Ahad, 6 Oktober 2019 | 11:00am
PENDUDUK mukim sungai balang beramai-ramai menjelajah kampung bersama perahu jalur yang pernah menjadi pengangkutan utama masyarakat suatu ketika dahulu dan ia juga menjadi raptai terakhir sebelum turut menyertai acara perbarisan hari kebangsaan peringkat daerah Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria
PERAHU jalur yang berusia 100 tahun dan diperbuat daripada batang pokok kekabu dibaik pulih dan dijadikan sebagai simbolik bagi penduduk mukim sungai balang, Muar untuk menyambut hari kemerdekaan. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Perahu jalur berlayar semula di Sungai Pulai, Muar

PENGGUNAAN perahu sebagai pengangkutan penduduk di pinggir sungai suatu yang sinonim suatu ketika dahulu, selain digunakan nelayan dalam menjayakan aktiviti ekonomi di sungai.

Bagi penduduk di Sungai Pulai, Muar, Johor, juga melalui zaman sama apabila perahu jalur ini menjadi pengangkutan utama di sekitar Mukim Sungai Balang.

Sejak zaman-berzaman penggunaan perahu jalur popular sedikit masa dahulu, semakin dilupakan disebabkan arus pembangunan, malah sungai yang dulunya dalam semakin tandus dan dipenuhi lalang.

Namun, atas keprihatinan penduduk kampung untuk mengembalikan nostalgia itu supaya generasi sekarang mengetahui sejarah dan fungsinya.

Perahu pengangkutan utama

Perahu jalur yang berusia kira-kira 100 tahun itu digunakan sebagai pengangkutan utama bagi penduduk Mukim Sungai Balang yang turut menyertai acara perbarisan sempena sambutan ulang tahun negara itu bagi peringkat daerah Muar.


MUAR 31 OGOS 2019. Penduduk mukim sungai balang beramai-ramai menjelajah kampung bersama perahu jalur yang pernah menjadi pengangkutan utama masyarakat suatu ketika dahulu dan ia juga menjadi raptai terakhir sebelum turut menyertai acara perbarisan hari kebangsaan peringkat daerah muar. NSTP/BADRUL KAMAL ZAKARIA

Pengarah Program Kontinjen Mukim Sungai Balang, Mohd Taib Suhut, berkata pihaknya memilih konsep lama bagi membangkitkan nostalgia warga Muar dan kali ini pihaknya menggunakan perahu jalur yang sudah berusia kira-kira satu abad ini.

“Kita memilih perahu jalur ini kerana inilah pengangkutan utama datuk nenek kami di kawasan ini. Ini bukan sekadar membawa penduduk dari kawasan ke kawasan lain, tetapi sebagai punca rezeki bagi menyara keluarga.

"Perahu ini bukan sahaja digunakan bagi kegiatan perikanan sahaja, turut digunakan secara meluas termasuk membawa masuk atau keluar hasil bumi dari kampung dan mukim untuk didagangkan ke beberapa lokasi seperti Parit Jawa atau di bandar Muar," katanya.

Semangat muafakat

Mohd Taib yang juga anak jati kampung berkenaan berkata, membangkitkan nostalgia pada sambutan Hari kebangsaan yang ke-62, perahu jalur yang dimiliki kerabat Penghulu Sulaiman juga mempunyai cerita tersendiri, iaitu bertanggungjawab membuka penempatan khususnya di Sungai Pulai.


PERAHU jalur yang berusia 100 tahun dan diperbuat daripada batang pokok kekabu dibaik pulih dan dijadikan sebagai simbolik bagi penduduk mukim sungai balang, Muar untuk menyambut hari kemerdekaan. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Katanya, perahu jalur ini berada dalam keadaan usang dan boleh dikatakan sudah tinggal rangka. Bagaimanapun, beliau cuba membaik pulih perahu yang diperbuat daripada batang pokok kekabu ini dan Alhamdulillah, usaha ini berjaya.

“Kami bersyukur kerana masih mempunyai tinggalan warisan yang tidak ternilai ini kerana ia adalah satu-satunya perahu jalur masih terdapat di kawasan ini kerana kebanyakannya sudah diganti dengan sistem pengangkutan air yang lebih moden," katanya.

Justeru, ketika sambutan hari kemerdekaan baru-baru ini, beliau begitu bersungguh-sungguh menjayakan sambutan itu mahu menerusinya aktiviti sedemikian meningkatkan semangat cintakan negara dan menanamkan jati diri dengan identiti Malaysia yang utuh bagi semua lapisan masyarakat di kawasan ini.

“Idea bertujuan membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk. Alhamdulillah, saya dapat mengumpulkan semua lapisan masyarakat yang bermula daripada kanak-kanak, remaja hinggalah kepada orang dewasa termasuk ibu bapa.


PERAHU jalur yang berusia 100 tahun dan diperbuat daripada batang pokok kekabu dibaik pulih dan dijadikan sebagai simbolik bagi penduduk mukim sungai balang, Muar untuk menyambut hari kemerdekaan. - Foto Badrul Kamal Zakaria

“Semua usaha dilaksanakan secara bergotong-royong kerana kami ingin mewujudkan masyarakat di Mukim Sungai Balang yang sentiasa bermuafakat dalam apa sahaja aktiviti. Kami mahu titipkan kepada generasi muda bahawa semua ini tidak boleh dijayakan bersendirian," katanya.

Nostalgia merdeka

Mengimbas program yang dilakukan itu, program kali ini juga turut disertai seorang penghulu dan tujuh ketua kampung yang bersama-sama berganding bahu dan bermuafakat menjayakan usaha turut mendapat sokongan Pejabat Daerah Muar, Pejabat Parlimen Muar, Pengurusan Kampung dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“Program mendapat sokongan Penghulu Mukim Sungai Balang, Bohari Mohammad. Dikuatkan lagi dengan bantuan tujuh Ketua Kampung iaitu Sungai Muda, Parit Bugis, Sungai Gersik, Parit Subari, Sarang Buaya, Sungai Balang dan Parit Kemang.

"Semua pemimpin masyarakat dilengkapi persalinan busana Melayu berserta senjata tradisional. Mereka diletakkan pada bahagian hadapan dan belakang simbolik peranan dalam menjaga anak buah dalam sistem pentadbiran pemimpin Melayu suatu ketika dahulu.

"Budaya saling berhubungan dan melengkapi antara satu sama lain antara pemimpin dan anak buah mewujudkan masyarakat bersatu padu. Setiap busana yang dipakai, senjata yang disisipkan dan tugas digalas mempunyai ertinya tersendiri," katanya.

Berita Harian X