Ahad, 22 Julai 2018 | 5:31pm

Penerokaan gua

KEINDAHAN dan keunikan gua mempunyai keasyikan tersendiri yang pasti memberi kepuasan, lantas ia menjadi antara aktiviti lasak yang digemari pengembara untuk diterokai.

Ekspedisi meneroka itu bukan sesuatu yang mudah kerana setiap gua mempunyai pelbagai bentuk, arca semula jadi antaranya stalaktit yang tergantung dan stalakmit memukau pandangan.

Namun, dalam keterujaan itu, pengembara perlu utamakan keselamatan, berkemahiran dan maklumat mengenai sesuatu gua untuk mengelak tragedi tidak ingini.

Insiden 12 remaja dan seorang jurulatih bola sepak pasukan 'Wild Boar' terperangkap di dalam gua Tham Luang, di wilayah Chiang Rai, Utara Thailand seharusnya dijadikan iktibar peneroka gua supaya kejadian seumpama itu tidak menimpa mereka.

Kejadian remaja berusia antara 11 hingga 16 tahun dan jurulatih berumur 25 tahun terperangkap kerana hujan lebat menghalang laluan mereka berpatah balik.

Gua dinaiki air dan mengalami banjir teruk menyebabkan mereka tersekat selama 18 hari di kawasan sempit dan digenangi air, bekalan oksigen semakin berkurangan dan tiada bekalan makanan, hanya sekadar meminum air di kawasan berhampiran.

Dapatkan maklumat

Bagi peminat peminat aktiviti lasak, tragedi sebegitu harus dijadikan pengajaran untuk memastikan ekspedisi penerokaan gua dilakukan dengan lebih terancang dan bersistematik.

Peneroka gua, Zainal Abidin Othman berkata, sebelum memulakan ekspedisi, mereka disaran mengenal pasti terlebih dahulu gua yang ingin diterokai dengan mendapatkan maklumat dalam pelbagai segi termasuk langkah diambil sekiranya berlaku musibah.

"Di Malaysia beriklim tropika dan tidak mustahil mudah berlaku hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir dan sesetengah kawasan mudah mengalami tanah runtuh yang pasti berbahaya untuk aktiviti lasak seperti ini.

"Kita lupa dengan leka melihat keindahan stalagtait dan stalagmait serta hidupan seni di dalam gua, tanpa disedari air naik mendadak.

"Tambahan pula, kebanyakan gua di negara ini, memiliki anak sungai. Justeru, saya menasihatkan mereka lebih berhati-hati," katanya.

Negara ini banyak gua diwartakan sebagai produk pelancongan. Bagi memudahkan pengunjung memasukinya, pihak kerajaan membina laluan bersimen, papan tanda, jambatan, lampu pada laluan dan lampu dinding gua.

Ini pasti menggamit orang ramai memasukinya bagi melihat keindahan stalaktait dan stalagmait yang pelbagai bentuk kejadiannya.

Walaupun indah dan unik, gua juga didiami hidupan lain seperti lipan, cacing, ulat-ulat, serangga, burung layang-layang serta kelawar.

Pantang larang

Seperti hutan belantara dan laut, gua juga mempunyai pantang larang yang harus dihormati pengunjung. Jangan membuat bising kerana ia boleh mengganggu ketenteraman penghuni di dalamnya.

Ada yang berpendapat gua dihuni makhluk halus, jangan sesekali cakap sebarangan atau takbur kerana ia boleh 'mengganggu' pengunjung yang lemah semangat.

Malah, ada sesetengah peneroka gua begitu berani apabila mengambil peluang untuk 'berbual' dengan makhluk ghaib di dalamnya. Hanya mereka yang berhati keras mampu melakukannya, tetapi yang lemah semangat jangan sesekali mencubanya.

Kebiasaan gua untuk pelancong, pengunjung boleh memakai pakaian bersukan, kemeja T dan kasut sukan.

Perlu ada kemahiran

Cuma kalau mahu aktiviti yang mencabar individu perlu memakai pakaian yang lebih sesuai seperti 'overall'. Pada masa sama, memiliki kemahiran dan bukannya semberono.

Peralatan keselamatan pula bergantung di sesetengah kawasan yang sempit, basah, tajam dan curam. Saranan supaya tidak membawa barang tambahan. Cuma keperluan peribadi yang bersesuaian seperti topi keledar, lampu suluh dan kasut adalah peralatan keselamatan yang utama.

Setiap aktiviti lasak khususnya ada ratio untuk setiap kumpulan bagi seorang jurupandu dan bergantung juga pada tempat dan masa. Kebiasaannya untuk tempat yang mempunyai risiko yang tinggi, jurupandu akan mengawal setiap pergerakan secara individu.

Malaysia kaya dengan produk pelancongan yang boleh diterokai termasuk keadaan alam semula jadinya yang menarik. Antara produk pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai ialah gua.

Di bawah antara gua terkenal di negara ini yang sering dikunjungi pelancong domestik dan antarabangsa.

Gua Air Jernih, di Taman Negara Mulu, Sarawak.

Antara gua yang paling panjang di Asia Tenggara apabila turut ada beberapa anak sungai yang dingin dan air jernih.

Ia dikatakan memiliki jaringan lebih 80 anak sungai yang bersambung-sambung dan jika tidak berhati-hati akan tersesat apabila melaluinya.

Justeru, pengunjung diminta meletakkan tanda pada dinding gua atau menyewa jurupandu berpengalaman sekiranya berhajat menerokainya jauh ke dalam gua.

Gua Batu Maloi, Johol, Negeri Sembilan

Laluan mencabar kerana perlu merentasi laluan sempit di celah-celah batu yang bertindih antara satu sama lain.

Terletak di tengah-tengah lembah di antara penghujung Banjaran Titiwangsa iaitu Gunung Datok dan Gunung Tampin, di kawasan Hutan Lipur Gua Batu Maloi di Kampung Tanggai, Johol.

Gua batu granit sepanjang 2.3 kilometer dan dianggap terpanjang di Malaysia turut menyaksikan pengunjung terpaksa basah kuyup apabila meredah laluan berair dan tidak sesuai dimasuki apabila musim hujan.

Cabaran menanti sebaik memasuki gua berbatu ini ialah bentuk muka buminya sangat berbeza. Ada kawasan yang penuh air sehingga perlu menyelam, melompat antara batu ke batu, merangkak, meniarap, menggelongsor, berenang, memanjat semua kena buat dalam air dan di celah-celah batu terutamanya arus air deras di bawah gua.

Menurut penduduk di sini, gua itu adalah perkampungan orang bunian dan lelaki Orang Asli bernama Malai berkahwin dengan anak gadis bunian berkenaan dan tinggal di gua itu.

Panggilan Maloi adalah sempena nama lelaki Asli berkenaan yang lebih selesa disebut orang.

Di dalamnya terdapat Gua Kelawar (banyak burung kelawar), Gua Kapal (batu seakan layar kapal), Gua Dewan (luas kawasan boleh menempatkan 200 orang), Bayaran masuk ke dalam gua berkenaan RM45-RM70

Gua Kelam

Dahulunya, Gua Kelam terletak di Perlis terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih bermutu tinggi. Gua ini dijadikan jalan penghubung antara penduduk Wang Kelian dan Kaki Bukit, di negeri itu.

Meliputi terowong semula jadi sepanjang 370 meter yang di dalamnya ada jambatan gantung dan di bawahnya terdapa anak sungai yang air mengalir ke Sungai Perlis.

Gua Kelam dinamakan sempena dengan keadaannya di mana kedudukannya di kaki bukit dan suasana kelam yang sentiasa menyelubungi gua ini.

Semasa berjalan di dalam gua, kita akan dapat mendengar bunyi anak sungai bawah tanah, bersama dengan bunyi kelawar dan titisan air daripada stalaktit, seakan membentuk persembahan konsert semula jadi.

Bunyinya agak menyeramkan, ditambah pula dengan misteri dahulunya gua ini pernah didiami oleh orang Zaman Batu.

Gua Tempurung

Gua kapur terletak di Gopeng, Perak mengambil sempena bentuknya seperti tempurung kelapa.

Ia lima kubah besar pada siling yang menyerupai tempurung kelapa dengan setiap kubah mempunyai bentuk stalagmit dan stalaktit yang berbeza.

Di pertengahan gua ini terdapat stalagmit yang berbentuk seperti gergasi. Malah, potret seorang wanita berambut panjang sehingga ke paras lutut dengan mata seolah-olah menjeling ke arah kita terpampang pada dinding gua. Jika diamati seakan hasil karya agung Leonardo Da Vinci, Monalisa.

Ramai pengunjung cuba mengambil foto, tetapi amat menghairankan hasilnya kabur seolah-olah kurang pencahayaan, padahal di situ terang.

Selain itu, terdapat 25 lagi objek yang hampir menyerupai anggota badan haiwan, manusia dan tumbuh-tumbuhan, di dalam gua yang mempunyai jarak 1.9 kilometer itu.

Pengunjung boleh menemui objek menyerupai wajah anak lembu, biawak komodo, mulut buaya, bungkusan nasi lemak dan lambang berbentuk hati yang seolah-olah muncul di dinding gua.

Gua Nasib

Gua Nasib Bagus atau dikenali Sarawak Chamber, di Mulu, Sarawak dilabelkan sebagai 'Discovery Cave' memerlukan peneroka yang berkemahiran kerana bentuknya tinggi.

Gua Kota Gelanggi di Jerantut, Pahang

Merangkumi tujuh gua iaitu Kota Tongkat, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Rehut, Kota Jin dan Kota Kepayang yang membawa maksud negeri berada di bawah Kota Gelanggi purba.

Malah, gua ini menjadi tempat persembunyian pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau dan Tok Gajah ketika menentang Inggeris suatu ketika dahulu. Malah, selain berlindung daripada serangan askar Inggeris.

Gua Kota Gelanggi menjadi lokasi pertapaan dua pahlawan berkenaan.

Tip memasuki gua

- Sebelum menerokai gua sila rujuk keadaan cuaca dengan Jabatan Meteorologi negeri dan kawasan berhampiran,

- Sila melapor diri kepada renjer atau pegawai Jabatan Perhutanan

- Maklumkan jumlah anggota kumpulan menyertainya

- Sekiranya ingin berkhemah beritahu berapa lama.

- Sarung pakaian yang sesuai meneroka gua.

Berita Harian X