Isnin, 30 Ogos 2021 | 10:31am
Pelancong yang menjalankan penyelidikan dan menjadi sukarelawan di Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, Belantik, sebelum pandemik COVID-19. Foto/Facebook Sri Lovely Organik Farm.
Pelancong yang menjalankan penyelidikan dan menjadi sukarelawan di Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, Belantik, sebelum pandemik COVID-19. Foto/Facebook Sri Lovely Organik Farm.
Antara pelancong menjadi sukarelawan di Sri Lovely Organik Farm. - Foto/Facebook Sri Lovely Organik Farm.
Antara pelancong menjadi sukarelawan di Sri Lovely Organik Farm. - Foto/Facebook Sri Lovely Organik Farm.

Terpaut hati di jelapang padi

MENDENGAR bunyi kicauan burung, bayu bertiup lembut dan deruan air sungai sambil melihat pemandangan sawah padi yang indah membuatkan sesiapa sahaja terpaut hati untuk meneroka kawasan itu.

Panorama sawah padi terbentang luas boleh disaksikan di beberapa lokasi di negara ini mampu menjadi daya tarikan untuk agropelancongan.

Aktiviti seperti pesta menuai padi, mengemping, 'mengoca' ikan selepas musim menuai dan bermain bola sepak sawah, selain tinggal di chalet buluh atau kabin antara pengalaman paling mengujakan bagi merasai kehidupan desa.

Di Sabak Bernam, Skinchan dan Sungai Besar, Selangor; Kedah, Perlis dan Negeri Sembilan antara negeri terkenal sebagai jelapang padi negara menyumbang berjuta-juta tan beras setahun untuk menampung keperluan penduduk.

Malah, banyak kawasan sawah padi atau bekas sawah boleh dipopularkan sebagai produk baharu pelancongan.

Pemandangan indah di Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, Belantik. - Foto/Facebook Sri Lovely Organik Farm
Pemandangan indah di Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, Belantik. - Foto/Facebook Sri Lovely Organik Farm

Menyusur ke Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, Belantik, di Sik, Kedah, umpamanya menjanjikan pengalaman berbeza apabila ia diusahakan secara organik.

Menurut pengusahanya, Zakaria Kamantasha, 55, kawasan pesawah seluas 9.46 hektar itu diusahakan sejak 2009 bagi memastikan orang ramai dapat menikmati makanan asas yang sihat dan selamat.

Sejak mengusahakan pertanian organik, ladangnya mendapat perhatian pelancong dari seluruh dunia, sehingga majoritinya sanggup tinggal berbulan di situ untuk mempelajari teknik tanaman dan menjadi sukarelawan.

"Kira-kira 90 peratus pelancong dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Korea Selatan, Jepun,

Poland, New Zealand, Brazil, Arab Saudi, Indonesia, Belgium, Itali, Ireland dan lain-lain.

gn4id:29559062

"Mereka adalah pelajar dan tenaga kerja profesional di negara tertentu yang mahu melakukan penyelidikan, belajar dan mempraktikkan cara tanaman di sini, di negara mereka," katanya.

Papar suasana perkampungan Melayu

Setiap pelancong yang menjadi sukarelawan boleh menginap di lapan chalet dibina menggunakan buluh dengan bayaran kira-kira RM30 sehari termasuk makan.

Selalunya mereka akan tinggal tiga bulan dan boleh menjangkau setahun mengikut keperluan penyelidikan mahu dilakukan.

"Kaedah penanaman padi organik dan beberapa tanaman lain seperti lemon dan durian berbeza kerana ia membabitkan beberapa prinsip unik seperti penyuburan tanah, pembenihan, penanaman, pembajaan dan pengairan tanpa membunuh serangga dan organisma baik dalam tanah.

"Prinsip dipraktikkan berhasil dan beras organik lebih berkualiti, menjimatkan sumber dan kos serta tanpa menjejaskan alam sekitar," katanya.

Ladang itu turut menonjolkan budaya dan adat perkampungan Melayu dengan pembabitan penduduk setempat yang turut bekerja di situ.

Pelancong diberi nama Melayu

Setiap pelancong tinggal di situ akan diberi nama baharu seperti Zulaikha, Umairah, Jamal, Huda, Abu Sufian dan nama lain dengan makna yang baik-baik.

Zakaria menunjukkan beras organik yang dihasilkan di Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, Belantik.- Foto/Noorazura Abdul Rahman
Zakaria menunjukkan beras organik yang dihasilkan di Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, Belantik.- Foto/Noorazura Abdul Rahman

"Pekerja memberi tunjuk ajar kepada pengunjung termasuk ada pelancong antarabangsa mengucapkan dua kalimah syahadah di ladang itu.

"Pelancong yang datang pasti akan menghubungi saya datang ke sini lagi, malah bagi mereka yang memeluk Islam, mereka akan terus mendalami agama di negara masing-masing," katanya.

Jadi pusat latihan pertanian organik

Kerajaan negeri dan universiti tempatan merancang menyediakan pelbagai program bagi meningkatkan kemahiran pertanian organik dalam golongan muda.

"Kami sedang merancang membantu anak asnaf di bawah Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk belajar secara praktikal di sini selama enam bulan selepas pandemik COVID-19 reda," kata.

Menurut Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, selain Tasik Beris menjadi perhatian pengunjung ke Sik, Sri Lovely Organik Farm turut diangkat sebagai agro dan ekopelancongan utama di daerah itu.

Permohonan sudah dihantar kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menjadikan ladang itu sebagai institut latihan pertanian organik bersepadu sebelum pandemik COVID-19.

"Belia menganggur akan belajar teori dan praktikal pertanian organik selepas diluluskan kerajaan negeri, pada 2019," katanya

Bekas sawah di Negeri Sembilan

Tinjauan di Negeri Sembilan ada beberapa kawasan sawah padi dan bekas sawah berpotensi dijadikan sebagai produk agropelancongan kerana keunikan dan kedudukannya strategik.

Waktu bermain bola sepak sawah selepas musim menuai di Kampung Terachi.- Foto Mohd Amin Jalil
Waktu bermain bola sepak sawah selepas musim menuai di Kampung Terachi.- Foto Mohd Amin Jalil

Perkampungan Budaya Terachi Kuala Pilah dan Kampung Sungai Buluh Jelebu dipilih dan dimanfaatkan kerajaan Negeri Sembilan sebagai lokasi agropelancongan baharu di negeri itu.

Keindahan kawasan kampung tradisional yang dikelilingi sawah padi itu dieksploitasi pelancong tempatan dan luar negara.

Di samping itu boleh menikmati makanan tradisional Kuala Pilah di pelbagai tempat.

Bola sepak sawah

Aktiviti 'mengoca' ikan dan bola sepak sawah, diadakan saban tahun dan begitu terkenal dalam kalangan masyarakat negeri Adat Perpatih itu, antara aktiviti dinanti-nantikan.

Setiap tahun ia mencuri tumpuan selain menangkap ikan dan bermain bola di dalam kawasan sawah.

Di sini ada lapan kolam ngoca disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan di bawah Skim Pengairan Terachi Batu 17, seluas dua hektar.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini mengumumkan kerajaan negeri akan pelbagai aktiviti menarik termasuk penanaman padi pulut dikenali sebagai 'Padi Pulut Seri Menanti' (satu tapak) dan padi biasa (tujuh tapak) diusahakan penduduk tempatan dan menjadi sumber pendapatan mereka.

Di Kampung Sungai Buloh, terdapat kawasan sawah padi seluas 187 hektar.

Kawasan sawah padi dilihat berpotensi dijadikan lokasi agropelancongan seperti di Sungai Sireh Tanjung Karang dan Sawah Padi Sekinchan, Selangor.

Tahun lalu, sebanyak 1,470 tan metrik padi dihasilkan daripada kawasan ini bernilai RM1.7 juta.

"Ini menunjukkan potensi besar sawah padi ini untuk dikembangkan bukan sahaja dalam aspek pertanian, malahan agro-pelancongan menerusi kawasan sawah padi.

Pengunjung berbasikal sambil menikmati suasana pemandangan indah sawah padi. - Foto/Mohd Amin Jalil.
Pengunjung berbasikal sambil menikmati suasana pemandangan indah sawah padi. - Foto/Mohd Amin Jalil.

Pesta menuai padi

Pegawai Daerah Jelebu, Abdul Rahim A Aziz, berkata perkara menarik adalah pesta menuai padi, mengemping, mengoca dan sukan rakyat, manakala Empang Sungai Buluh dan Dataran Kenaboi adalah lokasi terakhir bagi program berkayak peringkat antarabangsa.

"Dengan penambaikkan kemudahan awam dan fasiliti kawasan itu mampu menjadi tanda baharu berkaitan sawah padi dan pusat informasi sebagai pusat rujukan berkaitan padi serta proses penghasilan beras," katanya.

"Bagaimanapun, pandemik COVID-19 menyebabkan kampung itu sepi seketika daripada kunjungan pelancong.

"Kami berharap agar Kampung Sungai Buluh kembali ceria dengan kunjungan pelancong dan hasrat kerajaan negeri untuk memilih kampung ini sebagai destinasi pelancongan wajib di negeri itu," katanya.

Berita Harian X