Ahad, 10 Mei 2020 | 10:00am
MASJID Raja yang berusia 480 tahun masih utuh sehingga sekarang. (foto/Mohd Rashidi Yusuf)
MASJID Raja yang berusia 480 tahun masih utuh sehingga sekarang. (foto/Mohd Rashidi Yusuf)

Kampung Chepor sarat cerita sejarah

Dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai warga perantau begitu merindui kedamaian kampung halaman terutama jika lokasinya mampu menarik kedatangan pelancongan dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, semua orang perlu bersabar untuk meneroka mana-mana saja destinasi sehingga wabak COVID-19 dibendung secara menyeluruh.

Untuk menghilangkan kebosanan berkurung di rumah, anda boleh lakukan pelbagai aktiviti seperti mencari maklumat mengenai tempat bersejarah di Malaysia yang jarang diketahui umum.

Justeru, penulis mengajak pembaca mengenali sebuah perkampungan tradisional, iaitu Kampung Chepor, Lenggong, Perak yang sarat dengan kisah sejarah.

Malah kampung yang terletak di antara Sungai Perak dan Banjaran Titiwangsa ini juga kaya dengan tarikan pelancongan dan ada keunikan tersendiri.

Mengikut sejarah, kampung itu diteroka oleh dua beradik, iaitu Tun Saban dan Tun Puteh. Mereka adalah anak kepada Bendahara Melaka, Tun Perak.

Dua beradik ini membina masjid yang pertama di kampung itu, pada 1539, iaitu dikenali sebagai Masjid Raja yang siap sepenuhnya pada 1541.

Masjid Raja kini berusia 480 tahun dibina pada zaman Sultan Perak 1, Sultan Muzzaffar Shah 1, masih kukuh bangunannya selepas tiga kali dibaik pulih.

Sultan Muzzaffar Shah 1 adalah salah seorang putera Sultan Mahmud Shah yang berundur selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis dan ditabal sebagai Sultan di Kampar, Indonesia.

Kisah pembinaan masjid itu ada nilai sejarahnya membabitkan Kerajaan Islam Melaka dan permulaan Kerajaan Perak yang menarik dikunjungi dan ditelusuri kronologinya.

Binaan masjid bercirikan reka bentuk Melayu, Riau, Sumatra, Minangkabau, Deli dan Langkap masih utuh di sebelah Masjid al-Rahmaniah yang digunakan sehingga sekarang ini.

Generasi kelapan, keturunan Tun Perak, anak jati Kampung Chepor yang juga Pegawai Tadbir di Lapangan Terbang Antarabangsa, Sepang, Lokman Mahmud, 59, menyifatkan sejarah kampung dan masjid itu amat unik.

Lokman berkata, Masjid Raja dibina selepas diperintahkan oleh Sultan Muzzaffar Shah 1 yang menitahkan supaya semua kampung di Perak, termasuk wilayah tadbir Tun Saban dan Tok Temong perlu didirikan masjid.

Katanya, susulan titah baginda Sultan Perak itu, orang Pattani yang datang bersama Tun Saban dan orang Kampar yang mengiringi Tun Puteh kemudiannya bergotong-royong membina masjid itu.

SEORANG penduduk sedang membasuh tangan di telaga belerang yang mempunyai sejrah tersendiri. (Foto/Mohd Rashidi Yusuf)
SEORANG penduduk sedang membasuh tangan di telaga belerang yang mempunyai sejrah tersendiri. (Foto/Mohd Rashidi Yusuf)

Mereka beramai-ramai masuk ke hutan untuk mencari, menebang, memotong dan membelah kayu daripada pelbagai spesies seperti cengal emas, merbau dan lain-lain, untuk dijadikan tiang, alang, dinding dan sebagainya.

Pelbagai saiz kayu mengikut fungsinya, diangkut dengan cara ditarik dari hutan rimba hingga ke kampung dengan menggunakan gajah.

Binaan bangunannya disokong kuat dengan empat tiang daripada kayu cengal emas yang masih utuh tidak dimamah usia di bahagian tengah masjid berkenaan.

Keempat-empat tiang utama itu menjadi tonggak bagi menyokong mengukuhkan struktur bangunan masjid itu.

Malah kayu asal digunakan itu terus utuh tidak terjejas sedikit pun hingga ke hari ini.

Lokman berkata, binaan asal masjid itu beratapkan jalinan daun-daun rumbia dan dinding kelarai dengan rangka atas terdiri daripada kayu-kayan berbentuk bulat.

Atap rumbia digantikan dengan atap Zing dan papan menggantikan kelarai hanya setelah baik pulih pada kali yang ketiga.

"Penentuan arah Kiblat masjid boleh memuatkan 100 jemaah itu disempurnakan seorang ulama dari Pattani yang menjadi pengikut Tun Saban.

"Selepas siap tiada majlis perasmian pembukaan masjid itu. Namun, solat Jumaat pertama di Masjid Raja itu dihadiri oleh Sultan Muzzaffar Shah 1, pada 1541," katanya.

Cerita menarik mengenai Kampung Chepor tidak terhenti di situ, sebaliknya perkampungan tradisional terletak di antara Sungai Perak dan banjaran Titiwangsa itu ada tarikan pelancongan lain.

Sejarah perlu diketahui mengenai Suak Keratong, iaitu kubur 19 tentera Punjab yang disembelih komunis ketika kampung itu diserang dan dibakar oleh segerombolan pengganas terbabit, pada 1942.

Peristiwa itu amat menyayatkan hati. Lebih 30 rumah dibakar, enam penduduk dibunuh manakala beberapa orang lagi ditangkap.

Mereka dibawa masuk ke hutan dan sehingga kini tidak diketahui bagaimana nasib mereka yang ceritanya lenyap begitu saja.

Kampung dihuni kira-kira 1,000 penduduk itu juga mempunyai padang ragut ternakan lembu dan rusa.

Pengunjung boleh melihat ratusan ekor rusa dari dekat dan membelai rusa jinak.

Jeti nelayan ala dangau atau pondok tempat persinggahan nelayan berehat dan menjual hasil tangkapan di tepi Sungai Perak, juga menarik serta boleh dijadikan lokasi perkelahan sekampung.

Pengerusi Komuniti Jaringan Perikanan Darat, Kampung Chepor, Wan Nor Azlan Mohd Noor, berkata jeti dibina nelayan menggunakan papan dan kayu terpakai dijadikan tempat tambatan motorbot, pendaratan ikan, simpanan alatan menangkap ikan dan tempat berehat nelayan.

Katanya, dataran jeti nelayan menghadap ke arah Sungai Perak itu menarik sebagai tempat bersantai, riadah untuk perkelahan.

"Dataran jeti boleh dijadikan lokasi perkhemahan, Pangkalan rekreasi berakit, berkayak dan sebagainya.

"Akhir tahun lalu, lebih 50 anggota, rekrut PASKAL dan pegawai TLDM Lumut, bermalam di dataran itu dan berakit menghilir sungai," katanya.

Di Kampung Chepor ini juga, ada pengusaha makanan tradisional daripada sagu rumbia yang dijadikan tepung untuk dibuat kuih bakar, kole (penganan basah sagu rumbia), cendol dan sebagainya.

PENGUNJUNG boleh belajar cara membuat atap rumbia dan tikar mengkuang di Kampung Chepor. (Foto/Mohd Rashidi Yusuf)
PENGUNJUNG boleh belajar cara membuat atap rumbia dan tikar mengkuang di Kampung Chepor. (Foto/Mohd Rashidi Yusuf)

Pengunjung juga boleh melihat dan belajar cara membuat atap rumbia, tikar mengkuang, tikar menerung, sakak (sangkak) tempat ayam bertelur, cekap ayam dan ada pelbagai lagi.

Justeru, kembara anda ke perkampungan pedalaman yang kaya dengan produk pelancongan dapat memberikan pengalaman berbeza dengan mengimbas sejarah silam tempat

Berita Harian X