Ahad, 3 Mei 2020 | 11:22am
HARIMAU Malaya adalah antara daya penarik utama. Zoo Melaka. - Foto Hassan Omar
HARIMAU Malaya adalah antara daya penarik utama. Zoo Melaka. - Foto Hassan Omar

Cabaran getir dalam kurungan

Bukan sahaja manusia, haiwan juga ada perasaan dan kemahuan. Jika terus dikurung, tidak diberi makan pasti 'mengamuk' kerana kelaparan.

Justeru, ketika insan di seluruh dunia berkurung dalam kediaman masing-masing bagi mengelak dijangkiti wabak COVID-19, haiwan sama ada mahu hidup bebas dalam habitatnya, selain memerlukan makanan untuk meneruskan kehidupan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di negara ini, sejak 18 Mac disambung untuk fasa keempat menyebabkan haiwan peliharaan dalam kurungan di dalam di zoo umpamanya pasti tidak sebebas haiwan yang tidak dikurung.

Namun, makhluk Allah itu tidak memahami bahawa sang penjaga menghadapi saat sukar untuk mendapatkan bahan makanan lantaran kantung zoo semakin menipis akibat ketiadaan pengunjung dari 18 Mac lalu hingga sekarang.

PETUGAS Zoo Melaka sedang memberi makanan zirafah. - Foto Hassan Omar
PETUGAS Zoo Melaka sedang memberi makanan zirafah. - Foto Hassan Omar

Di Zoo Melaka, di Ayer Keroh, yang sudah pasti tiada pengunjung sepanjang PKP begitu dirasakan pihak pengurusan yang memerlukan dana mengurus haiwan berkenaan.

Justeru, pihak pengurusan melancarkan Tabung Sumbangan Zoo Melaka, pada 4 April lalu semata-mata untuk memastikan zoo berkenaan memiliki dana mencukupi untuk membiayai kos makanan haiwan sebanyak RM180,000

sebulan.

Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis dan dua Ahli Zoologi zoo itu, Azman Ghazali dan Mohd Aizad Faizatul Azreen, tetap mahu memastikan 28 kakitangan zoo melaksanakan tugas masing-masing bagi memastikan 650 haiwan daripada 120 spesis mendapat makanan secukupnya.

Walaupun haiwan berkenaan tidak perlu melayan kerenah pengunjung zoo seperti yang lazim dilakukan ketika sebelum PKP dilaksanakan, ia perlu dipastikan sentiasa dalam keadaan sihat.

: GAJAH perlu diberikan makan walaupun Zoo Melaka menghadapi kekurangan dana akibat ketiadaan pengunjung berikutan PKP. - Foto Hassan Omar
: GAJAH perlu diberikan makan walaupun Zoo Melaka menghadapi kekurangan dana akibat ketiadaan pengunjung berikutan PKP. - Foto Hassan Omar

Pada setiap waktu yang ditentukan haiwan berkenaan diberikan makanan, tiada siapa pun yang mampu menafikan hak mereka kerana mungkin boleh 'mengamuk' jika tidak diberikan makanan seperti lazimnya.

Aspek PKP yang mencengkam kehidupan manusia sekarang bukan masalah yang harus dikongsi oleh mereka, sebaliknya pada setiap kali perut berkeroncong, mereka akan membentak supaya segera diberikan makan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman menjelaskan, zoo itu memiliki lima harimau belang atau Harimau Malaya, seekor harimau belang putih Bengal, lima harimau kumbang dan dua singa yang setiap seekor memerlukan enam kilogram (kg) daging sehari.

Katanya, kos keseluruhan makanan sebanyak RM180,000 sebulan itu pada hakikatnya tiada pengecualian walaupun ketika PKP dilaksanakan, sebaliknya perut haiwan harus dipastikan sentiasa berisi.

"Dengan mengambil contoh makanan untuk harimau dan singa, Zoo Melaka berhadapan cabaran getir untuk memastikan setiap haiwan mendapat makanan secukupnya.

HARIMAU akan ‘mengamuk’ jika tidak diberi makan. - Foto Hassan Omar
HARIMAU akan ‘mengamuk’ jika tidak diberi makan. - Foto Hassan Omar

"Ia termasuk 300 kg rumput napier dan makanan tambahan lain sehari yang perlu disediakan untuk tiga gajah betina yang berfungsi sebagai antara daya penarik utama Zoo Melaka, selain harimau, singa, 10 buaya dan tiga zirafah," katanya.

Beliau berkata, 38 haiwan dari spesis banding seperti seladang turut memerlukan makanan ruminan yang bukan sedikit jumlahnya dan ia menuntut petugas zoo sentiasa bersedia dengan peruntukan mendapatkan rumput napier dan bahan makanan sampingan lain.

Katanya, PKP secara jelas memberi gambaran nyata kepada pentadbir zoo itu, perolehan RM8.8 juta dicatatkan hasil kunjungan 535,000 pelawat sepanjang 2019, tidak mampu diperoleh tahun ini.

PKP mulai 18 Mac lalu hingga sekarang, bakal mengecutkan kantung perolehan Zoo Melaka berbanding RM8.8 juta yang mampu membiayai kos makanan dan perubatan haiwan.

Selain itu, mereka perlu membayar upah kepada 70 petugas (sebelum PKP dilaksanakan) dan 30 kakitangan (sepanjang PKPK) dikuatkuasakan.

PETUGAS Zoo Melaka sedang memberi makanan zirafah. - Foto Hassan Omar
PETUGAS Zoo Melaka sedang memberi makanan zirafah. - Foto Hassan Omar

Antara kaedah untuk membantu Zoo Melaka memiliki dana mencukupi untuk operasi seterusnya, tabung itu, setakat ini memiliki dana RM40,000 dan dijangka bakal bertambah berikutan sumbangan berterusan pihak yang prihatin terhadap aspek kebajikan haiwan.

Berasaskan sifat perikemanusiaan sesama makhluk Allah, ahli perniagaan dari Cheras, Kuala Lumpur, Datuk Hazreeq Hasman, 39, dan tiga kakitangan syarikat Cordova Holding Sdn Bhd sanggup memandu sejauh kira-kira 270 kilometer (km) untuk berulang-alik dari Cheras ke Ayer Keroh semata-mata untuk menyampaikan sumbangan RM6,000 untuk bahan makanan haiwan.

"Bukan manusia sahaja perlu diberikan bantuan makanan sepanjang PKP, haiwan juga perlu dipastikan diberikan makanan untuk terus hidup," katanya.

Beliau menjelaskan, sumbangan bahan makanan untuk manusia yang terjejas akibat PKP sudah banyak diberikan.

"Jangan lupa aspek makanan untuk haiwan peliharaan penting untuk meneruskan hidu katanya.

Sesiapa yang ingin memberikan sumbangan diminta menghubungi kakitangan Zoo Melaka, Eriza dengan menelefon 012-8976937 atau Shahira (011-12852789).

COVID-19 mengajar manusia agar lebih mengasihi nikmat kehidupan diberikan Yang Maha Pencipta dan sewajarnya satu daripada tanda kasih itu ialah dengan sentiasa bersyukur dengan nikmat-Nya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X