Ahad, 8 September 2019 | 10:15am
Suasana indah pada waktu senja di Kampung Bantal.

Bantai ular besar

bhnews.com.my

KAMPUNG Bantal, iaitu sebuah perkampungan terbesar di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang mempunyai kisah menarik yang ramai tidak diketahui masyarakat, tambahan pula kedudukannya jauh di pedalaman.

Jika menyebut nama kampung itu, pasti orang terfikir ia mesti ada kaitan langsung dengan bantal, namun ia sebaliknya. Bagaimanakah tercetusnya nama unik kampung berkenaan?

Mengikut seorang penduduk tempatan, Japron Ali, 61, berkata pada masa dahulu terdapat seekor ular besar yang tinggal dan menyorok dalam satu alur di tebing Sungai Tembeling berhampiran kampung itu.

Katanya, ular itu amat ditakuti penduduk kerana sudah meragut ramai nyawa penduduk yang berperahu di sungai berkenaan.

“Setiap kali penduduk melalui sungai itu, ular itu akan menelan mangsa dan apabila kekenyangan ia tidak akan muncul,” katanya.


Penduduk Kampung Bantal, Japrong Ali. - NSTP/Roselan Ab Malek

Kampung Bantal mempunyai kisah menarik mengenai pemiik namanya.

Japron berkata, keadaan itu membimbangkan penduduk dan sentiasa berada dalam ketakutan setiap kali melalui sungai itu untuk mencari rezeki.

Katanya, ketua kampung ketika itu mengambil keputusan untuk memanggil penduduk bagi mengadakan mesyuarat bagaimana untuk menghapuskan ular besar itu.

“Akhirnya mereka mendapat idea untuk memerangkap ular terbabit. Lazimnya ular itu tidak muncul beberapa hari dan akan timbul semula jika kelaparan,” katanya.

Hasil perbincangan, penduduk sepakat membuat beberapa rakit menggunakan batang pisang dan di atasnya diletakkan patung orang-orang.

Penduduk kampung menghanyutkan rakit itu satu-persatu dan jika rakit itu tidak diganggu selang beberapa hari mereka akan menghanyutkan lagi rakit lain.

Tidak berapa lama ular itu muncul daripada alur di tebing sungai dan terus menggigit rakit batang pisang itu untuk memakan patung orang-orang yang dianggapnya manusia.

Jafron berkata, apabila ular itu menggigit, giginya melekat pada batang pisang berkenaan.

Ketua kampung mengarah anak buahnya bersedia menunggu di tebing sungai untuk membunuh ular besar itu sambil menjerit ‘bantai, bantai, bantai’ yang bermaksud pukul.

“Penduduk yang bersenjata parang, lembing, buluh dan kayu terus memukul ular itu sambil berteriak ‘bantai, bantai, bantai’ sehinggalah ular itu mati,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Japron berkata, sejak itu mereka mengambil sempena nama kampung itu dikenali sebagai kampung Bantai sempena dengan peristiwa memukul ular besar berkenaan.


Papan tanda Kampung Bantal yang menjadi mercu tanda yang menjadi tempat bergambar bagi pengunjung luar.

“Perkataan bantai jika di disebut berkali-kali dalam loghat daerah itu bunyinya seakan bantal dan ia kekal ke hari ini sebagai Kampung Bantal,” katanya.

Kampung Bantal adalah kampung yang terbesar di kawasan hulu sungai kerana di situ terdapat klinik kesihatan, pondok polis, sekolah dan Istana Sri Tembeling yang menjadi tempat berehat Sultan Pahang ketika melawat kampung itu dahulu.

Selain Kampung Bantal, mukim Ulu Tembeling juga mempunyai beberapa lagi kampung yang namanya juga unik dan menarik minat orang ramai untuk mengetahuinya, iaitu seperti Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Mat Daling, Kampung Kucing dan Kampung Gusai.

Mengenai Ulu Tembeling ia jauh dari Jerantut dan mempunyai kawasan yang paling luas iaitu 416,997,16 hektar, turut meliputi Taman Negara.

Kedudukan Ulu Tembeling ini juga paling pedalaman dan bersempadan dengan Terengganu dan Kelantan.

Kawasan itu hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai, Sungai Tembeling.

Namun begitu, kini kerajaan sedang melaksanakan projek jalan raya di kawasan terbabit dan sudah boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.

3636 dibaca
Berita Harian X