X
Ahad, 29 Julai 2018 | 11:40am

Terapi hilang tekanan

MENERIMA jemputan bagi melengkapkan 10 permainan paling ekstrim menerusi cabaran Splash and Trill into The Summer di taman tema bersepadu, Sunway Lagoon, hati teruja tetapi berbelah bahagi.

Mana tidaknya, melihat permainan yang disenaraikan, jantung berdegup kencang meskipun sudah lama mengimpikan aktiviti dikategorikan 'gila' terutama Bungee Jump.

Sekali seumur hidup untuk menguji tahap adrenaline diri, itu pendirian kami. Menjadi pembakar semangat, pada masa sama mahu merasai pengalaman cemas yang menyeronokkan sambil merakamkan video terjunan sebagai kenangan.

Sebaik tiba jam 10 pagi, kami diberi taklimat ringkas mengenai cabaran Splash and Trill into The Summer yang berlangsung sehingga 16 Ogos ini.

Memulakan cabaran pertama di Amusement Park, kami teruja menaiki roller coaster sepanjang 360 meter (m) yang hanya mengambil masa tiga minit untuk satu pusingan di trek Lost City of Gold Scream Coaster. Jeritan mula melantun, suasana riuh rendah tatkala gerabak yang memuatkan seramai 20 orang mula menuruni laju trek 75 darjah.

Itu hanya permulaannya kerana sembilan lagi cabaran wajib dilepasi!

Meskipun pernah mencuba permainan Pirate's Revenge sebelum ini, jantung tetap mengepam laju. Kapal lanun ini dikemudi ke depan dan belakang beberapa kali sebelum berpusing 360 darjah dan berhenti seketika dengan ketinggian di udara 24 meter.

Tidak cukup itu, cabaran The Tomahalk tidak kurang gentarnya apabila permainan ini juga dihayunkan 360 darjah. Namun sedikit lega, kerana ia hanya sekitar tiga minit berbanding tujuh minit menaiki Pirate's Revenge, apatah lagi pendulum yang memuatkan seramai 32 orang ini mempunyai kerangka tempat duduk bertutup, sekali gus meredakan gemuruh atau dihantui andaian buruk.

Ketinggian minimum permainan ini mencapai 1.4 meter. Namun, debaran tetap dan degupan jantung tetap laju kerana permainan ekstrim membabitkan ketinggian bukan suatu yang biasa.

Cara terbaik membakar lemak

Namun, menurut satu kajian menarik di United Kingdom, mengharungi lima cabaran permainan ekstrim mampu membakar 700 kalori iaitu bersamaan 2.5 hidangan nasi lemak.

Jadi, aktiviti di taman tema adalah cara terbaik untuk membakar lemak!

Kajian berkenaan juga mengukur kadar jantung, pernafasan dan keupayaan mengemudi cabaran mendebarkan, pantas dan dramatik di samping memberi keutamaan dalam aspek kesihatan dan keselamatan.

Dengan tarikan hampir 90 permainan menyeronokkan, Sunway Lagoon yang dibuka sejak 1992 di tengah kota metropolitan sememangnya tempat terbaik bagi melepaskan tekanan. Selain menikmati pelbagai keseronokan lain yang disediakan, pengunjung yang melakukan permainan ekstrim tidak perlu segan untuk menjerit semahunya.

Selepas melengkapkan tiga cabaran pertama di Amusement Park, kami menguji rasa gayat dengan berjalan merentasi jambatan gantung sejauh 420m untuk menuju ke Ekstreme Park yang turut menempatkan pusat Bungee Jump.

Permainan paling ekstrim pertama dan menggerunkan di taman ini ialah G-Force X. Sudah tentu, selepas menyaksikan video pengunjung lain yang melantun sehingga ketinggian lebih 65 meter dalam tempoh 120 saat, membuatkan hati tertutup untuk melakukannya.

Beberapa krew Sunway Lagoon mengambil masa lebih 20 minit memujuk kami untuk mengharungi cabaran yang menggunakan mesin antigraviti berkenaan. Namun, oleh kerana tugasan, kami merelakan diri untuk mencubanya.

Terlebih dulu, borang diisi, berat badan ditimbang dan penerangan diberikan bagi memastikan pengunjung yang ingin menaiki G-Force X dan Bungy Jump bebas dari sebarang penyakit berbahaya seperti jantung dan darah tinggi.

Sebaik melabuhkan punggung di mesin G-Force X yang memuatkan dua orang, nyawa terhenti seketika apabila mesin mula melantun tubuh kami hingga ke puncak udara. Pelbagai perasaan bercampur baur, seram, ngeri, dan gayat membuatkan salah seorang daripada kami menangis kerana terlalu takut.

Namun ketika dibawa turun kami sempat tertawa sambil mengintai juga panorama indah sekitar Subang Jaya.

Humban tubuh ke tasik

Terus teruja menguji tahap keberanian, seorang dari kami mencuba terjunan Bungy Jump pada ketinggian 21 meter. Biarpun kaki sudah dibalut tuala tebal dan diikat rapi dengan tali, namun lutut tetap menggeletar.

Perasaan sedikit tertekan biarpun mendapat disorak pengunjung lain yang memberikan sokongan. Lebih 30 minit berdiri di hujung papan, akhirnya Mahani memberanikan diri menghumbankan seluruh tubuh ke tasik hijau beriak tenang. Ketika itulah adrelin memuncak, tubuh automatik menjadi statik dan seakan tidak percaya mampu melakukannya.

Sebaik hampir di permukaan tasik, bot dengan seorang krew menghulurkan pendayung untuk disambut. Dalam tempoh kurang tiga minit, segalanya selesai. Syukur! Itulah babak paling cemas berbanding perasaan menyertai aktiviti ekstrim lain.

Meluncur basah

Selepas berehat makan tengahari dan solat Zohor, kami memulakan aktiviti air. Tidak lengkap kunjungan ke laguna ini andai tidak mencuba Monsoon 360 yang perlu dilakukan secara individu di dua dua gelongsor yang berasingan. Dengan kiraan 3, 2, 1! ia cukup mendebarkan kerana tubuh seperti terjerumus laju ke dalam lubang yang dalam.

Tanpa disedari tubuh sudah meluncur dengan kelajuan 60 kilometer sejam menuruni bukit dan selekoh yang tidak tahu di mana penghujungnya membuatkan diri makin sukar untuk menggambarkan apa yang dirasai ketika itu.

Permainan ini terletak di Nickelodeon Lost Lagoon, iaitu taman tema kreatif di Sunway Lagoon serta menjadi taman tema Nickelodeon pertama di Asia, hasil kerjasama strategik bersama Viacom International Media Networks Asia.

Tidak cukup itu, kami turut mencuba beberapa permainan luncur air iaitu di Cameroon Climb dan Vuvuzela yang turut menguji tahap keberanian ketika menggelungsur menggunakan pelampung dari paras tinggi. Memang menyeronokkan.

Belajar tenang dengan menyelam

Menggunakan kesempatan masa yang ada, kami sempat menyertai kelas asas skuba di Scuba Diving in The City di kala ratusan pengunjung sedang teruja menunggu untuk bermain ombak yang dilepaskan hanya 20 minit pada jam 4.20 petang.

Namun, bukan itu misi utama kami kerana belajar menyelam lebih menarik. Selain mask dan fin, kami diberikan peralatan menyelam lengkap seberat 15 kilogram yang turut digunakan penyelam profesional iaitu Buoyancy Control Device (BCD) yang berfungsi seperti jaket keselamatan; Scuba Regulator Set untuk pernafasan di dalam air yang disambungkan dengan tangki oksigen serta Scuba Weight Belt yang berfungsi untuk menenggelamkan badan di dalam air.

Salah seorang dari kami pernah mengikuti kelas asas skuba di Pulau Tioman sebelum ini. Dengan pengetahuan asas, ternyata ia mudah walaupun kadang kala terasa cemas.

Namun dek kerana sudah terbiasa bernafas menggunakan hidung, agak sukar bagi mereka yang pertama kali bernafas menggunakan mulut ketika menyelam. Cemas, takut dan bimbang lemas menyelubungi diri kerana apabila sesuatu berlaku, penyelam tidak boleh bergerak laju.

Apa yang kami pelajari, penyelam perlu sentiasa berada dalam keadaan tenang, bijak mengawal pernafasan menerusi mulut malah perlu peka dengan keadaan sekeliling. Penggunaan bahasa isyarat memainkan peranan penting dalam berkomunikasi bersama pasangan di dalam air.

Terletak bersebelahan pusat skuba, kami mengakhiri cabaran 10 permainan ekstrim Splash and Trill into The Summer dengan meluncur air di Flow Rider. Seakan meluncur di atas papan luncur baik di atas tanah ataupun salji, ternyata luncur di atas air tidak semudah disangka.

Selepas tiga kali gagal melakukan luncur air, akhirnya penulis berjaya menyeimbangi badan dan menggerakkan papan luncur di atas tekanan air seakan ombak kuat.

Walaupun pengalaman ini boleh dirasai di tempat lain dengan lokasi yang berbeza, namun kesemua permainan yang disediakan di dalam satu taman tema ini ternyata tidak sama. Ia bagaikan sempurna apabila berjaya melakukan kesemua permainan ekstrim sangat mencabar dalam satu tempat di Sunway Lagoon saja.

INFO

Cabaran Splash and Trill into The Summer

* 16 Julai - 16 Ogos ini

* 10 permainan ekstrim - Monsoon 360, G-Force X, Bungy Jump, Flow Rider, Cameroon Climb, Vuvuzela, Tomahawk, Pirates' Revenge, Lost City of Gold Scream Coaster dan Scuba Diving in the City.

Bungy Jump

* 21 meter : ketinggian

* Bayaran tambahan : RM75.50 (pemegang MyKad) dan RM130.20 (pelancong asing)

G-Force X

* 65 meter ketinggian

* mesin antigraviti yang melantun ke udara dalam tempoh 120 saat

* Bayaran RM30.20 (pemegang MyKad) RM60.40 (pelancong asing)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X