Khamis, 30 September 2021 | 11:45am
Peserta melalui trek mendaki lereng bukit di Pulau Lang Tengah yang bakal menjadi tarikan terbaharu untuk peminat sukan ekstrem berlatar belakang Laut China Selatan. - Foto BERNAMA
Peserta melalui trek mendaki lereng bukit di Pulau Lang Tengah yang bakal menjadi tarikan terbaharu untuk peminat sukan ekstrem berlatar belakang Laut China Selatan. - Foto BERNAMA

'Via ferrata' tarikan baharu Pulau Lang Tengah

KUALA NERUS: Trek mendaki lereng bukit atau 'via ferrata' di Pulau Lang Tengah di sini menjadi tarikan terbaharu untuk peminat sukan ekstrem kerana ia adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan berlatarbelakangkan Laut China Selatan.

'Via ferrata' bermaksud 'laluan besi' dalam bahasa Itali, iaitu satu trek khas di permukaan bukit, gunung atau gua menggunakan alat keselamatan lengkap untuk pendaki tiba ke puncak dengan lebih mudah.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin, berkata pihaknya yakin kewujudan 'via ferrata' itu melonjakkan lagi industri pelancongan di pulau-pulau peranginan Terengganu khususnya selepas kerajaan membenarkan rentas negeri tidak lama lagi.

"Biasanya, pelancong datang ke rangkaian pulau di Terengganu untuk menikmati keindahan alam terutama hidupan marin dan terumbu karang di bawah laut melalui aktiviti snorkeling dan selam skuba.

"Namun kali ini, Pulau Lang Tengah menawarkan produk baharu yang diperkenalkan oleh Summer Bay Resort sejak Mei lalu. Kami di Tourism Malaysia Wilayah Timur sentiasa menyokong inisiatif dan kreativiti dicipta oleh pemain industri setempat untuk memperkasa sektor pelancongan negara agar ia cepat pulih bagi mengharungi cabaran pasca-pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai aktiviti 'via ferrata' sebagai produk baharu pelancongan di Pulau Lang Tengah bersama 16 wakil media Terengganu pelbagai agensi di sini baru-baru ini.

Berkeluasan 1.72 kilometer persegi, perjalanan ke Pulau Lang Tengah yang terletak antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian itu mengambil masa 45 minit dengan bot dari jeti Merang. Ketika ini, hanya dua resort beroperasi di pulau itu menjadikannya sangat ekslusif kerana tidak terlalu ramai pelancong pada satu-satu masa.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Summer Bay Resort, Chong Fah Ming, berkata 'via ferrata' selamat untuk aktiviti pendakian ekstrem dan mendapat kelulusan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

"Kajian terperinci dan pemasangan trek laluan besi telah dilakukan oleh perunding berpengalaman dan pihak resort juga menyediakan empat jurupandu terlatih berlesen untuk membimbing pelancong yang berminat melakukan aktiviti ini dengan selamat.

"Panjangnya hanya 200 meter dan terletak 80 meter dari aras laut, namun ia menjanjikan pengalaman cukup berharga untuk pendaki. Kami juga merancang untuk mewujudkan lebih banyak sukan ekstrem lain dalam masa terdekat sebagai daya tarikan pelancong ke resort ini," katanya yang membelanjakan lebih RM200,000 untuk membina 'via ferrata' itu.

Sementara itu, beberapa pengamal media yang berpeluang mencuba aktiviti berkenaan mengakui ia bakal menjadi 'kegilaan' peminat sukan lasak terutama dalam kalangan generasi muda termasuk personaliti media sosial Youtuber dan Instafamous.

Wartawan Sin Chew Jit Poh, Lew I Ling berkata pengalaman kali pertama melakukan aktiviti tersebut sangat menyeronokkan dan beliau teruja untuk mencuba kerana mahu mencabar keupayaan diri.

"Memang sangat penat kerana ia pengalaman kali pertama. Agak berdebar juga kerana diri seakan 'tergantung' di awangan sepanjang trek namun sangat berbaloi melakukannya kerana pemandangan sebaik tiba di puncak sangat mengagumkan.

"Sebelum ini, saya tidak berminat pergi ke pulau kerana tiada aktiviti yang seronok dilakukan, namun dengan adanya 'via ferrata', Pulau Lang Tengah sudah menjadi antara destinasi percutian dalam senarai wajib pergi lagi selepas ini," katanya.

Bagi wartawan TV3, Mohd Ishak Abdillah Ngah pula, beliau memang sudah lama berhasrat melakukan aktiviti tersebut sebaik sahaja mengetahui cadangan pembinaannya dari pengurusan Summer Bay Resort tahun lalu.

"Sebagai anak jati Terengganu, pasti saya berbangga dengan produk baharu di Pulau Lang Tengah ini dan mahu ia terkenal di seluruh dunia kerana secara tidak langsung bakal memberi impak positif kepada sosio ekonomi penduduk sekitar.

"Tepat tekaan saya kerana sebaik sahaja memuat turun gambar di laman sosial, saya dapat banyak pertanyaan dari rakan-rakan yang berminat mahu mencuba 'via ferrata' di Pulau Lang Tengah. Ini antara sumbangan kecil pengamal media membantu kerajaan melonjakkan semula industri pelancongan negara," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X