Ahad, 24 Oktober 2021 | 12:01pm

Perkampungan antarabangsa Bukit Besi

BANCUHAN telur dan pasir bagi menghasilkan struktur siling dijadikan tempat penyimpanan harta bagi pendulang bijih timah di Bukit Besi, Dungun, Terengganu ini, antara terowong artifak masih kukuh walaupun sudah berusia 91 tahun.

Walaupun pada mulanya terowong yang dibina pada tahun 1929 dijadikan tempat simpanan bijih besi sudah bersih, sebelum dihantar ke beberapa negara termasuk China dan Amerika Syarikat (AS), tetapi siling hasil gabungan bancuhan telur dan pasir masih teguh sehingga kini.

Selepas ketiadaan bijih besi, terowong itu dipercayai dijadikan sebagai tempat simpanan harta oleh pendulang dari warga asing terbabit sebelum aktiviti perlombongan dihentikan.

Selain itu, terdapat juga pelbagai bangunan lama diperbuat daripada batu dijadikan tempat pemerosesan bijih dan laluan kereta api masih teguh berdiri di kawasan perlombongan Bukit Besi.

Sejarah perlombongan di Bukit Besi itu bukan sahaja memaparkan memori peninggalan penjajah dalam sosio-ekonomi penduduk tempatan, tetapi juga bukti wujudnya perkampungan antarabangsa di negara ini sejak 1929.

Pada era kegemilangan Bukit Besi, kawasan itu didiami warga British, AS, Kanada, Australia, Belanda, Jerman, Afrika Selatan, India dan China, yang bekerja sebagai pelombong.

Tumpuan warga asing yang menetap di kawasan itu menjadikan Bukit Besi dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk kolam renang pertama di negara ini, lengkap dengan papan anjal yang dibina pada 1950-an.

Aktiviti perlombongan yang beroperasi 24 jam secara manual turut dilengkapi pelbagai kemudahan. - NSTP/Baharom Bakar
Aktiviti perlombongan yang beroperasi 24 jam secara manual turut dilengkapi pelbagai kemudahan. - NSTP/Baharom Bakar

Sejarah kegemilangan perlombongan

Yang nyata, Bukit Besi adalah nadi pertumbuhan ekonomi negara terutama di Terengganu apabila sebuah syarikat dari Jepun, Kuhara Mining Limited diberi lesen untuk aktiviti perlombongan pada Mei 1930.

Aktiviti perlombongan yang beroperasi 24 jam secara manual turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk stesen kereta api, sekolah, balai polis, hospital dan pawagam.

Dahulu ada jajaran landasan kereta api dari Bukit Besi ke Jeti Sura, Dungun yang digunakan syarikat Jepun mengangkut bijih besi untuk dieksport.

Bijih timah itu dieksport ke Jepun melalui Sura, Kuala Dungun. Di Bukit Besi terdapat sebuah landasan kereta api untuk mengangkut keluar bijih-bijih besi itu.

Inilah keunikan Bukit Besi kerana Terengganu tidak mempunyai landasan kereta api, yang ketika itu negeri berkenaan diperintah oleh Sultan Zainal Abidin.

Aset penting industri pelancongan

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Razali Idris, berkata Bukit Besi mempunyai keunikan kerana sudah meninggalkan beberapa artifak sejarah yang menjadi aset penting dalam industri pelancongan.

Datuk Razali Idris
Datuk Razali Idris

Katanya, menyedari kehebatan di sebalik sejarah kegemilangan industri perlombongan bijih besi itu, pihak pengurusan KETENGAH dengan kerjasama Persatuan Sejarah Kawasan Dungun diketuai Wan Mohd Rosli Wan Ngah berusaha mengumpul pelbagai maklumat dan bukti agar dapat dijadikan bahan sejarah.

"Sejarah perlombongan Bukit Besi membuktikan penempatan itu pernah dihuni masyarakat antarabangsa yang bekerja di sektor perlombongan," katanya.

Muzium Bukit Besi menempatkan pelbagai monumen dan artifak era industri perlombongan terbesar di Asia Tenggara pada zaman penjajah di Dungun. - Foto fail NSTP
Muzium Bukit Besi menempatkan pelbagai monumen dan artifak era industri perlombongan terbesar di Asia Tenggara pada zaman penjajah di Dungun. - Foto fail NSTP

Muzium Bukit Besi jadi pusat rujukan

Bagi memastikan peninggalan sejarah dan pelbagai peralatan warisan dan produk pelancongan tidak dibiarkan pupus, KETENGAH membuka Muzium Bukit Besi sebagai pusat rujukan untuk tujuan ilmiah bagi pelajar di institut pendidikan serta mengimbau nostalgia kehidupan pada era perlombongan dulu.

"Di muzium itu mempunyai galeri dilengkapi pelbagai bahan sejarah, peralatan tradisional yang digunakan untuk kegiatan pelombongan," katanya.

Razali berkata, muzium yang dibina dengan kos RM4 juta itu turut dilengkapi dengan pelbagai monumen sedia ada yang dijangka mampu menjadi tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Kita menjangkakan muzium ini akan dikunjungi rakyat tempatan dan waris warga asing mahu melihat secara dekat Bukit Besi yang mempunyai nilai sentimental tersendiri," katanya.

Malah, katanya, sehingga kini ramai waris bekas pelombong dari Kanada, Australia dan AS sering berkunjung ke Bukit Besi untuk mengimbau semula kenangan manis aktiviti ayah, ibu, datuk dan nenek mereka yang pernah bekerja sebagai pelombong.

Lawat tempat menarik

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KETENGAH Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman, berkata pelancong yang datang di bandar Bukit Besi pasti teruja mengunjungi tempat ini.

Katanya, pelancong akan dibawa menaiki bas disediakan untuk melihat sendiri keunikan pelbagai artifak, koleksi antik dan barang lama serta bangunan lama yang dibina menggunakan campuran telur dan pasir.

Mohd Zaid Sulaiman
Mohd Zaid Sulaiman

"Pelancong berpeluang melawat bangunan dijadikan kilang meleburkan bijih besi, stesen opal, kolam renang dan premis dijadikan setor penyimpanan bahan letupan, selain stesen cerobong.

"Walaupun dalam muzium sudah terdapat galeri yang mempamerkan peralatan digunakan untuk aktiviti pelombongan, tetapi mereka boleh juga melawat bangunan kilang dan kediaman pegawai serta pelbagai kemudahan disediakan pekerja pelombongan," katanya.

Siling batu hasil gabungan bancuhan telur dan pasir masih kukuh walaupun terowong itu sudah berusia 91 tahun. - NSTP/Baharom Bakar
Siling batu hasil gabungan bancuhan telur dan pasir masih kukuh walaupun terowong itu sudah berusia 91 tahun. - NSTP/Baharom Bakar

Replika kereta api yang digunakan untuk mengangkut pelombong di Bukit Besi.
Replika kereta api yang digunakan untuk mengangkut pelombong di Bukit Besi.

Antara pelbagai bahan sejarah dapat dilihat dipamerkan di Muzium Bukit Besi.
Antara pelbagai bahan sejarah dapat dilihat dipamerkan di Muzium Bukit Besi.

Info mengenai Bukit Besi

• Terletak di Daerah Dungun, Terengganu.

• Lokasi 33 kilometer dari Bandar Dungun.

• Lokasi 77 kilometer dari Kuala Terengganu.

• Terkenal kerana pengeluaran bijih besi terbesar di Asia Tenggara.

• Perlombongan bermula pada suku pertama abad ke-20.

Lokasi pembersihan bijih besi yang ada di kawasan perlombongan Bukit Besi sejak 1929. - NSTP/Baharom Bakar
Lokasi pembersihan bijih besi yang ada di kawasan perlombongan Bukit Besi sejak 1929. - NSTP/Baharom Bakar
Berita Harian X