Selasa, 24 September 2019 | 11:52am
GAMBAR hiasan. - Foto Getty Images

Kembara solo wanita

KUALA LUMPUR: Hobi sebagai pengembara solo bukan suatu perkara yang mudah dilakukan terutama dalam kalangan wanita bagi meneroka pelbagai lokasi termasuk kawasan berisiko tinggi yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Namun setiap individu pasti mempunyai misi yang ingin mereka lakukan dalam sesuatu pengembaraan mereka.

Ini objektif yang cuba disampaikan pada penganjuran ketiga Persidangan Pelancong Wanita Pelancongan Asia Terbesar Zafigox 2019 yang bertemakan Temui, Pelajari, Berjumpa dan Pergi, baru-baru ini.

Pengasas Zafigox, Datin Paduka Marina Mahathir, berkata persidangan kali ini memfokuskan pengembaraan untuk wanita sahaja dengan menghimpunkan wanita pelbagai latar belakang, pakar pengembaraan dan agensi khidmat kembara.

Katanya, peserta di dalam dan luar negara berpeluang berkongsi cerita berkaitan hobi mengembara, destinasi baharu dan panduan aktiviti berkaitan.

“Kami menggalakkan lebih banyak pertumbuhan kumpulan sokongan komuniti dalam bidang kembara wanita yang saling menyokong dan berani menyahut pelbagai cabaran mengembara ke seluruh dunia bagi melaksanakan misi meningkatkan martabat wanita.

“Empat tema meliputi temui, pelajari, berjumpa dan pergi yang membawa maksud sangat luas serta memberi banyak manfaat kepada peserta,” katanya.

Marina berkata, persidangan itu diharap dapat memberi manfaat apabila panel berkongsi cerita pengembaraan, sekali gus mendapatkan pengalaman menjelajah dunia.


PENGASAS Zafigox, Datin Paduka Marina Mahathir berucap pada Persidangan Pelancong Wanita Pelancongan Asia Terbesar Zafigox 2019 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee

“Sebagai contoh, berkongsi kisah Marin Minamiya seorang pelajar universiti termuda yang memegang rekod dunia berjaya mendaki puncak tertinggi dunia, iaitu Gunung Everast dan mengembara ke Kutub Utara dan Kutub Selatan bagi melengkapkan kembara Grand Slam.

“Begitu juga peserta Indonesia, Nila Tanzil pula berkongsi kisah kembara solonya ke 42 negara dengan misi membina 100 perpustakaan mesra kanak-kanak yang kekal segar dalam hidupnya.

“Menariknya pelbagai pengalaman, cabaran, kejayaan adalah perspektif baharu yang dikongsi dalam mencapai matlamat untuk memperkasa dan memberi inspirasi wanita dalam perjalanan kembara mereka.

“Kami mahu menggalakkan wanita keluar daripada zon selesa, mengembara ke dunia luar dengan misi dan berasa bebas tanpa mengabaikan keselamatan.

“Zafigox sememangnya majlis yang berinformasi menyokong wanita mendapat idea, inspirasi mengembara secara berdikari dan selamat,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Jepun, Marin Minamiya, berkata kunci sesuatu kejayaan dalam misi pengembaraan adalah dapat mengawal setiap perjalanan mereka.

Katanya, pengembara yang mahu melakukan aktiviti seperti mendaki gunung memerlukan kekuatan mental dan fizikal bagi memastikan misi sampai ke puncak tercapai.

“Kita perlu bersemangat dan galakan orang sekeliling. Selain itu, motivasi dan inspirasi dari alam semula jadi itu sendiri yang akan membantu kita dalam misi pengembaraan,” katanya.

Marin turut berkongsi pengalamannya mendaki Gunung Kinabalu sehari sebelum hadir pada persidangan ini dianggap begitu menarik.

“Gunung Kinabalu adalah alam hadiah daripada Tuhan untuk kita semua belajar, keindahannya memanggil kita kepadanya, puncak Gunung Kinabalu sangat sejuk kerana sangat berkabus, tak nampak sangat cahaya matahari.

“Saya akan kembali ke Sabah untuk mendaki semula Gunung Kinabalu menggunakan laluan lain dalam masa terdekat ini dan saya sangat sukakan Sabah,” katanya.

Berita Harian X