Jumaat, 1 Oktober 2021 | 11:56am

Pelombong China popularkan limau Tambun

LEBIH 80 tahun lalu Tambun di Ipoh, Perak antara kawasan untuk aktiviti perlombongan bijih dengan kedatangan pelombong China.

Secara tidak langsung, kedatangan pelombong itu turut membawa identiti baharu kepada pekan kecil di bandaraya Ipoh apabila mereka turut menanam beberapa pokok limau bali di sekitar kawasan berkenaan.

Dek kerana keistimewaan buah itu dari segi rasa dan kesesuaian tanah di Tambun menjadikan ia banyak ditanam di pekan kecil itu sehingga kini.

Malah ia sinonim dengan Tambun dan dijadikan 'buah tempatan'.

Sehingga kini, Tambun menjadi pengeluar utama limau bali dan buahnya juga terkenal di seluruh pelosok tanah air dengan rasa dan kualiti yang lebih baik berbanding di tempat lain, sekali gus ia dikenali sebagai limau Tambun.

Justeru, tidak lengkap jika kunjungan anda ke Tambun atau Ipoh tanpa membeli limau Tambun sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Sinonim Tambun dijadikan ‘buah tempatan’.- Foto/Sharul Hafiz Zam
Sinonim Tambun dijadikan ‘buah tempatan’.- Foto/Sharul Hafiz Zam

Malah, buah berkenaan juga menjadi antara antara tarikan di Ipoh yang menawarkan agropelancongan yang sering mendapat tumpuan terutama kepada mereka yang minat pertanian.

Teroka ladang limau bali

Pemilik Gochin Tambun Pomelo Agro Farm, Tan Swee Kong, 54, berkata, ladangnya seluas lebih 1.2 hektar dengan 80 pokok limau bali menjadi tumpuan pelancong selepas ramai pelanggannya berminat dengan tanaman itu sejak 15 tahun lalu.

Beliau menampilkan konsep ladang dalam taman sambil berkongsi ilmu pertanian bersama pelancong yang datang ke ladangnya dan mereka juga boleh membeli buah terus serta menikmatinya di ladang.

"Melihat sambutan itu kita mengambil keputusan untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan di ladang bagi membuka peluang kepada pelancong 'meneroka' ladang limau bali termasuk memberi pendedahan kepada mengenai tanaman itu.

"Kita juga mendapat slot kunjungan pelancong dari 70 negara sejak mula membukanya kepada pelancong dan mereka suka melihat tanaman seperti ini, malah mereka mengakui limau bali di Tambun lebih sedap berbanding di negara mereka," katanya.

Pomelo Agro Farm lebih 1.2 hektar dengan 80 pokok limau bali jadi tumpuan pelancong di Ipoh.- Foto/ Sharul Hafiz Zam
Pomelo Agro Farm lebih 1.2 hektar dengan 80 pokok limau bali jadi tumpuan pelancong di Ipoh.- Foto/ Sharul Hafiz Zam

Lebih 70 negara lawat ladang

Swee Kong berkata, lebih menarik ladangnya juga mempunyai lebih 30 pokok buah-buahan lain seperti manggis, durian, pelbagai jenis jambu, pisang dan rambutan termasuk tanaman herba tetapi bukan untuk dijual sebaliknya untuk tarikan tambahan apabila melalui trek pejalan kaki.

Katanya, Tambun memang terkenal dengan limau bali dan kawasan berkenaan diwartakan sebagai kawasan tanaman itu.

Antara faktor yang menjadikan buah itu sesuai ditanam di Tambun kerana kawasan itu dikelilingi gunung batu kapur yang mempunyai kalsium karbonat tinggi.

"Di ladang ini kita ada dua jenis limau bali iaitu jenis manis yang berwarna putih merah jambu, manakala satu lagi masam manis dan isinya berwarna merah.

"Tidak dinafikan jenis buah manis lebih mendapat permintaan tetapi sejak kebelakangan ini jenis masam manis juga sudah mula digemari.

"Jenis ini kalau dibiarkan lama di pokok akan lebih masak dan lebih sedap. Buah jenis ini juga lebih banyak khasiat.

"Istimewanya, limau Tambun adalah kerana isinya lebih lembut dan mengandungi lebih air.

"Ia juga sesuai untuk individu yang mempunyai penyakit kencing manis," katanya yang juga generasi kedua ladang itu dengan dibantu isteri dan anak.

Limau bali memerlukan masa enam bulan untuk pengeluaran hasil dan menggunakan kaedah pruning (pemangkasan) untuk mendapatkan hasil yang lebih banyak terutama pada bulan tertentu.

Pekerja Pomelo Agro Farm sedang memetik limau Tambun.- Foto/Sharul Hafiz Zam
Pekerja Pomelo Agro Farm sedang memetik limau Tambun.- Foto/Sharul Hafiz Zam

Ladangnya mampu mengeluarkan hasil anggaran biasa untuk 80 pokok mencecah 15 tan dengan Januari dan September mendapat permintaan tinggi terutama pada Tahun Baru Cina.

"Harga jualan mengikut saiz buah dan biasanya kita jual sebiji antara RM15 hingga RM18. Buah ini perlu matang dan cukup masak, isinya akan lebih sedap dan berjus tetapi kalau terlebih masak pula isinya kering dan keras," katanya.

Penulis merasai pelbagai buah-buah lain juga ada di ladang termasuk manggis.Foto/Sharul Hafiz Zam
Penulis merasai pelbagai buah-buah lain juga ada di ladang termasuk manggis.Foto/Sharul Hafiz Zam

Beliau berkata, pandemik COVID-19 menjejaskan aktivitinya dan jualan limau bali juga merosot dan ada yang menanggung kerugian, malah dia juga sudah tidak menerima kehadiran pelancongan.

Menurutnya, beliau dibantu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang mengambil sebahagian hasil tuaiannya untuk pasaran agensi itu, selain menyumbangkan limau bali kepada pihak berkaitan.

Berita Harian X