Rabu, 25 September 2019 | 10:20am
Nikmati keindahan Cape Town

Melayu Cape Town teruskan tradisi dalam kelompok minoriti

Afrika Selatan, negara yang selama ini hanya dalam imaginasi, dilihat menerusi media elektronik dan dibaca menerusi bahan bercetak.

Tidak pernah terbayang akan menjejakkan kaki ke sini, pelawaan rakan untuk bercuti ke sini dipersetujui tanpa berfikir panjang memandangkan kebetulan pada masa sama adalah cuti sekolah.

“Perjalanan jauh namun tidak terasa kerana hati melonjak sama, Ingin berjumpa sanak saudara, Yang selalu bermain di mata”.

Mungkin bait-bait lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman sudah cukup untuk menggambarkan perasaan hati ketika itu.

Walaupun tidak mempunyai sanak-saudara di Afrika Selatan, masing-masing teruja merasai pengalaman baharu menyambut Aidiladha di perantauan begitu terasa.

Penulis tiba di Cape Town International Airport pada Sabtu, sehari sebelum sambutan Aidiladha, baru-baru ini. Oleh kerana kami tiba pada jam 9.25 pagi dan daftar masuk hotel hanya boleh dilakukan pada pukul 2.00 petang.

Kemudian kami dibawa ke Flea Market Bazaar untuk memenuhi masa, berkesempatan menyaksikan persediaan masyarakat Islam di Cape Town membeli-belah pada saat akhir.

Perjalanan kami dari Malaysia dibawa oleh Sharliz Travel. Peserta kemudian diuruskan oleh PTC Leisure kendalian Wan Abdullah Wan Salleh yang mempunyai 28 tahun pengalaman membawa pelancong ke Afrika Selatan.

Tudung turban jadi pilihan

Keadaan trafik menghala ke bazar agak sesak dengan kereta dan manusia. Suasana pasar meriah dengan laungan takbir dari corong radio.

Kelihatan gerai menjual keperluan raya seperti jubah, pelbagai jenis kacang, manisan, buah-buahan kering, makanan ringan dan tudung pelbagai gaya antaranya turban.

Tawaran harga istimewa diberikan dan suasana sungguh meriah, seperti bazar di Malaysia menjelang perayaan. Ramai bertanyakan asal kami memandangkan cara pemakaian dan fizikal agak berbeza dengan mereka.

Apabila diberitahu dari Malaysia, maklum balas mereka spontan, “Ahhh... Malaysia”. Sungguh mesra sekali layanan mereka bila mengetahui kami dari Malaysia.

Wan Abdullah (kiri) bersama pelancong Malaysia sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha di Bookap Cape Town

Di sini kami mencuba merasa sejenis masakan tempatan yang dipanggil Chilly Bites, dua biji dengan harga 5 Rand (RM 1.70). Ramai berbaris membelinya, rasa seperti cekodok dicampur potongan dadu kentang, serbuk kari dan cili.

Adunan tepung agak pedas dan lembut bahagian dalam, rangup bahagian luar. Harga makanannya agak murah berbanding Malaysia. Sepek strawberi pula dijual harga 5 Rand.

Kenakan busana Melayu

Untuk hari ini, kami hanya berbelanja sekitar 100 Rand (RM 27.00) untuk makan tengah hari iaitu set sotong dan kentang, chilly bites, oren (6 biji), air mineral 500 ml dan kacang (untuk ditabur kepada tupai). Bagi saya, sangat murah!.

(RM1 = ZAR 3.6623 ).

Menjelang Aidiladha, kami siap mengenakan busana hari raya ketika bersarapan di restoran hotel. Tetamu hotel warga asing yang sedang bersarapan memandang kami dengan penuh berminat.

Mungkin tergamam dengan kecantikan dan ketampanan memakai pakaian tradisi. Ketika itu kami perlu bergerak awal untuk ke masjid bagi memastikan masih ada tempat kosong untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Dalam keadaan sejuk, suhu sekitar bawah 20 darjah Celsius, diiringi angin, tak sanggup rasanya solat di luar masjid. Sejujurnya, menyambut Aidiladha di sini adalah pengalaman paling membahagiakan.

Menariknya adalah saya tidak berasa berada di dunia asing, sebaliknya rasa berada dekat dengan keluarga dan meraikannya bersama mereka.

Jemaah perempuan yang turut hadir di Masjid Bo-Kaap Cape Malay begitu mengalu-alukan kehadiran kami. Sebelum dan seusai mendirikan solat sunat Aidiladha, kami meluangkan masa mengabdikan kenangan bergambar dengan mereka.


Penulis (empat dari kiri), berhari raya di penempatan Melayu Cape Town Bookap, baru-baru ini.

Korban di ladang ternak

Sambutannya tidak banyak beza berbanding di tanah air, cuma kali ini saya tidak dapat menyaksikan aktiviti korban dan mengagihkan sendiri daging kepada golongan fakir miskin sebagaimana tahun lepas ketika saya merayakannya di Mongolia.

Saya diberitahu, di sini aktiviti korban dibuat di ladang ternak atau tempat dikhaskan. Sekembalinya ke Hotel Capetonian kami menjamu selera dengan juadah yang dibawa dari Malaysia.

Ada yang membawa nasi impit, kari ayam, rendang, tart nenas, serunding, wajik dan kuih muih. Sambil makan, lagu raya turut dipasang.

Kami turut mempelawa pemandu pelancong nikmati makan yang dibawa, daripada maklumbalas ternyata mereka menyukai makanan dari Malaysia.

Menyambut Aidiladha di sini ibarat kenangan manis yang terpahat dalam ingatan, iaitu meraikan salah satu hari kebesaran pada masa sama dapat melancong. Sesungguhnya, seminggu berada di sini memang tidak akan cukup.

Banyak lagi budaya masyarakat Afrika Selatan yang perlu diterokai. Di Cape Town sahaja terdapat 19 buah masjid. Memandangkan ramai umat Islam di sini, mencari sajian halal tidak sukar dan sajian juga pastinya memenuhi selera anda.

Berita Harian X