Isnin, 23 Mei 2022 | 10:26am
Antara artifak tembikar ditemui dalam kapal karam dari Thailand di Perairan Pulau Bidong. - Foto/Ihsan UMT
Antara artifak tembikar ditemui dalam kapal karam dari Thailand di Perairan Pulau Bidong. - Foto/Ihsan UMT

Warisan kapal karam

PULAU Bidong di Terengganu tidak sepopular Pulau Perhentian atau Pulau Redang meskipun terletak di negeri sama yang lebih terkenal kerana tarikan pelancongan.

Bagaimanapun, pulau yang tiada penempatan dan pusat peranginan itu masih menjadi pilihan sebagai destinasi pelancongan terutama kepada pencinta sejarah dan alam semula jadi.

Kunjungan ke sini lazimnya untuk melihat keindahan terumbu karang sambil melakukan aktiviti snorkeling atau selam skuba, melawat peninggalan sejarah pelarian Vietnam atau menikmati kepelbagaian flora dan fauna.

Di pulau itu juga ada Stesen Penyelidikan Alami Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan lapangan, lokasi pembelajaran dan pengajaran luar kampus secara praktikal kepada pelajar dalam bidang sains marin, perikanan serta bidang berkaitan kelautan.

Pelbagai kajian, penyelidikan saintifik oleh penyelidik dan pelajar terutama mengkaji ekosistem marin, kepelbagaian sumber hidupan bawah air serta terumbu batu karang.

Tahun depan, UMT akan mewujudkan Pusat Latihan Arkeologi Dasar Laut pertama di negara ini sebagai nilai tambah kepada stesen penyelidikan itu, sekali gus menjadi pusat rujukan penyelidikan arkeologi dasar laut terulung di rantau Asia Tenggara.

Melihat artifak dan tinggalan kapal karam

Namun, menariknya penemuan artifak daripada kapal karam yang ditemui di perairan pulau itu pada 2012 dikenali sebagai 'The Bidong Shipwreck' memberi pengalaman sangat bernilai kepada penyelam profesional UMT berhubung teknik konservasi arkeologi dasar laut.

Proses mencari dan melabelkan artifak yang ditemui dari kapal karam ‘The Bidong Shipwreck’.- Foto/UMT
Proses mencari dan melabelkan artifak yang ditemui dari kapal karam ‘The Bidong Shipwreck’.- Foto/UMT

Menurut Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan yang juga Pensyarah Geosains Marin UMT, Prof Madya Dr Hasrizal Shaari, penemuan artifak itu dipercayai karam sekitar kurun ke-14 dan ke-17.

"Sehubungan itu, modul khas sedang disusun dengan Jabatan Warisan Negara (JWN) untuk melengkapi aspek latihan dan pengajaran bagi kursus yang akan dilaksanakan di Pusat Latihan Arkeologi Dasar Laut berkenaan nanti.

"Pusat itu juga dijangka menjadi perangsang penyelidikan berhubung sejarah kapal karam dan pencarian artifak berharga di dasar laut perairan negara yang sangat sinonim dengan aktiviti perdagangan suatu masa dahulu," katanya.

UMT berhasrat menjadikan pusat latihan itu dengan konsep menyelam #dive4knowledge dan dibuka kepada orang ramai khususnya buat penyelam yang meminati sejarah maritim dan kapal karam.

Ini kerana kebanyakan yang melakukan aktiviti selam skuba juga mahu menikmati keindahan dasar laut. Justeru, pusat latihan itu bakal memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan artifak dan tinggalan kapal karam yang masih berada di dasar laut perairan Pulau Bidong.

"Sebelum ini, ramai melihat ikan atau terumbu karang, tetapi kali ini kita mahu mereka mendapat pengalaman dan ilmu baharu dengan melihat artifak dan serpihan kapal kargo terutama yang meminati arkeologi bawah air.

"Lokasi ini memang sesuai dijadikan #dive4knowledge kerana kedalaman hanya kira-kira 18 meter berbanding lokasi penemuan kapal karam lain di negeri ini yang jauh lebih dalam iaitu 'The Wanli Shipwreck' dengan kedalaman 40 meter; 'The Sintiel Shipwreck' (53 meter) dan 'The Langquan Shipwreck' (63 meter)," katanya.

Banyak lagi artifak di dasar laut

Mengenai 'The Bidong Shipwreck', Hasrizal berkata, lokasi penemuan kapal karam dipercayai dari Thailand adalah secara tidak sengaja oleh pemancing kira-kira 10 tahun lalu.

penemuan artifak itu dipercayai karam sekitar kurun ke-14 dan ke-17.- Foto/UMT
penemuan artifak itu dipercayai karam sekitar kurun ke-14 dan ke-17.- Foto/UMT

Kawasan itu dikatakan mempunyai banyak ikan kerapu dan sudah beberapa kali menaikkan tembikar yang tersangkut pada mata kail secara tidak sengaja dan kemudian memaklumkan penemuan itu kepada UMT.

"Selepas melalui pelbagai proses dan mendapat permit, UMT kemudian berpeluang melakukan proses ekskavasi atau penggalian pertama sepenuhnya pada 2017, berbanding penemuan sebelum ini yang menggunakan perkhidmatan pakar dari luar negara.

"Kali ini proses ekskavasi dilakukan 100 peratus oleh kepakaran tempatan dari awal sehingga akhir termasuk penandaan, membawa naik ke darat dan membawa ke Pulau Bidong," katanya.

Bagaimanapun, proses itu hanya mampu dilakukan bagi tempoh dua minggu berikutan kosnya tinggi.

Namun katanya, dalam tempoh itu pihaknya berjaya menaikkan kira-kira 10 peratus artifak atau sebanyak 366 tembikar terdiri daripada pasu besar, kotak kecil dan botol bertangkai dipercayai untuk kegunaan harian yang kebanyakan sudah pecah serta rosak akibat terlalu lama berada di dalam air masin.

"Kita percaya ada lebih banyak artifak sama kira-kira empat meter lagi dari kawasan itu dan jika diberi peluang kita akan buat penggalian lagi," katanya.

Jadikan pusat penyelidikan

Hasrizal berkata, pihaknya percaya kapal kargo karam dipercayai akibat monsun itu dari Thailand berdasarkan bentuk tembikar ditemui.

Semua artifak itu, kini ditempatkan di Pulau Bidong, iaitu terletak kira-kira satu batu nautika dari lokasi penemuan dan kini dalam proses nyahgaram sejak empat tahun lalu.

"Proses ini memakan masa lama bagi mengeluarkan garam pada tembikar yang sudah berada terlalu lama dalam laut dan meresap dalam artifak diperbuat daripada tanah liat.

"Berbanding artifak dari porselin yang mempunyai nilai lebih tinggi, ia tidak mengambil masa lama untuk proses nyahgaram kerana kandungan garam yang sudah tinggi dalam pembuatannya," katanya.

Prof Madya Dr Hasrizal Shaari.
Prof Madya Dr Hasrizal Shaari.

Ketika ini, lokasi penemuan kapal karam itu sudah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan artifak serta tinggalan kapal karam di lokasi berkenaan dilindungi.

"Kita harap menjadikan Pulau Bidong sebagai Pusat Latihan Arkeologi Dasar Laut akan berjalan lancar mengikut perancangannya.

"Pada tahun 2020, kita juga sudah menerima daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dua kapal Vietnam yang sudah dilucut hak oleh mahkamah untuk dijadikan tukun penyelidikan.

"UMT sudah memohon dua lagi kapal sama daripada APMM untuk tujuan penyelidikan dan pendidikan, selain sebagai pencegahan aktiviti bot tunda di kawasan itu," katanya.

Justeru, beliau berharap pusat pendidikan itu mampu menarik pelajar yang minat dalam bidang arkeologi di dalam air dan menjadikan Pulau Bidong destinasi pilihan pelancong dengan adanya aktiviti #dive4knowledge nanti.

Ada lagi kapal karam dipercayai belum ditemui

Pulau seluas 230 hektar yang kini di bawah pengurusan taman negeri itu hanya terletak kira-kira 20 sehingga 30 minit dari Jeti Merang.

Penemuan empat lagi kapal karam di perairan Terengganu jelas menunjukkan perairan negeri ini menjadi antara laluan utama kapal perdagangan termasuk dari China dan Portugis pada zaman dahulu.

"Jadi saya percaya masih ada lagi kapal karam di perairan negeri ini yang belum dijumpai dan sekiranya penemuan seperti 'The Bidong Shipwreck' dapat dijumpai pada masa hadapan ia boleh menyumbang kepada peningkatan aktiviti penyelidikan berasaskan arkeologi bawah air negara," katanya.

Tahun lalu, UMT dengan kerjasama JWN, syarikat korporat dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melancarkan tapak selaman baharu yang diletakkan sebanyak 11 monumen mercu tanda mini mewakili setiap negara ASEAN.

 

Lokasi selaman lain yang sedia ada di Pulau Bidong ialah Galeri Dasar Laut, Ladang Coral, Christmas Garden, Pulau Karah, Terumbu Kerisi, Terumbu Tenggiri, Karang Tengah, Gorgonian Garden, Karang Deloh, Pulau Batu Tengkorak dan beberapa lagi lokasi selaman yang masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.

Tapak selaman di Pulau Bidong mula menjadi tarikan kepada pelancong sejak 2017, namun terhad kepada lawatan harian sahaja.

Berita Harian X