X
Ahad, 15 March 2020 | 10:00am
SUNGAI Paya Lebar, Sungai Ramuan Cina, Sungai Rembau dan Kuala Linggi, di Lubok Cina, dekat Alor Gajah ditemani hutan paya bakau semula jadi. - Foto Hassan Omar
SUNGAI Paya Lebar, Sungai Ramuan Cina, Sungai Rembau dan Kuala Linggi, di Lubok Cina, dekat Alor Gajah ditemani hutan paya bakau semula jadi. - Foto Hassan Omar
SUNGAI di sekitar Lubok Cina dekat Alor Gajah menjadi tumpuan kaki pancing udang galah. - Foto Hassan Omar
SUNGAI di sekitar Lubok Cina dekat Alor Gajah menjadi tumpuan kaki pancing udang galah. - Foto Hassan Omar

Alam yang tidak terusik

SUNGAI Paya Lebar, Sungai Ramuan Cina, Sungai Rembau dan Kuala Linggi, di Lubok Cina, di Alor Gajah, Melaka di tebing kiri dan kanannya ditemani dengan hutan paya bakau adalah khazanah alam yang tidak terusik oleh pembangunan.

Dengan dikelilingi hutan paya bakau yang tidak tercemar meskipun ada perladangan kelapa sawit dimajukan di beberapa kawasan tertentu, ia tetap mampu menarik kehadiran pelancong tempatan dan asing.

Ia tidak termasuk kaki pancing yang gemar menyentap joran yang disambar ikan dan udang galah di lubuk tertentu dalam sungai berkenaan.

Meskipun kawasan itu belum dimajukan sebagai destinasi pelancongan yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan, ia tetap menarik kehadiran pelancong sejak kira-kira lima tahun lalu.

Mereka hadir selepas mendengar mengenai keindahan alam semula jadi di kawasan itu dari mulut rakan dan taulan, selain melalui paparan kenangan mereka yang pernah mengunjunginya dalam laman sosial, terutama Facebook.

Selain kicauan burung, persekitaran sungai dan hutan paya bakau itu turut dihiasi dengan suara monyet, ungka dan lotong yang bersahut-sahutan.

Untuk tiba di sungai itu, pengunjung harus terlebih dahulu melalui pekan Lubok Cina, kira-kira 20 kilometer (km) dari Plaza Tol Pedas/Linggi, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebelum tiba di Jeti Nelayan Kampung Paya Lebar, kira-kira lima km dari pekan berkenaan.

Di jeti itu, pengunjung berpeluang menyusuri sungai dengan menggunakan perahu dan bot nelayan, selain mencuba menaiki bot disediakan perintis usaha membawa lebih ramai pelancong tempatan dan asing, Eco Adventures yang diusahakan Budiman Jaafar.

JETI Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat Alor Gajah bersedia menerima kehadiran pelancong. - Foto Hassan Omar
JETI Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat Alor Gajah bersedia menerima kehadiran pelancong. - Foto Hassan Omar

Mengenai kekayaan 'phytoplankton' iaitu sejenis alga marin yang berfungsi sebagai sumber utama makanan ikan dan udang di sungai berkenaan diakui Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Sekolah Biologi Sains Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Amir Shah Ruddin Md Sah yang pernah melakukan kajian mengenai ikan di sungai itu.

Katanya, setakat ini, sungai berkenaan kekal sebagai habitat pelbagai jenis ikan air tawar dan payau (habitat pertemuan antara air tawar dengan air laut) berikutan kekayaan bahan makanan itu.

Sambil menyusuri sungai, pelancong bukan setakat berpeluang menyaksikan haiwan seperti burung, malah jika nasib menyebelahi mereka, turut berpeluang menyaksikan kehadiran buaya.

Selain itu, orang ramai berpeluang menyaksikan bagaimana lokan dicungkil dari dalam lumpur di tebing sungai, selain berpeluang singgah di Taman Lokan yang diusahakan anak jati Kampung Paya Lebar, Zainal Md Ali, 65, sejak 10 tahun lalu.

Zainal memilih tebing sungai kira-kira 200 meter dari Jeti Nelayan Tebing Urut di Kampung Paya Lebar berdasarkan kedudukan strategiknya.

ZAINAL menghiasi Taman Lokan dengan melekatkan kulit lokan di lantai taman, selain membina tandas, wakaf dan kemudahan lain untuk pelancong. - Foto Hassan Omar
ZAINAL menghiasi Taman Lokan dengan melekatkan kulit lokan di lantai taman, selain membina tandas, wakaf dan kemudahan lain untuk pelancong. - Foto Hassan Omar

Beliau membersihkan kawasan itu dan menghiasi Taman Lokan dengan melekatkan kulit lokan di lantai taman, selain membina tandas, wakaf dan kemudahan lain untuk pelancong.

Selain menikmati suasana dalam hutan di tebing sungai berkenaan, pelancong juga berpeluang mencari lokan dalam lumpur di tebing sungai, selain memancing dan menjala udang galah.

Mereka juga berpeluang membakar udang galah dan ikan di kawasan perkhemahan di Taman Lokan.

Selain itu, pelancong turut berpeluang menyaksikan buaya yang gemar berjemur di tebing Sungai Paya Lebar/Ramuan Cina.

Keindahan alam semula jadi di kawasan berkenaan pernah mendapat perhatian kerajaan negeri apabila bekas EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis melakukan tinjauan di sungai itu pada awal 2019.

Hasil tinjauan itu, beliau menyatakan sungai yang kaya dengan pelbagai sumber semula jadi itu dicadangkan dimajukan dengan industri pelancongan 'Melaka Ecoriver Cruise Phase II' bagi meningkatkan kemajuan industri pelancongan berasaskan sungai.

Katanya, selain menyusuri sungai dan memancing udang galah, pelancong juga berpeluang menikmati suasana di pinggi hutan apabila menginap di chalet yang dibina di kawasan paya bakau di sisi sungai berkenaan.

Ia menawarkan peluang untuk nelayan menyediakan perkhidmatan bot atau perahu untuk disewa pelancong bagi meninjau keindahan alam semula jadi di sepanjang sungai.

ZAINAL mempamerkan udang galah dijala di Sungai Ramuan Cina. - Foto Hassan Omar
ZAINAL mempamerkan udang galah dijala di Sungai Ramuan Cina. - Foto Hassan Omar

Berita Harian X