Ahad, 6 Disember 2020 | 10:30am
Terpahat memori indah di pendakian sembilan hari ke puncak Gunung Tahan pengalaman paling berharga.- Foto/Ihsan Penulis
Terpahat memori indah di pendakian sembilan hari ke puncak Gunung Tahan pengalaman paling berharga.- Foto/Ihsan Penulis

9 hari cabar diri tawan Gunung Tahan

MEREDAH lebih 10 sungai antaranya setinggi paras pinggang, ditemani pacat, 'trek kejam' hingga lutut bertemu dagu dan memikul beg sandang lebih 15 kilogram (kg) sepanjang sembilan hari.

Itu antara cabaran dalam pendakian ke puncak Gunung Tahan menerusi laluan Kuala Tahan-Merapoh (K2M).

Misi K2M sejauh 98 kilometer (km) bersama 19 rakan awal November lalu ditempuhi demi menawan puncak setinggi 2,187 meter.

K2M terkenal dalam kalangan pendaki sebagai trek yang menjanjikan cabaran lebih tiga kali ganda berbanding Merapoh-Merapoh (M2M), yang hanya mengambil masa empat hari.

Penulis berkesempatan menelusuri trek M2M pada Julai dan September 2019.

Sahut cabaran, kerah kudrat

Apa istimewanya Gunung Tahan sehinggakan penulis mengerah kudrat semata-mata untuk berada di puncak tertinggi di Semenanjung buat kali ketiga dengan laluan lebih lasak dan panjang?

Itu antara persoalan yang sering ditanyakan kepada penulis.

Bagi penulis tiada yang lebih indah daripada mencabar diri melakukan sesuatu yang dirasakan berbaloi untuk disimpan sebagai kenangan di hari tua.

Gunung Tahan, antara puncak tanah tinggi di negara ini yang sukar ditawan kerana laluan berliku dan mencabar, sekali gus menuntut ketahanan fizikal dan mental setiap pendaki.

REDAH laluan lasak, panjat dinding batu antara cabaran ditempoh sebelum berjaya tawan puncak Gunung Tahan.- Foto/Ihsan Penulis
REDAH laluan lasak, panjat dinding batu antara cabaran ditempoh sebelum berjaya tawan puncak Gunung Tahan.- Foto/Ihsan Penulis

Perjalanan tujuh jam

Bagi trek M2M, pendaki biasanya tiba di puncak Gunung Tahan pada hari kedua atau ketiga pendakian, namun untuk K2M, penulis menjejak kaki ke puncak pada hari ketujuh dengan berada di trek pendakian antara tujuh hingga sembilan jam setiap hari.

Perjalanan selama tujuh jam dari Kuala Tahan ke Kem Melantai sejauh 13 km pada hari pertama ibarat sesi pemanas badan berikutan laluannya agak santai.

Cabaran sebenar boleh dianggap bermula pada hari kedua menuju ke Kem Tengah dengan jarak perjalanan tiga km melewati empat bukit, Bukit Buluh, Bukit Jerman, Bukit Mengah dan Bukit Jepun.

Sungai pertama daripada tujuh sungai yang perlu diharungi pada hari keempat menuju ke Kem Teku. - Foto ihsan penulis
Sungai pertama daripada tujuh sungai yang perlu diharungi pada hari keempat menuju ke Kem Teku. - Foto ihsan penulis

Juru pandu trek Kuala Tahan-Merapoh yang lebih dikenali sebagai Ustaz Nan (kanan) dan Ayoh Kecik antara yang cukup berpengalaman membantu pendaki ke puncak Gunung Tahan. - Foto ihsan penulis
Juru pandu trek Kuala Tahan-Merapoh yang lebih dikenali sebagai Ustaz Nan (kanan) dan Ayoh Kecik antara yang cukup berpengalaman membantu pendaki ke puncak Gunung Tahan. - Foto ihsan penulis

Redah sungai air deras

Meninggalkan Kem Tengah, penulis pastinya merindui masak lemak ikan salai, air tangan Ustaz Nan, 37, dan Ayoh Kecik, 42, dua juru pandu yang cukup berpengalaman dengan trek K2M.

Dari Kem Tengah, corak pendakian mula berubah, trek lebih mencabar menuju ke Kem Puteh sejauh enam km. Untuk ke Bukit Malang yang jaraknya dua km, penulis mengambil masa dua jam dan dari Bukit Malang, pendaki akan terus melalui Gunung Rajah dan Kem Batu yang mengambil masa tiga jam pada jarak 3.5 km sebelum bermalam di Kem Puteh.

Ramai sedia maklum mereka bakal mengharungi cabaran lebih hebat pada hari keempat apabila perlu menyeberangi tujuh sungai yang arusnya sangat deras. Ketika inilah, kemahiran dan pengalaman juru pandu diuji bagi memastikan tiada yang mengundang musibah.

Pendakian hampir lapan jam menuju ke Kem Teku juga perlu melalui laluan pacak sehingga 90 darjah selain meredah lereng batu sungai.

Bagi penulis, ia sesuatu yang baharu bagi pendaki M2M. Bahasa lebih mudah, tiada kata-kata yang mampu menterjemahkan kesengsaraan kecuali merasainya sendiri.

Cabaran diteruskan pada hari kelima ke Kem Pangkin dengan menyelesaikan perjalanan sejauh sembilan km selama lima jam.

Tidak seperti sebelumnya, perjalanan kali ini lebih santai, mungkin memberi peluang kepada penulis mengumpul tenaga menjelang pendakian keesokan harinya yang pasti lebih jerih.

Namun, tetap perlu melalui Bukit Teku, Bukit Botak, Bukit Sarsi dan Wrays Camp.

Untuk bermalam di Kem Gedong, pendaki perlu melalui permatang gunung dan Gunung Tangga 15 yang terletak pada ketinggian 1,539 meter.

Tujuh tangga besi dengan sudut kecondongan sehingga 70 darjah menanti penulis. Kerahan tenaga tidak hanya terhenti di situ kerana penulis perlu meredah laluan lasak dengan memanjat dinding batu sebelum tiba di Kem Gedong.

Masya-Allah. Hanya itu yang mampu diucapkan sebaik tiba di Kem Gedong. Tanpa disedari air mata penulis tumpah melihat keagungan dan keindahan ciptaan Tuhan.

PENULIS dan rakan meraikan kejayaan tiba di Kem Gedong.
PENULIS dan rakan meraikan kejayaan tiba di Kem Gedong.

Pahat memori indah

Di Kem Gedong, pemandangan matahari terbit dan terbenam dari ketinggian 2,066 meter cukup memukau - maka benarlah kata-kata orang, keindahan lokasi itu sentiasa meniti di bibir pendaki.

Kem Gedong ditinggalkan dengan pelbagai kenangan. Penulis kemudiannya menuju ke puncak Gunung Tahan pada hari ketujuh dengan mengambil masa enam jam. Lokasi serpihan bangkai pesawat Lloyd M Smith yang terhempas sekitar 1972 dan mengorbankan dua nyawa termasuk juruterbang antara yang dilewati. Akhirnya puncak Gunung Tahan ditawan sebelum malam menjelang.

Penulis bermalam di Kem Botak yang jaraknya 2.5 km dari puncak dan seawal pagi penulis bergerak ke Lata Luis yang jauhnya 12 km.

Sepanjang perjalanan lebih 10 jam itu, penulis melewati Kem Bonzai, Kem Belumut, Kem Permatang, Kem Kubang dan Kem Kor sebelum tiba di Lata Luis.

Tangga besi pertama daripada tujuh tangga menuju ke puncak Gunung Tangga 15. - Foto ihsan penulis
Tangga besi pertama daripada tujuh tangga menuju ke puncak Gunung Tangga 15. - Foto ihsan penulis

PENULIS di puncak Gunung Tahan, kali ketiga selepas Julai dan September 2019.
PENULIS di puncak Gunung Tahan, kali ketiga selepas Julai dan September 2019.

Catat 1,001 macam kenangan

Baki lima kg ration yang dibawa sepanjang pendakian dihabiskan dengan mengadakan jamuan 'pot luck' ketika bermalam di Lata Luis, mungkin tidak seenak masak lemak ikan salai tapi cukup untuk meraikan kejayaan walau perjalanan masih berbaki sehari.

Ekspedisi ditamatkan dengan jayanya pada hari kesembilan selepas mengharungi perjalanan sejauh 11.5 km dari Lata Luis ke Kuala Juram, meredah empat lagi sungai.

Penerokaan penuh suka duka dan air mata meninggalkan 1,001 pengalaman berharga yang tidak mampu ditukar ganti. Parut akibat tersungkur, gigitan pacat dan kulat air tidak sehebat kenangan manis berada di puncak Gunung Tahan.

Penulis bersama rakan pendaki di Kuala Juram, lokasi penamat cabaran trek Kuala Tahan-Merapoh sejauh 98 km selama sembilan hari. - Foto ihsan penulis
Penulis bersama rakan pendaki di Kuala Juram, lokasi penamat cabaran trek Kuala Tahan-Merapoh sejauh 98 km selama sembilan hari. - Foto ihsan penulis

INFO GUNUNG TAHAN:

* Terletak dalam Taman Negara

* Menjadi titik sempadan Pahang dan Kelantan

* Puncak boleh diakses dari Merapoh atau Kuala Tahan

* Dikatakan antara Februari dan Mac waktu terbaik mendaki kerana hujan berkurangan.

Berita Harian X