Ahad, 9 Februari 2020 | 11:38am
Pemandangan Gunung Pulai yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar kerana keindahan semula jadi. - Foto Ihsan Mohd Faizal Mohd Razali
Pemandangan Gunung Pulai yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar kerana keindahan semula jadi. - Foto Ihsan Mohd Faizal Mohd Razali

Gunung Pulai gamit pelancong

Selain Gunung Baling yang sering dikunjungi pengunjung, Gunung Pulai yang terletak bersebelahannya juga menjadi mercu pelancongan baharu di Baling, Kedah untuk dikunjungi kerana banyak khazanah alam wajar diterokai.

Bentuk muka bumi dan geografi yang menarik juga menyimpan gua-gua yang melakar sejarah sebagai destinasi pelancongan yang baharu.

Gunung Pulai yang terletak di Mukim Pulai, di daerah Baling, adalah gunung kedua tertinggi di Kedah selepas Gunung Jerai.

Dengan ketinggian 620 meter, gunung berbatu kapur semula jadi memiliki tarikan tersembunyi yang tidak banyak diketahui ramai.

Laluan ekstrem pendaki

Gunung Pulai dikelilingi oleh empat kampung iaitu Kampung Paya, Kampung Tanjung Merbau, Kampung Sungai Limau dan Kampung Dalam Wang. Pengunjung boleh masuk melalui Kampung Paya dan Sungai Limau dan dapat merasai melalui jambatan gantung sepanjang 10 meter untuk ke kaki gunung.

Koordinat puncak tertinggi dengan ketinggian 620 meter menjadi tarikan seluruh Malaysia dan luar negara di mana laluan mendaki 80 peratus adalah berbatu dan boleh mencapai 70 darjah kecondongan menjadi laluan ekstrem bagi penggemar hobi mendaki.

Pemandangan yang indah sepanjang laluan utama ke Pekan Baling tersergam menjadi tarikan kepada pengunjung.

Lihat khazanah asli

Penghulu Mukim Pulai, Badrul Hisham Che Li, berkata selain pemandangan Gunung Pulai yang indah dikelilingi sawah padi ia juga mempunyai lapan gua yang masih kekal dengan keaslian semula jadi.

Beliau berkata, selain disusuri sebahagian Sungai Ketil turut menjadikan Gunung Pulai cukup istimewa sebagai khazanah alam yang unik.

“Daripada lapan gua terbabit Gua Tok Sheikh dianggap paling menarik kerana dikatakan menjadi bukti kewujudan kelompok manusia ketika zaman prasejarah sekitar 6,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi.

“Selain Gua Tok Sheikh yang menyimpan pelbagai artifak prasejarah, tujuh lagi gua yang menghuni Gunung Pulai ini ialah Gua Layang, Gua Gelap, Gua Kelambu, Gua Tembus, Gua Matahari, Gua Kambing dan Gua Ikan,” katanya.

Beliau berkata, di kaki gunung itu dapat melihat susunan batu nisan yang dipercayai milik Tok Bandar dan penduduk awal di Kampung Pulai yang telah berusia ratusan tahun.

“Keadaan perkuburan yang bersih sentiasa dijaga oleh penduduk setempat yang menjadi laluan para pendaki.

“Kita juga dapat melihat khazanah asli di dalam gua terutama pelbagai bentuk yang terhasil daripada ‘stalaktit’ dan ‘stalakmit’ yang kelihatan seperti seekor gajah, seorang wanita, lelaki dan bayi serta kepala ular sawa,” katanya.

Badrul Hisham berkata, peninggalan cara hidup prasejarah yang masih wujud terutamanya di dinding luar Gua Sireh atau Gua Telok Wang di Gunung Pulai, menunjukkan masyarakat terawal sudah mendiami kawasan berkenaan antara 16,000 hingga 17,000 tahun yang lalu.

Justeru, tidak hairanlah apabila pihak Jabatan Warisan Negara (JWN) telah temui lebih 100 artifak prasejarah di Gunung Pulai baru-baru ini.

Badrul Hisham berkata, penemuan tinggalan itu dikenali juga sebagai lapisan kebudayaan sangat penting selepas lapisan itu dikesan ditapak sama musnah akibat aktiviti manusia.

Beliau berkata, tidak hairanlah nama Gunung Pulai semakin meniti bibir kumpulan pencinta alam semula jadi dan pendaki, walaupun semua lapan gua terbabit masih belum diterokai atau dipromosi sebagai tarikan pelancong.

“Kita percaya dengan strategik promosi yang tepat mampu menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung ke khazanah peninggalan ini.

“Lebih menarik aktiviti di Gunung Pulai bukan sekadar membabitkan mendaki atau menjelajah ke gua-gua sematamata, malah pengunjung juga berpeluang melakukan aktiviti kayak disebahagian 50 kilometer (km) menyusuri Sungai Ketil,” katanya.

Rezeki hasil hutan

Katanya, kepakaran malim gunung mengenai selok-belok di kawasan pergunungan itu sering kali digunakan pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi operasi mencari sekiranya pengunjung yang sesat dan sakit.

“Selain itu penduduk kampung turut menjadikan Gunung Pulai tempat mereka mencari rezeki untuk menambah pendapatan.

“Banyak hasil hutan yang ada seperti pokok paku aji yang dijadikan hiasan taman dan Baja organik untuk pertanian,” katanya.

Berita Harian X