Jumaat, 7 Januari 2022 | 10:45am
Pelbagai produk kulit dihasilkan seperti beg tangan, tali pinggang, topi, sarung tangan dan sarung kunci sebagai cenderahati.- Foto/Essa Abu Yamin
Pelbagai produk kulit dihasilkan seperti beg tangan, tali pinggang, topi, sarung tangan dan sarung kunci sebagai cenderahati.- Foto/Essa Abu Yamin

Keunikan hasil kraf tangan bandar diraja

SEBUT sahaja Muar, Johor pasti terus mengingati pelbagai menu makanan enak seperti mi Bandung, sate, asam pedas dan Kopi 434 sekali gus menjadikan ia cukup sinonim dengan bandar itu.

Muar antara 10 daerah di Johor ini yang turut dikenali sebagai Bandar Maharani, diisytihar sebagai Bandar Diraja pada 2012, tetapi masih mengekalkan pelbagai khazanah sejarah dan budaya berharga.

Di sebalik semua itu Muar yang juga mendapat jolokan bandar pencen, menawarkan kepelbagaian lokasi menarik untuk diterokai.

Yang menarik, Muar ada dua perusahaan kraftangan popular, iaitu pelbagai produk kraf berasaskan kulit dan pembuatan songkok.

Muar Leather Craft (MLC) yang menghasilkan produk kraf berasaskan kulit kambing dan lembu dan ikan pari ini semakin mendapat perhatian pengunjung.

Jaket kulit antara dihasilkan MLC
Jaket kulit antara dihasilkan MLC

Kesempatan penulis menyertai Southern Hidden Gem, Ekpresi Media Johor 2021 anjuran Tourism Malaysia, baru-baru ini berpeluang singgah ke MLC dan melihat secara dekat keunikan produk kraf kulit berkenaan.

Di MLC banyak produk kulit yang dihasilkan dan dijual kepada pengunjung seperti beg tangan, tali pinggang, topi, sarung tangan, sarung kunci kenderaan dan beberapa lagi cenderahati.

Di sini pengunjung akan diberi penerangan oleh MLC mengenai material kulit termasuk pembuatan dan jenis kulit yang dijadikan sebagai kraf tangan berkualiti.

Pemilik MLC, Roslin Osman, berkata tujuan utama MLC diwujudkan adalah sebagai sebahagian projek tanggungjawab sosial (CSR) perusahaannya kepada masyarakat setempat mahupun luar.

Katanya, MLC dibuka di Muar pada 2018 yang bertujuan untuk memberi pendedahan, mendidik masyarakat mengenai ilmu berkaitan kulit dan bagaimana mengenal jenis material kulit serta kegunaannya.

MLC hasilkan produk kraf berasaskan kulit kambing dan lembu dan ikan pari. - Foto/Essa Abu Yamin
MLC hasilkan produk kraf berasaskan kulit kambing dan lembu dan ikan pari. - Foto/Essa Abu Yamin

"MLC memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman membuat sendiri produk kulit berkenaan yang juga dikendalikan kakitangan mereka bagi menghasilkan cenderahati yang istimewa untuk pilihan pengunjung.

"Selain pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang datang berkunjung, MLC juga menjadi tumpuan pelancong dari luar negara terutamanya Singapura melihat perusahaan ini, selain terus membelinya," katanya.

Songkok Masood Hussin

Tidak terhenti di situ, penulis meneroka satu lagi produk kraf tangan, iaitu songkok buatan tangan warisan Masood Hussin semakin sinonim dengan bandar Muar yang kaya dengan warisan sejarah.

Butik Songkok Masood Hussin terletak di Jalan Majidi, Taman Tanjung menawarkan hasil produk secara buatan tangan yang halus, kemas dan berkualiti.

Pelanggan boleh menempah rekaan mengikut warna dan jenis fabrik dengan saiz ukuran kepala yang lebih tepat dan lebih eksklusif.

Menurut Pemilik Butik Songkok Masood Hussin, Nurdalila Abd Ghani, songkok yang dihasilkan butik berkenaan bukan sahaja menarik pelanggan tempatan, mahupun luar negara, malah pernah menerima tempahan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar serta pemimpin kerajaan termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Butik paling sibuk musim perayaan

Beliau mewarisi ilmu dan bakat membuat songkok secara turun-temurun daripada datuknya, Allahyarham Masood Hussin, sejak usia remaja.

Perusahaan itu mula bertapak pada 1945 yang nama asalnya dikenali

sebagai Toko Harmuni sebelum ditukar kepada Butik Songkok Masood Hussin Muar.

Butik Songkok Masood Hussin menyediakan songkok buatan tangan yang juga popular dalam kalangan pemimpin negara.- Foto/Essa Abu Yamin
Butik Songkok Masood Hussin menyediakan songkok buatan tangan yang juga popular dalam kalangan pemimpin negara.- Foto/Essa Abu Yamin

Songkok berharga antara RM15 hingga RM400 ini dengan warna utama hitam dan 'navy blue' dengan bentuk songkok rata, songkok bulat (songkok daeng), songkok lipat dan songkok istiadat.

Lazimnya pada sambutan Aidilfitri dan Aidiladha butik songkok ini menjadi lokasi paling sibuk diserbu pelanggan.

Berita Harian X