Selasa, 15 Oktober 2019 | 2:09pm
Dua penerjun BASE dalam kalangan pelancong asing menikmati panorama Kuala Lumpur daripada ketinggian 300m. - NSTP/Aizuddin Saad
Penerjun memiliki lesen Persatuan Payung Terjun Amerika Syarikat (USPA) dan berpengalaman terjun udara lebih 150 kali, baru dibenarkan melakukan lompatan BASE. - NSTP/Aizuddin Saad

Berani mati terjun di Menara Kuala Lumpur

NEKAD melakukan terjunan BASE atau menjayakan sukan udara ekstrem menggunakan payung terjun dengan lompatan pada ketinggian tertentu, umpama menunggu bom jangka meletup, ringkasnya peserta seolah-olah menyertai misi bunuh diri yang ‘dihalalkan’.

Aktiviti terjunan ekstrem berbanding sukan skydiving atau terjun udara kerana jarak terjunan sangat rendah (BASE), selain banyak objek di sekeliling peserta dan penerjun pula mempunyai satu payung terjun, tiada payung terjun gantian sekiranya berlaku kecemasan.

Justeru, sekiranya payung utama tidak kembang, anda pasti berdepan saat kematian.

Bagi melayakkan individu menyertai terjunan BASE, peserta wajib mempunyai lesen daripada Persatuan Payung Terjun Amerika Syarikat (USPA) dan sekurang-kurangnya berpengalaman melakukan terjun udara lebih 150 hingga 200 kali pada ketinggian minimum 2,424 meter (m) dari paras laut.

“Bagi mereka yang ingin mengenali terjun BASE, walaupun sudah berpengalaman melakukan terjun udara, secara peribadi saya tidak menggalakkan anda mencuba, risikonya terlalu tinggi.

“Terjun udara hanya ada satu sahaja payung terjun, tiada payung terjun kecemasan. Terjun pada ketinggian rendah, lebih tinggi risikonya,” jelas penerjun BASE tempatan, Mohd Akmal Jamal, 34.

Beliau yang juga bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), mengakui melakukan lebih 150 kali terjunan dan hanya pada tahun lalu hingga kini, dia menjayakan aktiviti terjunan di pelbagai destinasi lompatan lebih 60 kali, namun tidak terlepas daripada berdepan saat mencemaskan apabila melakukan aktiviti ekstrem ini.

Mohd Akmal yang kini bertugas sebagai penghibur aksi lagak ngeri di sebuah taman tema di Ipoh, Perak ditemui ketika menyertai acara KL Tower International Jump Malaysia atau Terjunan BASE Menara Kuala Lumpur 2019 diadakan pada aras TH05 atau Sky Deck iaitu pelantar tinjau terbuka Menara Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya berdepan pengalaman pahit ketika menjayakan terjunan BASE dari Menara Taming Sari di Melaka pada ketinggian 110m.

“Ketika hendak mendarat, payung terjun tersangkut pada tiang lampu, sekali gus mengalami kecederaan pada tangan dalam usaha meloloskan diri. Mujur menerima bantuan segera. Saya juga pernah tersasar ketika mendarat.

“Jadi, bagi mereka yang ingin cuba, terpulanglah. Carilah jurulatih profesional yang mampu memberi keyakinan kepada anda sebelum melakukan terjunan BASE, InsyaAllah semuanya selamat,” katanya.


Pesona Menara Berkembar PETRONAS atau KLCC iaitu ikon pelancongan negara menjadi pilihan penerjun BASE merakamkan keindahannya dalam setiap lompatan. - NSTP/Aizuddin Saad

Bangunan tertinggi di Asia Tenggara, The Exchange 106 (dahulunya dikenali sebagai Menara TRX) jelas kelihatan sebaik sahaja penerjun BASE terapung di udara. - NSTP/Aizuddin Saad

Empat pelancong asing kesemuanya dari England menikmati panorama Kuala Lumpur dengan menyertai aktiviti ekstrem iaitu Sitting on the Edge pada aras TH05 di Menara KL. - NSTP/Aizuddin Saad

Terjunan BASE di Menara Kuala Lumpur berjaya meletakkan Malaysia pada peta pelancongan antarabangsa sebagai destinasi pelancongan sukan ekstrem, sekali gus membantu menggalakkan promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) apabila berjaya menarik minat penggemarnya dari seluruh dunia bercuti ke Kuala Lumpur.

Aktiviti BASE diharap menjadi produk pelancongan utama bagi negara. Pelancong berpeluang menikmati panorama Kuala Lumpur dengan menyertai aktiviti ekstrem iaitu Sitting on the Edge pada aras TH05 di Menara Kuala Lumpur sepanjang acara berkenaan berlangsung.

Bagi penerjun BASE dari Belanda, Jonneke Van Dooren, 26, beliau mengakui pernah melakukan lompatan BASE di pelbagai destinasi seluruh dunia, namun memilih Menara Kuala Lumpur bagi menjayakan aktiviti itu kerana acara berkenaan sah di sisi undang-undang.


Mohd Akmal Jamal (kanan) bersama penerjun BASE dari Belanda, Jonneke Van Dooren bersiap sedia daripada segi fizikal dan mental sebelum melakukan lompatan. - NSTP/Aizuddin Saad

Penerjun BASE melakukan lompatan pada aras Sky Deck iaitu pelantar tinjau terbuka yang turut menempatkan Sky Box, iaitu tarikan popular Menara KL. - NSTP/Aizuddin Saad

Dooren sudah dua kali melakukan terjunan BASE di Menara Kuala Lumpur.

Beliau pernah melakukan lebih 100 terjunan BASE, mengakui keindahan Kuala Lumpur sentiasa menggamitnya untuk kembali ke bandar raya ini bagi menjayakan aktiviti berkenaan.

Beliau juga antara empat penerjun BASE wanita yang mengambil bahagian dalam siri penganjuran di Menara Kuala Lumpur, tahun ini.

FAKTA NOMBOR

* 421 meter - Ketinggian Menara KL dari paras bumi

* 300 meter - Ketinggian Sky Deck atau pelantar terjun BASE dari paras bumi

* 103 penerjun - BASE terbabit pada 2019

* 25 negara - Mengambil bahagian


Pelbagai aksi menarik daripada penerjun BASE dapat disaksikan ketika mereka melakukan lompatan dari pelantar khas yang dibina terjulur keluar dari tebing Sky Deck. - NSTP/Aizuddin Saad

INFO

• Sukan udara ekstrem membabitkan penggunaan payung terjun bagi melakukan lompatan pada ketinggian tertentu dikenali sebagai terjunan BASE.

• BASE dibentuk akronim empat kategori atau objek tetap yang menjadi pilihan terjunan iaitu building atau bangunan, antenna (antena), span (jambatan) dan earth (tebing tinggi).

• Menara KL adalah menara telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia, menjadi pilihan dalam kalangan penerjun BASE peringkat antarabangsa kerana ia sah di sisi undang-undang.

• Penerjun diwajibkan memiliki lesen Persatuan Payung Terjun Amerika Syarikat (USPA), selain berpengalaman terjun udara lebih 150 kali, layak atau dibenarkan melakukan lompatan BASE.

• Peserta dari Indonesia, Thailand dan Kuwait kali pertama menyertai acara terjun BASE dianjurkan Menara KL pada tahun ini, selain tuan rumah, Malaysia diwakili 15 penerjun BASE.

• Negara paling ramai diwakili penerjun BASE pada acara tahun ini termasuklah Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Belanda, Jerman dan Jepun.

Berita Harian X