Ahad, 29 September 2019 | 10:00am
Restoran Sate Kajang Hj. Samuri. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Kajang kaya warisan sejarah

‘Kajang Pak Malau kajang berlipat, Kajang hamba mengkuang layu; dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu’.

Bicara pantun yang cukup puitis petikan dari filem Seri Mersing diterbitkan 1961 diarahkan sutradara Allahyarham Salleh Ghani, sedikit sebanyak menyebut nama kajang. Namun yang mahu diperkatakan Kajang, Selangor, iaitu sebuah pekan yang sudah wujud lebih 150 tahun lalu di mana asal usulnya memang berkait rapat dengan pantun berkenaan.

Khabarnya Kajang mendapat nama daripada penduduk asal orang asli dari kaum Temuan yang membawa maksud anyaman dari tumbuhan mengkuang hutan.

Malah pendapat lain juga menyebut, sebuah pondok pernah didirikan di pinggir Sungai Ujong oleh seorang pembesar dengan menggunakan daun mengkuang yang dilipat kajang.

Apapun pendapat yang disampaikan orang-orang lama tetap relevan, malah tetap dibuktikan dengan pelbagai peninggalan khazanah warisan yang boleh kita pelajari sekiranya bertandang ke Kajang hari ini.


Lee kim sin menunjukkan lampu pelita lama di galeri Kajang Heritage Centre.. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Kerjasama promosi Kajang

Bandar Kajang sebenarnya memiliki kekuatan dalam segmentasi pelancongan berteraskan kebudayaan yang mempunyai potensi besar dalam menarik kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa ke Selangor.

Tourism Selangor, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Kajang Heritage Centre masing-masing berkolaborasi bagi mengangkat warisan yang terdapat di sekitar bandar itu.

Usaha menarik pelancongan ke Kajang sudah dilaksanakan oleh Pusat Warisan Kajang (Kajang Heritage Centre) dengan inisiatif membuka galeri pameran sejak tahun 2000 lagi.

Malah, bahan pameran terdiri daripada perabot, buku lama, termasuk peralatan untuk melombong biji timah yang digunakan pada awal tahun 1900 disumbang masyarakat setempat sebagai khazanah yang perlu dipelihara untuk tatapan generasi baharu.


Pejabat pos lama bandar Kajang yang masih digunakan hingga kini. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Tarikan pelancong

Pengarah Pusat Warisan Kajang, Lee Kim Sin, berkata bandar Kajang tidak hanya dilengkapi jaringan sistem perhubungan awam yang efisien, tetapi juga dilengkapi dengan ciri-ciri sejarah yang menarik.

Katanya, meskipun tidak ramai yang mengetahui kewujudan Pusat Warisan Kajang yang sudah dibuka sejak tahun 2000, namun pusat ini tetap dikunjungi pelancong khususnya dari luar negara yang mengetahuinya menerusi media sosial.

“Hasil kolaborasi bersama Tourism Selangor dan MPKJ, program Heritage Walk Tour diharap dapat memperkenalkan lagi bandar Kajang ini sebagai bandar yang memiliki banyak warisan lama.

“Program ini membawa pelancong dalam dan luar negara berjalan di bandar Kajang dengan mengunjungi tujuh tempat secara berjalan kaki di sekitar bandar Kajang yang memiliki sejarah dan warisan lama.

“Antaranya galeri di Pusat Warisan Kajang yang memiliki lebih 300 artifak, Pejabat Pos dibina pada 1914, Masjid Jamek Kajang (1890-an), Kuil Shen Sze She Yar yang berusia lebih 120 tahun, Bangunan Dato Nazir (Restoran Sate Kajang Haji Samuri), Stadium Kajang dan Muzium Kajang.

“Segala imformasi boleh di dapati di galeri Pusat Warisan Kajang yang dibuka secara percuma setiap Sabtu jam 10 pagi hingga 5 petang,” katanya.


Pemilik kedai biskut, Siew Poh Chang, 88 bersama pelbagai jenis biskut di kedainya. - Foto Zulfadhli Zulkifli

INFO: Kajang

  • Jarak dari Kuala Lumpur ke Bandar Kajang 22 kilometer (km), Semenyih (8 km) dan Bandar Baru Bangi (12 km).
  • Bancian pada 2010 terdapat seramai 342,657 orang penduduk di Kajang.
  • Pecahan mengikut kaum Melayu seramai 60.4 peratus (%) Cina (19.3 %), India (9.7 %) dan Etnik lain (10.6 %).
  • Kajang memiliki empat sungai utama iaitu Sungai Langat, Sungai Bangi, Sungai Semenyih dan Sungai Chua.
  • Berita Harian X