Isnin, 1 November 2021 | 11:24am
Penemuan fosil tulang haiwan dan manusia di Bukit Keteri, antara bukti permulaan tamadun awal manusia bertapak di Perlis.
Penemuan fosil tulang haiwan dan manusia di Bukit Keteri, antara bukti permulaan tamadun awal manusia bertapak di Perlis.
Asmaiza Ahmad
Asmaiza Ahmad

Perlis kaya pelbagai legenda sejarah

Kerajaan Negeri Perlis melihat penemuan fosil tulang dan tengkorak manusia prasejarah dan lukisan gua zaman proto sejarah di Bukit Keteri dan Semadong berusia 5,000 hingga 10,000 tahun sebagai usaha membuka produk baharu pelancongan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis Asmaiza Ahmad, berkata penemuan itu sangat penting kepada masyarakat di negara ini kerana ia menunjukkan permulaan tamadun awal manusia bertapak di negeri berkenaan.

"Kita tiada halangan beri ruang kepada Jabatan Warisan Negara (JWN) membuat kajian, penyelidikan dan sebagainya.

"Ini memberi signifikasi kepada pemain industri pelancongan di negara ini untuk meneroka produk pelancongan yang banyak di Perlis termasuk penemuan arkeologi bersejarah ini.

"Kita akan bekerjasama dengan JWN memastikan lokasi ini diwartakan menjadi tempat pelancongan supaya tiada perbuatan vandalisme dan penemuan bersejarah terus dipulihara," katanya.

Perlu segera wartakan

Bagi aktivis alam sekitar dan pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Perlis Nature and Wildlife (PNW), Syamil Abdul Rahman, menyifatkan penemuan itu penting untuk pembangunan sejarah di negeri ini.

"Kerajaan mesti segera mewartakannya. Jika dilihat dari segi pemilikan ia di bawah kerajaan negeri dan JWN pula perlu sahkan dan mengiktiraf penemuan ini.

"Justeru, perlu bersama menjaga dan memulihara kawasan ini daripada dicerobohi atau dimusnahkan.

"Jika dilihat akses masuk ke dalam kawasan ini ia tidak sukar dan berisiko tinggi untuk dicerobohi," katanya.

Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi Beseri, Mata Ayer dan Chuping, Reswan Ramli berpendapat, penemuan itu membuka peluang bukan hanya pelancong tetapi pengkaji sejarah untuk menyelidik sejarah berkaitan negeri ini.

"Kita melihat penemuan artifak arkeologi ini bermanfaat untuk jati diri bagi mengenali asal usul dan permulaan serta evolusi Perlis dalam pembentukan sejarah negara ini.

"Perlis kecil tetapi kaya pelbagai legenda sejarah termasuk tinggalan Hikayat Raja Bersiong dan kubur lama pengasas tempat di negeri ini.

"Jadi, kerajaan negeri perlu menawarkan pakej yang terbaik bagi memperkenalkan tempat ini kepada pelancongan domestik dan pengembara antarabangsa sebagai lokasi wajib dilawati," katanya.

Berita Harian X