Ahad, 25 Ogos 2019 | 2:53pm
Pengalaman getir empat hari daki Gunung Tahan temui kepuasan dan pelbagai nikmat.
Pendaki meredah satu daripada empat sungai pada hari pertama pendakian ke Gunung Tahan.
Pemandangan menarik dari Kem Botak.
Tapak perkhemahan di Kem Kor.
Pendaki berehat sebentar sebelum meneruskan cabaran.
Situasi yang boleh dilihat di pekarangan pejabat Taman Negara Sungai Relau sebelum dan selepas ekspedisi menawan puncak bagi pengisytiharan barang.

Sujud syukur di puncak Tahan

‘HENDAK seribu daya, tak hendak seribu upaya’ - peribahasa tepat menggambarkan kesungguhan 26 pendaki ketika menjejaki trek ke puncak Gunung Tahan sejauh 64 kilometer (km) pergi balik menerusi laluan Merapoh-Merapoh (M2M) baru-baru ini.

Menerusi laluan atau rentis M2M yang mengambil masa empat hari, gunung tertinggi di Semenanjung dengan ketinggian 2,187 meter itu ditakluki dalam purata perjalanan 16 km sehari dengan mengambil masa antara enam hingga 10 jam setiap hari mengikut keupayaan pendaki.

Gunung Tahan yang terletak di sempadan dua negeri iaitu Pahang dan Kelantan boleh didaki dari Merapoh dan Kuala Tahan di Pahang.

Walaupun ketinggian Gunung Tahan lebih rendah berbanding Gunung Kinabalu, perlu diakui tahap kesukaran dan cabaran yang perlu dilalui pendaki untuk sampai ke puncak Tahan jauh lebih mencabar.

Pada awalnya penulis sedikit ragu untuk turut serta dalam misi pendakian pada 19 hingga 22 Julai lalu selepas mengamati pengalaman pendaki terdahulu yang menguar-uarkan Gunung Tahan sebagai ‘gunung tidak tertahan’.

Apatah lagi, kali terakhir penulis mendaki sambil berkhemah dengan membawa beban sendiri serta ‘ration’ adalah hampir tiga dekad lalu. Namun dengan latihan membina stamina serta dorongan pendaki lain, penulis tekad untuk menyahut cabaran kali ini.

Cabaran awal kami bermula sebaik menjejakkan kaki ke Taman Negara Pahang Sungai Relau di Merapoh apabila setiap pendaki perlu mengisytiharkan barang dibawa sepanjang pendakian bagi menjamin kelestarian alam sekitar dan bebas sampah.


Bergambar kenangan di Kuala Juram sebelum memulakan pendakian ke puncak Gunung Tahan.

Laluan yang perlu dilalui pendaki daripada Kem Belumut ke Kem Bonsai.

Antara kawasan yang perlu dilalui pendaki untuk naik dan turun dari puncak.

Cabaran bermula

Semua barangan itu perlu dibawa pulang ‘dengan selamat’. Ia sekali lagi perlu diisytiharkan kepada kakitangan Taman Negara selepas menamatkan ekspedisi pada hari keempat. Itupun jika tidak mahu berdepan dengan tindakan tegas termasuk ditahan sijil.

Kami yang ditemani tiga jurupandu Taman Negara, Zuhairi atau lebih dikenali sebagai Hairi, Asri Jaya (Tok Ampat) dan Zulkapli Sudin (Pokde) bergerak ke Kuala Juram sejauh 14 km dengan menaiki pacuan empat roda melalui jalan berturap.

Memulakan pendakian dari Kuala Juram kira-kira jam 11.15 pagi, perjalanan agak santai dengan meredah empat anak sungai sebelum tiba di Kem Lata Luis dua jam kemudian.

Selepas menikmati makan tengah hari yang dibeli dari warung di Merapoh ketika menikmati sarapan, pendakian semakin mencabar dengan ada kalanya laluan sedikit menegak.

Selepas mengharungi perjalanan selama empat jam, penulis tiba di Kem Kor untuk bermalam. Konsep tidur dalam khemah terbuka amat sesuai bagi mereka yang tidak bersedia memikul beg lebih berat.

Tanpa peralatan khemah lengkap sekalipun, kebanyakan pendaki perlu membawa beban antara 14 hingga 19 kilogram.

Kem Kor yang berada pada ketinggian 750 meter dari aras laut menjadi lokasi tumpuan pendaki kerana kawasan yang luas dan rata serta bersebelahan dengan sungai yang menyediakan sumber air mencukupi. Kawasan ini dikatakan mampu memuatkan lebih 100 pendaki pada satu-satu masa.


Pemandangan dari Kem Bonsai menuju ke Kem Botak.

Pendaki menuruni Kem Botak menuju ke Kem Bonsai sebelum meneruskan perjalanan ke Kem Kor untuk bermalam.

Pendaki terus diuji

Pendaki dinasihatkan tidur awal kerana cabaran lebih hebat menanti pada hari kedua dengan tempoh pendakian lebih panjang dan ia bermula tepat jam 8 pagi.

Sebaik melintasi sungai pada awal pendakian, pendaki ‘disapa’ Bukit Good Morning yang ‘menghadiahkan’ trek semakin sukar hingga ke Kem Permatang.

Untuk sampai di Kem Permatang yang terletak 2.5 km dari Kem Kor, ketika inilah kumpulan besar pendaki berpecah kepada beberapa kumpulan kecil mengikut tahap stamina masing-masing,

Perjalanan ke Kem Kubang yang terletak 3.5 km dari Kem Permatang semakin sukar dengan trek terus mencanak dan menegak.

Di Kem Kubang, pendaki berhenti rehat untuk menikmati bekalan makanan tengah hari yang dimasak di Kem Kor.

Jika perjalanan ke Kem Kubang dijanjikan dengan trek pacak, ke Kem Belumut dan Kem Bonsai, pendaki bukan saja menempuh laluan pacak, malah trek becak, selut dan lunyai setia menunggu.

Kem Belumut dan Kem Bonsai masing-masing terletak 1.5 km dan tujuh km dari Kem Kubang,

Ibarat perjalanan tanpa noktah, begitulah yang penulis rasakan ketika bergerak dari Kem Bonsai ke Kem Botak yang jauhnya hanya kira-kira tiga km.

Dengan mengerah segala kudrat, penulis akhirnya tiba di Kem Botak yang berada pada ketinggian 1,934 meter pada jam 7.30 malam. Kumpulan lebih padu mungkin tiba sebelum jam 6 petang.


Laluan sukar antara Kem Belumut ke Kem Bonsai.

Pemandangan menarik menanti pendaki.

Menikmati matahari terbit di puncak Gunung Tahan.

Lihat panorama di puncak

Kami dimaklumkan sehari sebelum itu, hujan di Kem Botak. Tidak dapat dibayangkan jika keadaan sama berlaku kerana kesejukan di Kem Botak menggigit tulang, tidak mampu turun ke telaga untuk membersihkan diri, hanya sekadar berwuduk.

Kesejukan bermalam di Kem Botak tidak begitu dirasai apabila pendaki ‘hanyut’ ditemani ribuan kerlipan bintang di langit.

Usai solat Subuh, masing-masing mempersiapkan diri untuk ke puncak yang jaraknya kira-kira dua km.

Selepas mengharungi laluan berbatu dengan mengambil masa hampir 45 minit, puncak Gunung Tahan akhirnya ditawan sambil menyaksikan keindahan matahari terbit dikelilingi awan karpet.

Tiada perkataan yang mampu mengungkapkan kegembiraan melainkan sujud syukur kerana dipinjamkan sedikit kekuatan oleh Allah SWT untuk tiba di puncak.

Menghirup udara segar di puncak dengan pemandangan yang mengagumkan adalah satu kenikmatan, keseronokan dan kepuasan yang sukar digambarkan.

Lupa seketika segala kepayahan, kesakitan dan kesengsaraan sepanjang pendakian. Namun perjalanan masih jauh, selepas sejam menjamu mata dan merakamkan gambar kenang-kenangan, pendaki bergerak turun ke Kem Botak untuk mengemas beg dan bersarapan sebelum bergerak ke Kem Kor.


Bersemangat sebelum memulakan pendakian ke puncak Gunung Tahan.

Pemandangan menarik dari puncak Gunung Tahan.

Menyusuri laluan pulang

Laluan sama menanti pendaki. Penulis mengalami kekejangan selepas berehat di Kem Kubang sehingga memaksa penulis memperlahankan langkah dan akhirnya selamat tiba di Kem Kor sebelum jam 5 petang.

Hujan renyai sejak petang sehingga tengah malam memaksa pendaki ‘berkampung’ dalam khemah masing-masing. Berbeza dengan malam pertama, hanya kumpulan kami yang berkhemah di Kem Kor pada malam ketiga.

Selepas menikmati sarapan, penulis memutuskan untuk bergerak lebih awal berbanding rakan lain kerana bimbang kaki kembali kejang.

Seawal jam 9.30 pagi, penulis mula menyusuri laluan ke Kuala Juram sebelum berhenti di Kem Lata Luis untuk makan tengah hari.

Perjalanan ke Kuala Juram lancar walaupun sesekali ditemani gerimis dan penulis akhirnya tiba di Kuala Juram jam 1 tengah hari, sekali gus menandakan tamatnya perjalanan getir selama empat hari.


Pendaki bersama sijil yang diterima dari Taman Negara.

Tergambar kegembiraan dalam kalangan pendaki wanita yang berjaya mengharungi cabaran ke puncak.

Berita Harian X