Rabu, 8 Disember 2021 | 10:11am
Sarang burung tergantung dianyam cantik sebagai hiasan taman jadi ‘port’ digemari rakam gambar dan video. - Foto ihsan Tourism Johor
Sarang burung tergantung dianyam cantik sebagai hiasan taman jadi ‘port’ digemari rakam gambar dan video. - Foto ihsan Tourism Johor

'Bak puteri menunggu sang pangeran'

SEKILAS pandang suasana persekitaran Kampung Putuo, Felda Taib Andak, Kulai, Johor, saling tak tumpah seperti di Hutan Pinus, Jogjakarta.

Lokasinya seakan di dalam hutan dan banyak tanaman pokok menghijau yang begitu menarik merakam video dan gambar sebagai kenangan termasuk untuk raja sehari.

Menyelusuri terus ke perkampungan ini, mata terpaku melihat alam sekitarnya dengan ribuan pokok buluh dan spesies pepohon lain, ada kawasan sebegini mempunyai tarikan tersendiri dan keadaannya begitu teratur di daerah pedalaman ini.

Pamer keindahan seni

Menerusi maklumat dibaca penulis, Kampung Putuo dibina sebagai sebuah perkampungan budaya dihuni oleh penganut Buddha yang mempunyai jalan penceritaan sejarah dan lagenda.

Pembinaan kawasan ini menyerlahkan tradisi unik yang turut mempamerkan keindahan seni dan Buddhisme untuk menarik pelancong mengamati budaya dan menyelami alam semula jadi.

Di kawasan seluas 17.4 hektar ini ada kuil, patung Buddha, kolam yang dihuni kura-kura dan pelbagai tarikan lain.

Melangkah masuk kawasan ini panorama seakan dalam sebuah taman nan indah dan mendamaikan.

Bezanya di Kampung Putuo dengan Hutan Pinus, kawasan di sini dipenuhi tanaman pokok buluh di dalam premisnya, selain binaan landskap yang pelbagai.

Nor Haiza dan suami kagum dengan keindahan landskap Kampung Putou yang dikunjungi baru-baru ini. - Foto ihsan Nor Haiza
Nor Haiza dan suami kagum dengan keindahan landskap Kampung Putou yang dikunjungi baru-baru ini. - Foto ihsan Nor Haiza

Laluan pejalan kaki diwarnakan dengan rona pelangi menambah keindahan kawasan ini. - Foto ihsan Nor Haiza
Laluan pejalan kaki diwarnakan dengan rona pelangi menambah keindahan kawasan ini. - Foto ihsan Nor Haiza

Buluh disusun rapi menambah pesona di Kampung Putuo.
Buluh disusun rapi menambah pesona di Kampung Putuo.

Bak puteri menunggu sang pangeran

Ada laluan dengan ratusan buluh disusun rapi menutupi bumi serta buluh dicat berwarna-warni dipacak menegak.

Landskap dilengkapi pelbagai tarikan lain termasuk pelbagai jenis buaian termasuk katil yang digantung. Di sini dapat merasai damainya alam ketika menghayunkan buaian berulang kali ke udara sambil fikiran menerawang lagaknya seperti si puteri kayangan menunggu sang pangeran.

Di sini juga ada buai sarang burung gergasi tergantung dianyam cantik sebagai hiasan taman yang menjadi 'port' digemari pengunjung mengambil gambar dan video.

Di sudut lain pula, ada kawasan laluannya dicat berselang-seli aneka rona pelangi, selain terdapat juga bingkai gambar gergasi berwarna kuning dan putih yang juga menjadi tempat digemari pengunjung.

Rimbunan buluh mendamaikan

Hakikatnya, premis ini juga ada dewan kebudayaan dan tempat beribadat kaum Buddha sesuai dengan binaannya di dalam hutan eko buluh.

Melihat deretan dan rimbunan pokok buluh menjadikan lokasi itu teduh bagi melindungi sekitarnya daripada panahan matahari serta bahang cuaca panas.

Terfikir di benak minda, berapa lama masa diambil bagi menanam pokok buluh itu yang tumbuh merimbun sehingga mampu memenuhi sebahagian besar tempat itu.

Ternyata Kampung Putuo antara destinasi baharu yang mampu menarik pelancong daripada pelbagai latar belakang, usia agama dan bangsa kerana keunikannya.

Dari sebuah tempat ibadah, ia mampu menjadi tempat tarikan yang tidak rugi untuk dilawati.

Antara pemandangan di dalam Kampung Putuo.
Antara pemandangan di dalam Kampung Putuo.

Pesona di kawasan terpencil

Lantas penulis teringat lagi pengalaman sewaktu ke Jogjakarta, bagaimana rakyat di sana berusaha menjadikan tempat yang biasa, diubahsuai dengan sentuhan kreatif sehingga mampu memberi kepuasan untuk bergambar.

Terfikir kewujudan tempat ini walaupun terletak di kawasan terpencil dan kawasan kebun kelapa sawit ia tetap menyerlahkan pesona negara ini kaya dengan produk pelancongan menarik.

Kita tidak perlu berbelanja mahal dan terbang jauh sebaliknya dapat menikmati suasana keindahan menyamai destinasi pelancongan lain di luar negara.

Seperti bingkai gambar menjadi tempat kegemaran pengunjung merakam foto dan video.
Seperti bingkai gambar menjadi tempat kegemaran pengunjung merakam foto dan video.

Info: Kampung Putuu

  • Terletak Felda Taib Andak, Kulai, Johor
  • Waktu operasi: 8.30 pagi - 5 petang
  • Operasi dibuka setiap hari
  • Tiket masuk: RM5 (dewasa)
  • RM10 (pelawat asing)
  • Percuma kanak-kanak bawah 12 tahun dan orang kurang upaya (OKU).
  • Penulis (kanan) bersama ibunya turut teruja menikmati panorama di Kampung Putuo. - Foto ihsan Nor Haiza
    Penulis (kanan) bersama ibunya turut teruja menikmati panorama di Kampung Putuo. - Foto ihsan Nor Haiza

    Berita Harian X