Isnin, 21 March 2022 | 10:30am

Rahsia keunikan Pulau Bidong

PULAU Bidong terletak di daerah Kuala Nerus, Terengganu dengan keluasan 203 hektar persegi dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Pulau Vietnam.

Lokasi ini pernah dijadikan sebagai pusat penempatan pelarian dari negara Vietnam suatu ketika dulu, sekitar 1976 hingga 1991.

Menurut catatan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu, kependudukan pelarian Vietnam di Pulau Bidong bermula pada Ogos 1978 apabila Kerajaan Persekutuan mewartakannya sebagai pusat penempatan bagi memudahkan urusan bantuan perubatan, makanan dan kemanusiaan kepada warga Vietnam yang melarikan daripada krisis peperangan di negara mereka.

Pada Oktober 1978 jumlah pelarian mencecah sehingga 60,248 orang pelarian direkodkan ditempatkan di pulau ini.

Tapak selaman di Pulau Bidong mampu menjadi tarikan utama untuk datang ke Terengganu. - Foto/Ihsan UMT
Tapak selaman di Pulau Bidong mampu menjadi tarikan utama untuk datang ke Terengganu. - Foto/Ihsan UMT

Sehinggalah pada 30 November 1991, Pulau Bidong diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Bermula 2015, Pulau Bidong berada di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Nerus, selepas ia diwujudkan sebagai daerah baharu yang kelapan diasingkan daripada Daerah Kuala Terengganu.

Pelancongan berasaskan warisan

Sejak kebelakangan ini, nama Pulau Bidong semakin dikenali umum selepas usaha dilakukan oleh kerajaan negeri untuk memajukan lagi Pulau Bidong sebagai pelancongan berasaskan warisan.

Usaha ini bukan sesuatu yang baharu, malah bermula sejak 1991 selepas penutupan secara rasmi pusat penempatan pelarian Vietnam ataupun kem 'orang hanyut' Vietnam.

Pulau Bidong masih dilawati saban tahun oleh bekas penghuni atau waris yang pernah berada di sini bagi mengimbau kenangan dan menziarahi kubur pelarian yang meninggal semasa berada dalam kem pelarian.

Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu sentiasa memberikan tumpuan dan usaha bagi menjadikan Pulau Bidong sebagai sebuah lagi destinasi pelancongan pilihan selain pulau-pulau terkenal sedia ada seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol.

Mempunyai keunikan tersendiri

Malah, Pulau Bidong turut mempunyai keunikan tersendiri untuk ditawarkan kepada pelancong selepas menjadi kawasan larangan selama hampir 15 tahun.

Beberapa lokasi selaman yang masing-masing ada keunikan tersendiri di Pulau Bidong. - Foto/Ihsan UMT
Beberapa lokasi selaman yang masing-masing ada keunikan tersendiri di Pulau Bidong. - Foto/Ihsan UMT

Di kawasan jeti utama pulau ini diuruskan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Di sini terdapat tapak kawasan perkhemahan untuk pengunjung dengan kemudahan tandas dan surau.

Pelancong boleh memilih datang seharian atau bermalam dengan mendirikan khemah di tapak disediakan.

Terdapat dua pengusaha pelancongan beroperasi di sini, iaitu Summerset Bidong Island yang mempunyai pusat selaman, Divex Garage dan Bidong Bay Campsite turut menawarkan tapak perkhemahan dan penginapan.

Tidak jauh daripada kawasan jeti terdapat sebuah pusat inkubator pembiakan batu karang diusahakan oleh Yayasan Coral Malaysia (YCM).

Pusat ini menjalankan aktiviti pembiakan koloni batu karang di beberapa lokasi dasar laut sekitar Pulau Bidong bersama komuniti tempatan.

11 monumen mercu tanda negara ASEAN

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut mempromosikan Pulau Bidong sebagai destinasi pelancongan. Pada penghujung November 2021, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri melancarkan tapak selaman baharu yang diletakkan 11 monumen mercu tanda mini mewakili setiap negara ASEAN.

Sebelas mercu tanda mini itu ialah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), Cambodia Independence Monument (Kemboja), Patuxai Monument (Laos), Indonesia National Monument (Indonesia) dan Shwedagon Pagoda (Myanmar).

Selain itu, Joe Rizal monument (Filipina), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan (Thailand), Tran Quoc Pagoda (Vietnam) dan logo ASEAN Secretariat (ASEAN) turut diletakkan di tapak selaman itu.

Pulau Bidong semakin dikenali selepas usaha kerajaan negeri untuk memajukannya sebagai pelancongan berasaskan warisan. - Foto/Ihsan UMT
Pulau Bidong semakin dikenali selepas usaha kerajaan negeri untuk memajukannya sebagai pelancongan berasaskan warisan. - Foto/Ihsan UMT

Setiap monumen ini dibina khas bagi menunjukkan kepelbagaian dan perpaduan budaya antara negara ASEAN, bakal menarik pelancong serta penggiat selam skuba untuk meneroka tapak selaman terbaharu ini.

Lokasi selaman lain sedia ada di Pulau Bidong ialah Galeri Dasar Laut, Ladang Coral, Christmas Garden, Pulau Karah, Terumbu Kerisi, Terumbu Tenggiri, Karang Tengah, Gorgonian Garden, Karang Deloh, Pulau Batu Tengkorak dan beberapa lagi lokasi selaman yang masing-masing ada keunikan tersendiri.

Malah, tapak selaman di Pulau Bidong mampu menjadi tarikan utama untuk datang ke Terengganu. Pakej tapak selaman ini pastinya menjadi pilihan baharu kepada penggiat selam skuba selain Pulau Tenggol, Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Menjadi pusat penyelidikan

Pulau Bidong juga terdapat pusat penyelidikan yang dimiliki oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dikenali sebagai Stesen Penyelidikan Alami Pulau Bidong.

Ia berfungsi sebagai pusat penyelidikan lapangan, lokasi pembelajaran dan pengajaran luar kampus secara praktikal kepada pelajar dalam bidang sains marin, perikanan serta bidang berkaitan kelautan.

Gabungan elemen pelancongan, warisan dan penerokaan ilmu menjadikan ia pulau yang unik. - Foto/Ihsan UMT
Gabungan elemen pelancongan, warisan dan penerokaan ilmu menjadikan ia pulau yang unik. - Foto/Ihsan UMT

Kajian ekosistem batu karang antara penyelidikan sedang dijalankan di sini bagi mengenal pasti kelestarian hidupan batu karang untuk difahami bukan sahaja di Pulau Bidong, malah di terumbu karang utama negara ini.

Stesen ini sentiasa menjadi lokasi acara utama di Pulau Bidong dan menjadi pusat latihan selaman agensi keselamatan kerajaan dan korporat.

UMT turut menubuhkan Pusat Selam Skuba bagi melatih dan menyokong aktiviti selam skuba di Pulau Bidong, untuk pelajarnya dan dibuka kepada orang awam yang berminat mendapatkan lesen menyelam.

UMT turut meneroka penyelidikan dalam bidang arkeologi bawah air dengan mengenal pasti tapak kapal karam yang berusia ratusan tahun di perairan Pulau Bidong untuk dijadikan sebagai pusat latihan arkeologi bawah air dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan syarikat korporat.

Tiga elemen majukan industri pelancongan

Namun begitu, tidak seperti pulau pelancongan lain, Pulau Bidong mempunyai kekangan sendiri kerana bilangan kemudahan penginapan masih terhad dan kebenaran berkunjung dikawal atas faktor keselamatan, kepentingan melindungi pelbagai tapak tinggalan sejarah dan struktur binaan lama.

Oleh kerana bilangan bilik penginapan terhad, kekerapan pengangkutan bot ke sini agak kurang berbanding ke Pulau Redang.

Pemandangan dari udara Pulau Bidong yang juga dikenali penduduk tempatan sebagai Pulau Vietnam. - Foto/Ihsan Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Pemandangan dari udara Pulau Bidong yang juga dikenali penduduk tempatan sebagai Pulau Vietnam. - Foto/Ihsan Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Model pelancongan berasaskan warisan dan kesediaan Pulau Bidong untuk ditawarkan kepada pelancong dan keupayaan kemudahan asas yang ada masih perlu dipertingkatkan lagi jika ingin dijadikan sebagai destinasi pelancongan umum sepenuhnya.

Pulau Bidong berpotensi dibangunkan lebih baik lagi jika dapat menggabungkan ketiga-tiga elemen iaitu pelancongan, warisan dan penerokaan ilmu dapat ditawarkan kepada pelancong.

Ia boleh menjadi produk eksklusif unik dan tidak terdapat dalam pakej pelancongan seperti pulau lain.

Sebagai komuniti sedia ada di Pulau Bidong, iaitu UMT, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, YCM dan operator pelancongan boleh membentuk satu konsortium khas bagi membangunkan pakej ke Pulau Bidong.

Kemudahan dan peruntukan yang disediakan kerajaan negeri setiap tahun perlu dipastikan memberikan manfaat dan menyokong pembangunan secara lestari serta aktiviti pelancongan di Pulau Bidong.

Pelancong boleh memilih datang seharian atau bermalam dengan mendirikan khemah. - Foto/Ihsan UMT
Pelancong boleh memilih datang seharian atau bermalam dengan mendirikan khemah. - Foto/Ihsan UMT

Berita Harian X