Selasa, 27 Julai 2021 | 11:53am
Masjid Razaleigh reka bentuk dan mempunyai sembilan menara jadi tarikan baharu di Gua Musang. - Foto NSTP
Masjid Razaleigh reka bentuk dan mempunyai sembilan menara jadi tarikan baharu di Gua Musang. - Foto NSTP

Mengimbau memori indah di tanah suci

KEUNIKAN Masjid Razaleigh yang menyerupai Masjidil Haram Makkah kerana reka bentuk dan mempunyai sembilan menara memberi daya tarikan baharu ke Gua Musang, Kelantan, boleh menjentik memori indah ketika di tanah suci.

Malah, bagi umat Islam negara ini yang kerinduan untuk menunaikan haji atau umrah kerana terhalang dengan pandemik COVID-19 berkunjung ke masjid itu.

Terletak di belakang Stesen Keretapi Gua Musang berlatarbelakangkan dua gua utama termasuk gua batu kapur yang diambil nama asalnya Gua Musang dan bersebelahan pula gua haji.

Keindahan Masjid Razaleigh itu yang pertama menyerupai Masjidil Haram Makkah di negara ini siap dibina hampir dua tahun lalu dengan perbelanjaan RM32 juta.

Ruang dalam Masjid Razaleigh miliki seni bina seakan Masjidil Haram, Makkah. - Foto NSTP
Ruang dalam Masjid Razaleigh miliki seni bina seakan Masjidil Haram, Makkah. - Foto NSTP

Masjid terbabit bagi menggantikan Masjid Razaleigh lama terletak di Bandar Lama Gua Musang kerana tidak lagi dapat menampung ahli jemaah yang bertambah ramai.

Boleh muat 3,000 jemaah

Selepas siap masjid baharu itu dibina, ia tidak putus-putus dikunjungi orang ramai kerana boleh tenangkan fikiran jika berada didalamnya.

Lengkap dengan kemudahan bilik mandi jenazah lelaki dan perempuan, bilik mesyuarat, dewan makan, ruang rehat, bilik imam dan bilal.

Lebih menyempurnakan lagi di tengah masjid itu disediakan ruang untuk orang ramai kursus haji khusus belajar tawaf kaabah yang boleh memuatkan ratusan peserta.

Bagi ruang solat pula boleh memuatkan 3,000 jemaah dan menyediakan pula tempat imam membaca khutbah (mimbar) serupa yang ada di Masjidil Haram Makkah.

Bagaimanapun, masjid baharu itu masih belum dibuka untuk solat sama ada solat Jumaat atau waktu kerana masalah pandemik COVID-19 belum berakhir.

Tarikan baharu sektor pelancong

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata kini masjid baharu itu hanya dibuka kepada orang ramai yang ingin melawat sahaja.

Beliau mengakui bukan sahaja orang ramai dari merata tempat seluruh negara datang melawat masjid itu tetapi juga pemimpin terkenal tanah air.

Pembinaan masjid termoden itu hasil idea kreatif Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang mahukan ada perubahan baharu tarikan pelancong.

Katanya, lokasi hampir dengan Stesen Keretapi Gua Musang dan tidak jauh juga dengan Jalan Gua Musang-Kuala Krai dapat memberi kemudahan orang ramai menunaikan solat.

"Ku Li tidak mahu rakyat menanggung risiko jangkitan COVID-19 apabila membenar masjid baharu itu dibuka untuk solat ketika wabak berkenaan belum berakhir.

Seni bina indah lebih terserlah kelihatan pada waktu malam. - Foto NSTP
Seni bina indah lebih terserlah kelihatan pada waktu malam. - Foto NSTP

"Memanglah kita ada menerima pelbagai pertanyaan daripada orang ramai berhubung bila masjid terbabit dapat dibuka dan kita minta bersabar elak risiko COVID-19," katanya.

Mohd Syahbuddin berkata, apabila COVID-19 berakhir masjid baharu itu akan dibuka sepenuhnya untuk solat lima waktu dan solat Jumaat.

Kagum keindahan seni bina

Apapun masjid berkenaan tetap dibuka kepada orang ramai melihat suasana keindahan di dalam atau di luar bangunan yang sudah tentu memberi keterujaan.

"Lebih-lebih lagi hasrat mereka yang ingin menunaikan umrah dan haji belum tercapai kerana pandemik COVID-19 boleh melepas kerinduannya di masjid baharu itu.

"Kebanyakan mereka yang datang melawatnya sama ada orang awam atau pemimpin kerajaan kagum dengan keindahan masjid menyerupai Masjidil Haram Makkah," katanya.

Pemandangan masjid baharu itu juga dapat dilihat dengan jelas apabila memandu kenderaan melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Masjid Razaleigh boleh memuatkan 3,000 jemaah. - Foto NSTP
Masjid Razaleigh boleh memuatkan 3,000 jemaah. - Foto NSTP

Bagaimanapun, kata beliau, Masjid Razaleigh yang lama tidak kurang hebatnya menjadi tumpuan orang ramai kerana banyak sejarah tersendiri.

"Mereka yang melawat masjid itu boleh ziarah kubur seorang wanita sedang mengandung dibunuh komunis dalam tahun 40 an berada di tengah-tengah masjid terbabit," katanya.

Info Masjid Razaleigh

• Menyerupai Masjidil Haram di Makkah
• Terletak di Bandar Lama, Gua Musang
• Masjid termoden dan yang pertama dibina mengikut model Masjidil Haram.
• Dibina pada akhir 2016
• Kos pembinaan masjid RM28 juta
• Jadi mercu tanda baharu Kelantan

Berita Harian X