Isnin, 1 November 2021 | 10:33am
Kakitangan JWN menunjukkan sebahagian fosil tulang berusia antara 5,000 hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri.- Foto/BERNAMA
Kakitangan JWN menunjukkan sebahagian fosil tulang berusia antara 5,000 hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri.- Foto/BERNAMA
Petugas menunjukkan fosil tulang yang ditemui di Bukit Keteri, baru-baru ini. Foto/Aizat Sharif
Petugas menunjukkan fosil tulang yang ditemui di Bukit Keteri, baru-baru ini. Foto/Aizat Sharif
Tapak penemuan fosil tulang ini wajar diwartakan elak dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab. - Foto/Aizat Sharif
Tapak penemuan fosil tulang ini wajar diwartakan elak dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab. - Foto/Aizat Sharif
Fosil tulang dan tengkorak manusia antara ditemui. - Foto/Aizat Sharif.
Fosil tulang dan tengkorak manusia antara ditemui. - Foto/Aizat Sharif.
Mohd Azmi Mohd Yusof.
Mohd Azmi Mohd Yusof.

Perlis 'bumi' prasejarah

MESKIPUN terletak di negeri paling kecil dengan keluasan 819 kilometer persegi dan populasi penduduk seramai 254,400 orang, Perlis tetap menyerlah menerusi pelbagai aspek termasuk dari segi khazanah warisan prasejarah.

Penemuan demi penemuan fosil tulang, tengkorak, haiwan dan lain-lain yang berusia berusia ribuan tahun lampau memaparkan keindahan, keunikan serta keluarbiasaan berasaskan bidang arkeologi.

Lantas ia juga mampu menjadikan aset membuka lembaran seterusnya bagi industri pelancongan Perlis.

Sebelum ini, pakar geologi tempatan menemui sejenis fosil hidupan laut dinamakan 'crinoid' (hidupan zaman paleozoik) dipercayai berusia 370 juta tahun ditemui di Kampung Guar Jentik, Kangar, beberapa tahun lalu.

Pernah ditemui adalah fosil batang kayu berusia 280 juta tahun di Bukit Chondong, di Kangar (pada 2015), selain dua penemuan fosil cengkerang laut atau 'saccostrea cucculata' berusia 7,000 tahun, iaitu masing-masing Gua Bukit Kubu, Kuala Perlis dan Kampung Binjai di utan Aji, satu lagi fosil gigi gajah mamoth, juga ditemui di Kampung Kok Kelang (pada 1998).

Tidak terhenti di situ, baru-baru ini pula, ditemui fosil tulang berusia antara 5,000 hingga 10,000 tahun serta lukisan gua zaman proto sejarah, Bukit Keteri dan Semadong, Kangar.

Berdasarkan penemuan itu, kajian secara mendalam wajar dilakukan kerana dipercayai pelbagai fosil unik di Perlis mungkin boleh ditemui.

Perlis kaya formasi batu kapur

Mengulas mengenai penemuan terbaharu itu,

Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohd Azmi Mohd Yusof, berkata ini pihaknya menemui rangka dan lukisan gua itu membuktikan Perlis kaya dengan formasi batu kapur mempunyai gua yang menemukan pelbagai bukti arkeologi.

Dalam konteks itu, ia mendedahkan mengenai kepentingan Perlis dalam perkembangan dan pergerakan manusia zaman prasejarah.

"Kajian mendedahkan penemuan data arkeologi membuktikan bahagian formasi batu kapur di Perlis pernah diduduki manusia sejak 5,000 hingga 10,000 tahun lalu.

"Menerusi kajian terbaharu kami, pada formasi batu kapur menemui pecahan rangka manusia dianggar sebagai rangka zaman pra sejarah dan lukisan gua menggambarkan haiwan seperti mawas, ular, lembu, gajah serta gambaran manusia diandaikan dilukis di dinding gua sekitar zaman proto sejarah.

"Sekiranya dilihat, andaian ini berdasarkan perbandingan awal dibuat dengan penemuan arkeologi di Perlis terutama di gua di kawasan Bukit Chuping, Bukit Tegun Lembu, Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul digunakan sebagai tapak pengebumian masyarakat Neolitik berdasarkan penemuan artifak yang selalunya dikaitkan dengan perkuburan masyarakat itu," katanya.

Perkembangan era proto sejarah

Beliau berkata, penemuan kalam semah atau 'votive tablet' di Gua Berhala dan Gua Kurong Batang yang mempunyai imej Avaloketisvara dan Bodhisattva serta ayat suci Buddha menunjukkan Perlis, negeri yang menyumbang kepada perkembangan era proto sejarah di Malaysia.

"Data arkeologi ini dapat menyokong dan menambahkan lagi data dibina sebelum ini, dahulu Perlis adalah laluan perdagangan dan jalan utama digunakan masyarakat prasejarah, berevolusi dan berkembang daripada sudut sosio-budaya, ekonomi, sains dan teknologi ketika zaman proto sejarah.

"Penemuan seperti alat batu 'sumatralith' juga membuktikan wujudnya kebudayaan 'Hoabinhian' di Perlis. Ini bukti masyarakat mengamalkan kebudayaan zaman Neolitik juga banyak ditemui di gua di sekitar Perlis dengan jumpaan artifak seperti tembikar tanah dan beliung kapak batu bergilap serta gelang batu.

"Hasil penyelidikan arkeologi lain juga mendapati kesan kewujudan Hindu Buddha yang boleh ditakrifkan sekitar zaman proto-sejarah dan masyarakat di Perlis terus berkembang sehingga wujud sebuah pemerintahan beraja pada 1834 dengan pertabalan Syed Hussain Syed Harun Jamalullail sebagai Raja Perlis yang pertama," katanya.

Dalam laporan beliau juga menyebut penemuan fosil tulang dan tengkorak di Bukit Keteri itu terdapat beberapa serpihan rangka berselerakan di tanah yang hampir tidak dapat dikenal pasti jenis tulangnya.

"Mungkin ada tulang haiwan ditanam bersama dan beberapa jenis tulang juga yang diambil daripada pemberi maklumat untuk JWN mengenal pasti jenis tulang itu.

"Sumber makanan masyarakat zaman Epi Paleolitik seperti penemuan kulit siput jenis broatia costula dan broatia spinosa yang terdiri daripada pelbagai saiz turut ditemui.

Siput sungai ini dijadikan sebagai sumber makanan utama, selain daripada haiwan buruan dan memungut hasil hutan oleh masyarakat pada zaman prasejarah ini," katanya.

Kajian arkeologi sejarah diteruskan

JWN sedang melakukan proses mewartakan kawasan penemuan arkeologi bersejarah itu supaya ia dapat dipulihara dan berkemungkinan menjadi satu tempat pelancongan selepas ini.

"Proses ini bergantung kepada kerajaan negeri Perlis dan kerajaan Pusat dan apabila kerajaan negeri sudah bersedia maksudnya dari segi penyelesaian pemilikan kawasan, maka kerajaan negeri akan maklumkan kepada JWN dan kita akan bertindak dari sana.

"Jika tiada sebarang isu seperti bantahan pewartaan, lebih cepat dilaksanakan dan kawasan ini perlu dipulihara daripada dicerobohi seperti vandalisme.

"Kita juga akan teruskan ekplorasi gua sekitar Perlis dengan koordinasi pelbagai pihak termasuk pusat pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pakar dalam bidang arkeologi untuk memahami dengan apa perlu.

"Di bahagian depan (Gua Semadong), Bukit Keteri ada banyak fosil. Kita cuma mengambil masa untuk kajian lanjut.

"Gua di Perlis pernah menjadi penempatan zaman prasejarah serta proto sejarah. Kita akan terus memantau perkembangan ini." katanya.

Jelasnya, fosil tulang dan tengkorak prasejarah di Bukit Keteri serta lukisan gua di Semadong, ditemui sejak 2018 oleh aktivis alam sekitar serta badan bukan kerajaan (NGO), Perlis Nature and Wildlife (PNW) dan Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Perlis Climbers) giat meneroka alam semula jadi sekitar Perlis.

Namun, eksplorasi bersama JWN dilakukan pada Julai tahun lalu sebelum diberhentikan sementara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berita Harian X