Ahad, 29 September 2019 | 9:30am
Salah satu lokasi penggambaran filem popular Bajrangi Bhaijaan. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran
Bergambar kenangan ketika merentasi laluan bersalji ke Sonamarg. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Penangan filem Hindi, tarik pelancong ke India

Membesar dengan menonton filem Hindi yang menyajikan panorama indah dengan hero dan heroin menari serta berkejaran atas hamparan salji berlatar belakangkan gunung-ganang membuatkan ramai terpesona, kawasan dipaparkan seperti di Kashmir, Delhi dan Agra.

Keadaan itu juga turut menggamit orang ramai untuk meneroka lokasi sama bagi merasai sendiri suasana berkenaan. Lantas, penulis yang teruja setiap kali menonton filem itu dan sering mengimpikan ke sana, akhirnya tercapai apabila baru-baru ini berpeluang ke lokasi terbabit.

Perasaan gembira tidak dapat digambarkan walaupun ada sedikit debaran apabila sering kali dimomokkan dengan kisah menakutkan akan keadaan negara kedua terpadat di dunia itu.

Perjalanan selama lima jam bermula dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi sebelum penerbangan disambung ke Srinagar yang memakan masa hampir 1 jam 40 minit.

Keletihan seolah tidak terasa sebaik saja menjejakkan kaki di bumi Kashmir. Selepas bersarapan dan berehat, kami memulakan perjalanan ke taman Pari Mahal sebelum ke Masjid Hazratbal yang didakwa ada menyimpan rambut Nabi Muhammad SAW

Pemandangan indah di Gulmarg, salah satu lokasi tumpuan pengunjung di Kashmir. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Bermain ski di tengah hujan

Hujan renyai-renyai bukan penghalang untuk bersiar-siar, malah kami berkesempatan menikmati beberapa snek tempatan seperti ‘golgappa’, aiskrim, kebab dan roti ‘paratha’ bersama halwa yang sangat enak.

Keesokan harinya, seharian dihabiskan di Gulmarg dan masing-masing boleh memilih untuk bermain ski atau menunggang ‘snowmobile’ sambil menikmati pemandangan salji yang amat mengasyikkan.

Jika perjalanan ke fasa pertama kawasan pergunungan itu dimulai dengan menaiki kereta kabel, kami sepakat melakukan sedikit kelainan dengan ‘sledding’ sejauh tujuh kilometer menuruni kawasan cerun untuk kembali ke pintu utama.

Keseronokan meneroka Jammu dan Kashmir diteruskan ke Pahalgam dan di sini, semuanya teruja kerana berpeluang menunggang kuda untuk ke Baisaran atau digelar ‘Mini Switzerland’ kerana keindahannya menyerupai negara ke-11 yang paling aman di dunia itu.

Selepas bermalam di Pahalgam, berkesempatan melawat Betaab dan Aru Valley serta bergambar di lokasi penggambaran filem popular, Bajrangi Bhaijaan.

Baisaran yang mendapat jolokan Mini Switzerland popular dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Agrasen Ki Baoli adalah lokasi sejarah yang pernah menjadi tempat penyimpanan bekalan air di Delhi suatu ketika dulu. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Hangatkan badan dengan teh panas

Selain itu, sebuah sekolah rendah di Aru turut dilawati dan selain berpeluang beramah-mesra, sesi membahagikan gula-gula turut menggembirakan murid-murid yang sedang mengikuti pembelajaran di kelas.

Tidak lengkap penjelajahan tanpa mengunjungi Sonamarg yang terkenal sebagai salah sebuah lokasi yang mempersembahkan pemandangan salji yang paling indah. Usai bersiar, masa dihabiskan dengan menikmati mi segera ‘masala’ dan teh panas untuk menghangatkan tubuh.

Hari terakhir sebelum bertolak ke Delhi sepatutnya digunakan untuk melawat taman tulip namun disebabkan pilihan raya terbesar di dunia sedang berlangsung, semua lokasi pelancongan ditutup. Maka aktiviti menaiki ‘shikara’ atau sampan sambil membeli cenderamata menjadi penutup pengembaraan kami sepanjang enam malam di sini.

Cabaran baharu bermula sebaik sahaja kembali ke Delhi. Hilang sudah segala pemandangan indah dan masing-masing terkesima melihat kesesakan lalu lintas dan kenderaan yang bersimpang-siur di kota yang sibuk itu.

Penulis (berdiri, empat kanan) bergambar kenangan di depan Taj Mahal. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Lihat 7 keajaiban dunia

Selepas mendaftar masuk ke hotel, kami menuju ke stesen keretapi Hazrat Nizamuddin untuk ke Agra di mana terletaknya Taj Mahal.

Pengalaman duduk di koc kelas ketiga selama hampir 2 jam 30 minit memberi penulis perspektif baharu kerana pelbagai ragam dan sikap penumpang lain dapat disaksikan sepanjang perjalanan.

Menyelusuri setiap pelosok monumen cinta abadi Shah Jahan terhadap isterinya, Mumtaz sambil memakai sari bukanlah satu tugas yang mudah. Seawal jam 7 pagi, sudah ramai pelancong yang berpusu-pusu melawat salah satu daripada tujuh keajaiban dunia itu.

Mengagihkan gula-gula kepada murid-murid semasa mengunjungi sebuah sekolah di Aru, Kashmir. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Kami kemudiannya bergegas kembali ke hotel untuk mendaftar keluar dan saki-baki masa dihabiskan dengan mengunjungi Agra Fort sebelum menaiki tren untuk kembali ke Delhi.

Tidak lengkap kembara ke India tanpa drama apabila kami menjadi perhatian umum kerana berlari cuba mengejar tren yang sudah berlepas.

Tiket baru terpaksa dibeli dan berlakunya perselisihan faham antara kami dan konduktor ekoran perbezaan bahasa yang dituturkan. Walau bagaimanapun, masalah selesai apabila ‘duit kopi’ dihulurkan dan perjalanan diteruskan tanpa sebarang masalah.

Sementara menantikan penerbangan malam kembali ke Kuala Lumpur, masa dihabiskan dengan melawat India Gate, Agrasen Ki Baoli, Masjid Jama dan membeli-belah di Sarojini Nagar.

Sejujurnya, segala tanggapan negatif yang sering dilemparkan terhadap negara kedua terpadat di dunia ini tidaklah seteruk yang digembar-gemburkan.

Penduduknya peramah, murah dengan senyuman malah pemandu ‘auto’ juga mesra dan tidak lokek berkongsi cerita dan keunikan sejarah negara yang menjadi kebanggaan mereka.

Penulis ternyata bertuah kerana berpeluang menikmati keunikan India walaupun hanya dalam tempoh 10 hari.

Berita Harian X