Isnin, 31 Disember 2018 | 7:04am
PENULIS bersama rombongan di Trans Studio Makassar. - Foto Norasikin Daineh

Terokai lokasi kota bersejarah di Makassar

Berkunjung ke kota Makassar di Sulawesi Selatan, Indonesia yang turut dikenali Ujung Pandang oleh penduduk setempat pasti menjanjikan pengalaman berbeza dan sukar dilupakan kerana pelbagai aktiviti menarik ditawarkan.

Tidak sama seperti Bandung, Jakarta, Bali atau Jogjakarta antara tempat popular yang sering dikunjungi rakyat Malaysia, Makassar tetap mempunyai tarikan tersendiri selain kaya nilai sejarahnya, malah penulis menggelarkan ia sebagai kota kegembiraan kerana semua tempat yang dikunjungi sesuai untuk semua peringkat umur.

Baru-baru ini penulis berpeluang mengikuti rombongan media bersama ejen pelancongan tempatan ke Makassar dan Toraja melalui program Familiarization Trip (Famtrip) anjuran Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau.

Melalui program tujuh hari itu, banyak lokasi dilawati antaranya dua taman tema Bugis Water Park dan Trans Studio Makassar, iaitu kedua-duanya memberi pengalaman yang menyeronokkan dan tidak dapat dilupakan.

Kolam berombak

Dengan bayaran masuk 150,000 rupiah bagi Isnin hingga Jumaat dan 200,000 rupiah pada hujung minggu (anggaran antara RM40-RM60), pengunjung tidak akan kecewa dengan permainan air disediakan di Bugis Waterpark kerana bukan saja selamat, malah sesuai untuk pelbagai peringkat umur terutama kanak-kanak.

Antara paling menarik adalah kolam berombak seperti pantai yang boleh menghasilkan enam variasi ombak termasuk bergulung atau bergelombang sehingga setinggi dua meter.


KOLAM berombak antara tarikan paling unik bagi pengunjung yang berkunjung ke Bugis Water Park, Makassar. - Foto Norasikin Daineh

Turut disediakan permainan gelongsor air dan pelbagai jenis kolam termasuk untuk kanak-kanak.

Trans Studio Makassar pula tidak kurang hebatnya kerana ia satu-satunya taman tema yang ada di Indonesia Timur.

Dengan bayaran masuk sama seperti Bugis Waterpark, ia menyediakan 22 permainan untuk pengunjung di semua stesen yang berkeluasan 24 hektar ini.

Lihat asal usul kaum di Sulawesi

Penulis sempat merasai sendiri pengalaman mendebarkan menaiki Giant Swing yang boleh membuatkan jantung seakan-akan mahu gugur sebaik hayunan ke kiri dan kanan sehingga lebih 90 darjah.

Selain itu, di taman tema ini disediakan permainan siri jelajah seperti rumah hantu, Dragon Tower, Track Safari dan persembahan drama musikal bertemakan 'Bollywood'.

Bagi yang meminati sejarah dan ingin tahu asal usul kaum yang ada di Sulawesi Selatan seperti Makassar, Bugis, Toraja dan Mandar, penulis cadangkan singgah ke dua muzium yang terkenal dengan sejarah berkaitan Makassar dan kerajaannya terdahulu iaitu kerajaan Gowa.

Penulis dibawa melawat Muzium Balla Lompoa antara lokasi wajib dikunjungi pelancong yang gemar dengan sejarah kerana ia sebuah istana peninggalan kerajaan Gowa dan di dalamnya dipamerkan mengenai asal usul serta keturunan suku kaum di Sulawesi Selatan.


KETE Keso iaitu tempat pemakaman etnik Toraja. - Foto Norasikin Daineh

Aktiviti membeli-belah

Muzium Lagaligo pula menyimpan koleksi sejarah kesenian, peralatan masyarakat tradisional yang digunakan pada zaman dahulu dan peralatan serta pakaian suku di wilayah ini.

Tidak lengkap berkunjung ke Makassar jika tidak membeli-belah. Antara menjadi pilihan penulis dijadikan ole-ole dari Makassar sudah tentu batik Indonesia yang murah dan boleh didapati dengan harga serendah RM18 sehelai bagi kemeja batik lelaki serta kain tenunan sutera.

Selain itu, pelbagai jenis kuih-muih tradisi yang boleh dijadikan ole-ole seperti kuih Baje' iaitu sejenis makanan tradisional Bugis di Sulawesi Selatan yang dibuat menggunakan tepung beras, gula dan kelapa sebelum dibungkus dengan daun serta dijual di pasar atau kedai ole-ole.

Semua ole-ole ini biasanya dijual dengan harga berpatutan di Jalan Somba Opu iaitu barisan kedai menjual barangan kraf atau dikenali toko kerajinan bagi penduduk sekitarnya.

Nikmati pelbagai makanan tradisional

Makanan harus dicuba di Makassar termasuk Coto Makassar yang agak sinonim bagi rakyat Sabah kerana ia antara makanan tradisional suku Bugis, khususnya di pantai timur Negeri di Bawah Bayu.

Jika ingin bersantai, penulis cadangkan pergi ke Pantai Losari yang tidak pernah 'mati' pada waktu malam terutama hujung minggu kerana di sepanjang tepi pantai itu terdapat gerai makanan menjual pisang eppe' iaitu pisang separuh masak disalai dan dipenyet sebelum ditabur hirisan halus keju serta dilapisi manisan.

Sambil makan, pelbagai aktiviti menarik boleh dicuba pengunjung di Pantai Losari antaranya merakamkan gambar bersama ular sawa dan penulis sempat merakamkan gambar bersama sekumpulan anak muda memakai pelbagai kostum adiwira dengan bayaran 20,000 rupiah (RM6) untuk pelbagai aksi.

INFO

Mengenai Makassar

* Turut dikenali sebagai Ujung Padang

* Ibu kota bagi Selatan Sulawesi dan sebagai kota yang terbesar di kawasan Indonesia Timur

* Ada pelbagai etnik seperti suku Makassar, Bugis, Toraja, Mandar, Buton, Jawa dan Tionghua.

* Makanan popular coto Makassar, roti maros, jalangkote, kue tori. pisang ijo dan pelbagai sup

Bagaimana ke Makassar?

- Dari Sabah khususnya di Tawau, perjalanan ke Makassar boleh melalui penerbangan dari Tawau ke Tarakan sebelum mengambil penerbangan terus ke Makassar dan hanya transit sekejap di Balik Papan.

- Dari Kuala Lumpur, penerbangan terus ke Makassar disediakan dan sekiranya mahu singgah ke Jakarta boleh juga melaluinya sebelum tiba di wilayah itu.

Berita Harian X