Ahad, 3 November 2019 | 10:00am
DI puncak Seongsun Ilchulbong.
UMMI menatap matahari terbit.

Jeju warisan sejarah, indah panorama

KESEMPATAN mengunjungi bumi Seongsan Ilchulbong, Korea Selatan adalah pengalaman yang begitu indah dengan melihat pesona panorama begitu mengasyik pada ketinggian 180 meter dari puncak bukit terutamanya ketika matahari terbit.

Kira-kira jam 6 pagi penulis bersama lima rakan lain sudah sampai ke puncak Seongsan Ilchulbongs sekali gus dapat menyaksikan keindahan sebahagian daripada Pulau Jeju sambil merakam video dan gambar.

Dalam perjalanan turun, di sebelah utara dan selatan kelihatan pemandangan tebing serta banjaran laut. Di sebelah timur hamparan rumput hijau.

Seongsan dulu adalah kawah gunung berapi. Dikatakan terjadi letusan dahsyat dan terhasil sebuah kawah lebar seperti cawan.


MENIKMATI air terjun Jeonbang.

Di sini dilihat banyak patung dipercayai menjadi penjaga pantai di situ. Patung ada di merata tempat di Jeju. Dol hareubang, adalah patung batu yang menjadi ikon di Pulau Jeju.

Menuruni Seongsan berjumpa kawasan tempat penyelam wanita hebat Jeju menangkap hasil laut tanpa menggunakan peralatan oksigen. Mereka mula menyelam dari jam 1.30 tengah hari hingga 3 petang.

Penyelam dikenali Haenyeo atau Perempuan Laut. Rata-rata sudah berumur dan pekerjaan itu dilakukan sejak remaja yang menjadi tradisi pada sebahagian wanita Jeju. Ada yang menggelarkan mereka Puteri Duyung kerana mengenai pakaian renang warna hitam, kaca mata dan kaki katak ketika menyelam.


PEMANDANGAN laut di Jusangjeolli Cliff indah sekali.

Mereka mampu menyelam sehingga 15 meter kedalaman air. Walaupun tanpa bantuan alat oksigen mereka mampu menangkap kurita, kerang, kepah dan abalone yang popular dan mahal yang kemudian di jual di beberapa restoran makanan laut. Antaranya Restoran Dae Wonga. Saya dan rakan sempat makan malam di situ.

Meskipun makanan laut agak mahal, iaitu kami membayar hampir 80,000 won (RM250) untuk enam orang, tetapi berpuas hati.

Kemudian, kami menyusuri pantai melihat kincir angin di Sinchang. Jika di tempat lain seperti di Balkan, kincir angin hanya dapat dilihat dari jauh kerana ia dibina di atas bukit tetapi di Jeju, letaknya di tepi pantai.

Pantainya di kelilingi batu batu hitam dipercayai daripada luahan gunung berapi. Menjelang tengah hari kami singgah di Pantai Seogwipo. Kelihatan ada pasangan pengantin meraikan saat indah di situ. Jeju amat sesuai untuk pasangan berbulan madu. Selain itu, jurugambar profesional merakam anak kecil dengan pelbagai fesyen.


DI Pantai Woljeong-ri

Sambil melihat pemandangan laut, kami memilih jus hallabong (limau) yang terkenal di pulau itu. Di kawasan pinggir bandar kelihatan kebun hallabong di belakang rumah.

Di sini tiada bangunan tinggi pencakar langit. Alam semula jadi dan pantai menyumbang keindahan Pulau Jeju dan disebabkan itu diberi julukan “Hawaii of Korea”.

Jeju menawarkan pakej wisata alam, budaya dan sejarah. Kini pulau berjaya menarik pelancong Muslim dari serata dunia dan semakin banyak restoran menyediakan makanan halal.

Wilayah dipilih adalah tujuh tempat keajaiban dunia dan mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pelancong juga berkesempatan berkunjung ke gua dan air terjun, selain pulau di atas pulau iaitu Udo, selain Gua Manjanggul sepanjang 13 kilometer dan ketinggian antara lima hingga 10 meter yang terbentuk dari larva gunung berapi yang terpanjang.


MAKAN malam di Restoran Dae Wonga.

Lantai dan batu di dalam gua dijaga supaya tidak berlumut.

Pelengkap ke Jeju ialah dengan mengunjung kawasan Air Terjun Jeonbang dan Cheonjeyeon. Perkataan Cheonjeyeon maksud Kolam Dewa. Air terjunnya setinggi 22 meter dan kedalaman airnya mencecah 20 meter.

Menariknya Air Terjun Jeonbang kerana airnya mengalir masuk ke laut.

Jangan lupa berkunjung Jeju Folk Village untuk melihat pembangunan seperti seni binanya, selain rumah tradisional. Masih ada penduduk yang menginap rumah tradisi. Di sini kami sempat mencuba hanbok, sejenis pakaian tradisi masyarakat Korea.

Destinasi ini juga terkenal sebagai pusat kosmetik. Di sesetengah kedai harga kosmetiknya murah. O’Sulloc pula sebuah kebun teh hijau dimiliki syarikat kosmetik terkenal di Korea Selatan.

Di situ ada muzium, kedai menjual produk kosmetik, Innisfree dan kafe. Teh hijau ditanam dan dikembangkan menjadi kosmetik. Memandangkan ia kawasan hijau, ramai bersantai di situ setiap petang.

Pelancong berpeluang menyewa motor elektronik beroda tiga. Banyak tempat menarik di hentian Pulau Udo.

Berita Harian X