkeologi, bukti penempatan manusia sejak zaman Paleolitik. Penemuan arkeologi paling terkenal di Lenggong adalah Orang Perak (Perak Man), iaitu rangka manusia berusia 11,000 tahun ditemui pada 1990.

Peralatan batu berusia 100,000 tahun digali dekat Kampung Geluk dan Kampung Temelong dan Gua Harimau pula adalah tapak penemuan peralatan gangsa semasa Zaman Gangsa.

Dengan penemuan dan banyak bukti prasejarah hasil kajian dilakukan di Lembah Lenggong tidak mustahil mengapa

UNESCO mewartakan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, sebagai Tapak Warisan Dunia, pada Julai 2012.

Banyak lokasi berpotensi diiktiraf UNESCO

Malaysia mempunyai banyak potensi warisan sejarah, budaya yang boleh dipelihara dan dipulihara untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

mewartakan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, sebagai Tapak Warisan Dunia, pada Julai 2012. - Gambar hiasan
mewartakan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, sebagai Tapak Warisan Dunia, pada Julai 2012. - Gambar hiasan

Fadilah berkata, usaha melindungi dan memelihara sejarah negara perlu diteruskan.

Katanya, langkah itu perlu kerana ia akan dapat menggambarkan betapa nilai sejarah disanjung dan dihayati oleh pihak pemerintah dan rakyat Malaysia untuk warisan generasi akan datang.

Pihak berkuasa negeri dan Persekutuan seharusnya memberi lebih tumpuan kepada aset negara yang bersejarah indah untuk mendapat pengiktirafan UNESCO.

"Selepas diiktiraf UNESCO pihak berkuasa dan rakyat Malaysia perlu melakukan usaha melindungi, memelihara dan memulihara warisan sambil menaik taraf kemudahan sosial untuk memudahkan pelancong luar dan tempatan mengunjungi tempat itu.

"Pemeliharaan dan pemuliharaan nilai sejarah dan keindahan aset ini dengan baik oleh pihak bertanggungjawab akan menyerlahkan penghargaan negara kerana pengiktirafan yang akan diberikan oleh badan dunia itu.

"Ia bukan mudah, tetapi ia baik untuk menggalakkan industri pelancongan negara sekali gus dapat meningkatkan ekonomi rakyat dan negara," katanya.

Mempunyai nilai sejarah yang tinggi

Hakikatnya, di Malaysia ini banyak aset negara yang berpotensi dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia seperti Lembah Bujang di Merbok, Kedah sebagai Tapak Warisan Dunia disebabkan usianya juga lebih tua daripada Melaka.

Selain itu, Kampung Laut di Kelantan, Tapak Arkeologi Sungai Batu, di Kedah yang antara aset sejarah negara yang berpotensi diketengahkan kerana nilai sejarah yang tinggi dan menjadi tempat penting dalam sejarah di Asia Tenggara satu masa dahulu yang perlu dihayati dan dibanggakan.

Selain aset bersejarah itu, Malaysia juga boleh mengetengahkan aset keindahan alam semula jadi seperti Taman Negara Pahang, Taman Royal Belum dan Taman Negara Tanjung Piai seperti juga Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Kinabalu yang perlu dibanggakan kerana keindahan alam yang memiliki kepelbagaian flora fauna, keindahan sungai, air terjun, tasik dan paya bakau.

Berita Harian X