Ahad, 10 November 2019 | 10:00am

'Pengantin perbukitan' unik

BERKUNJUNG ke Arab Saudi selain menunaikan haji, umrah dan ziarah ke Makkah serta Madinah selama ini, ibarat menyaksikan negara mengenakan ‘abaya’, iaitu jubah hitam yang lazimnya dipakai wanita di negara yang turut sinonim dengan padang pasir itu.

Justeru, peluang menyertai Saudi Arabia Open to Tourism menjadi pengalaman unik yang tidak boleh dilepaskan terutama sesekali wajah negara itu ‘terselak’ apabila membaca berita mengenai penemuan tinggalan sejarah pra-Islam.

Antara destinasi pelancongan yang dianggap khazanah tidak ternilai di Arab Saudi ialah Alula atau dalam bahasa Arab, al-‘Ula yang terletak kira-kira 400 kilometer (km) dari Madinah.

Asia Barat sebenarnya pusat tamadun dunia dengan Arab Saudi yang berada di tengah-tengah pasti tidak terlepas daripada lalu lintas manusia yang membawa peradaban.

Alula yang bermaksud tanah tinggi, memiliki rupa bentuk padang pasir dan berbukit batu hingga dalam kalangan orang tempatan menggelarkan sebagai ‘pengantin perbukitan’ yang menunjukkan keindahan muka buminya.


KOTA Lama yang berusia 800 tahun dan kini tidak lagi berpenghuni di Al-Ula. - NSTP/Nazmi Yaakub

Tidak banyak hotel yang boleh menjadi pilihan pelancong buat masa ini tetapi Al-Ula Arac Resort yang menjadi destinasi penginapan penulis dan rombongan wartawan antarabangsa memiliki latar mengagumkan.

Dikelilingi bukit batu, resort itu menawarkan suasana yang sangat tenteram dan sunyi kepada pengunjung, sekali gus dapat menikmati ‘secebis’ pengalaman bermalam di tengah padang pasir.

Siang berbahang dan malam kedinginan seolah-olah menghantar pengunjung jauh ke tengah padang pasir meskipun masih dilengkapi dengan kelengkapan moden seperti pendingin hawa.

Bagaimanapun, tidak banyak masa boleh ‘dibazirkan’ kerana Alula menawarkan keindahan alam semula jadi dan warisan dunia untuk diterokai.

Status Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang diberikan kepada Tapak Arkeologi al-Hijr atau lebih dikenali sebagai Mada’in Salih menanti kunjungan.


PENULIS bergambar kenangan berlatar belakangkan kota bersejarah Al-Ula, Arab Saudi. - NSTP/Nazmi Yaakub

Ia menjadi tapak eskavasi terbesar tamadun Nabataean yang berada di luar Petra, Jordan dengan memiliki 131 ruang makam yang dibina daripada bukit batu, tempat takungan air dan inskripsi termasuk daripada zaman pra-Nabataean.

Kerajaan Nabataen ialah tamadun dengan wilayah di selatan Laut Merah hingga ke Hijaz bermula abad keempat sebelum Masihi hingga sekitar 106 selepas Masihi.

Sekiranya tapak arkeologi di Petra menjadi tumpuan pelancong hingga mungkin mengganggu, lokasi di Alula masih terkawal.

Selain Nabataen, Alula turut memiliki tapak ekskavasi al-Khuraybah atau kota Dadan purba yang menjadi pusat Kerajaan Dadan dan Lihyan yang wujud sebelum Masihi, selain Makam Singa.

Inskripsi kuno masih dapat ditatap di lokasi yang menakjubkan, iaitu Bukit Ikmah yang seolah-olah menjadi tembok gergasi, sekali gus menjadi seperti arkib yang menyimpan warisan sejarah hingga ke hari ini.

Sekiranya makam di Mada’in Salih dan Dadan dipahat oleh manusia, Elephant Rock pula seolah-olah diukir angin padang pasir hingga menjadi seperti gajah gergasi.

Sudah tentu lokasi sebegini menjadi latar sangat menarik untuk fotografi, malah tidak mustahil sebagai latar perfileman.


PEMANDU pelancong dari Suruhanjaya Diraja Alula, Arab Saudi menerangkan sejarah tapak arkeologi Madain Saleh. - NSTP/Nazmi Yaakub

Bagaimanapun, kekaguman penulis tidak terhenti pada tapak ekskavasi dan batu gergasi dengan pelbagai bentuk termasuk kepala wanita yang bersedih, sebaliknya ada resort dibina antara bukit batu, kebun kurma dan ladang unta yang menjadikan kunjungan ke Alula sangat unik.

Penulis dibawa melalui lorong kecil antara dua batu gergasi, sebelum tiba di kawasan lapang tetapi dikelilingi ‘tembok’ semula jadi seolah-olah tempat ‘perhimpunan’ rahsia.

Kota Lama Alula yang berusia 800 tahun dan kini tidak lagi berpenghuni, turut merakam sejarah penting kawasan itu yang menjadi antara Laluan Sutera yang menghubungkan tamadun dunia.

Asalnya kota itu dihuni masyarakat Al-‘Alawi (berbeza dengan keturunan Alawi di Syria) tetapi kali terakhir ia didiami sekitar penghujung alaf lalu.

Banyak kisah menarik yang tersimpan dalam kota lama itu termasuk ia juga berada di laluan pada zaman Rasulullah SAW, selain di tengah-tengah perjalanan kafilah mengerjakan haji.

Komitmen Suruhanjaya Alula Diraja untuk memelihara persekitaran ekologi di padang pasir dan bukit batu diharap dapat memastikan spesis haiwan terancam dapat dibiakkan termasuk dengan memperoleh khidmat nasihat dan kepakaran daripada renjer safari Tanzania berpengalaman.

Selain tapak tamadun silam dan penempatan lama, Alula juga sebenarnya terkenal dengan hidupan liar apabila memiliki kawasan rizab Sharaan seluas 925 km persegi, sekali gus habitat semula jadi terpenting di wilayah berkenaan.

Antara haiwan di kawasan rizab itu ialah musang Afghan, musang merah, serigala Arab, rusa Arab, burung unta dan kambing gurun.

Wakil Suruhanjaya Alula Diraja, Ahmad al-Amam, berkata pihaknya akan mengadakan pameran di luar negara untuk mempromosi Alula dengan lokasi pertama di Paris.

“Kami tidak hanya membawa bahan pameran biasa, sebaliknya memanfaatkan elemen interaktif seperti bunyi unggas dan haruman sitrus yang sinonim dengan Alula,” katanya.


TULISAN kuno kerajaan Lihyan yang diukir di Bukit Ikmah hingga digelar sebagai ‘Perpustakaan Lihyan.’ - NSTP/Nazmi Yaakub

Beliau berkata, pihaknya turut mempromosikan Festival Musim Sejuk Tantora yang berlangsung bermula 19 Disember hingga 7 Mac ini yang menggabungkan tarikan pelancongan sejarah dengan persembahan muzik bertaraf kelas pertama, belon udara panas dan kapal terbang vintaj,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian penulis, pelancongan khususnya di destinasi seperti Alula memerlukan biaya lebih berbanding pelancongan ekonomik terutama infrastrukturnya masih pada peringkat awal.

Pelancong masih perlu menggunakan khidmat agensi pelancongan dengan menggunakan sekurang-kurangnya kenderaan pacuan empat roda.

Bagaimanapun bagi pelancong yang sanggup berbelanja lebih, kunjungan ke destinasi seperti Alula berbaloi, apatah lagi dengan pengenalan e-visa pelancongan yang memudahkan pelancong untuk menetap hingga tiga bulan setiap kali masuk.

ELEPHANT Rock yang menjadi mercu tanda di Al-Ula, Arab Saudi. - NSTP/Nazmi Yaakub
Berita Harian X