Sabtu, 3 September 2022 | 3:00pm
Azrel menjelaskan, dia masih menerima tawaran watak utama dalam drama. Foto IG Azrel Ismail
Azrel menjelaskan, dia masih menerima tawaran watak utama dalam drama. Foto IG Azrel Ismail

Azrel bangga Eva bersaing di Festival Filem Cannes

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih membanggakan Azrel Ismail, 38, apabila filem lakonannya, Eva, terpilih sebagai pemenang filem kategori 'thriller' dan 'suspense' bagi pertandingan bulanan anjuran Festival Filem Cannes, baru-baru ini.

Berikutan kemenangan itu, Eva akan ditayangkan pada Festival Filem Cannes 2023 dan dicalonkan merebut anugerah Filem Terbaik bagi kategori sama.

Biarpun bukan pelakon utama, Azrel berbangga menjadi sebahagian daripada filem yang menampilkan teraju utama Nadia Brian dan Nadia Aqilah itu.

"Biarpun tidak memegang watak utama, sudah tentu saya berbangga. Ini kali pertama filem lakonan saya sampai ke luar negara.

"Ketika menjayakan penggambaran filem ini, saya sudah rasakan naskhah ini agak berbeza kerana jalan cerita berat dan pembikinannya hebat.

Azrel berbangga menjadi sebahagian daripada filem Eva yang menampilkan teraju utama Nadia Brian dan Nadia Aqilah itu. Foto IG Azrel Ismail
Azrel berbangga menjadi sebahagian daripada filem Eva yang menampilkan teraju utama Nadia Brian dan Nadia Aqilah itu. Foto IG Azrel Ismail

"Saya boleh katakan Eva adalah kisah yang sangat menarik untuk ditonton di pawagam kelak," katanya kepada BH Online.

Azrel berkata, filem Eva mengetengahkan jalan cerita berbeza daripada filem Melayu lain, malah, mampu menandingi filem antarabangsa.

"Pada awalnya, naskhah ini adalah projek supertelefilem, namun akhirnya, ditukar menjadi filem.

"Mungkin perubahan itu disebabkan kualiti kerana pengarah, Suhaiza Aziz menjadikan skrip daripada sebuah filem luar negara sebagai rujukan.

"Disebabkan itulah, pembikinan filem ini sangat berkualiti terutama dari segi jalan cerita. Malah, loksai penggambaran cantik, tidak seperti filem Melayu lain.

"Selain itu, bajet untuk filem ini juga bagus," katanya.

Azrel berkata, Suhaiza menjadikan filem Jerman sebagai rujukan, selain meneliti pembikinan filem dari Itali dan Sepanyol.

Filem Eva mengisahkan Eva, Amy dan Mike sebagai individu sama, namun, terperangkap dalam satu tubuh.

Azrel yang ditemui pada majlis sidang media teater Maduku Terpaling Kalut di ibu negara, baru-baru ini, mula berlatih memegang watak Selamat.

Bertanya sama ada karier lakonannya terjejas dek kemunculan ramai bakat baharu sehingga dia menerima tawaran menjayakan projek teater, Azrel menjelaskan, dia masih menerima tawaran watak utama.

Namun, dia perlu memilih tawaran mengikut kesesuaian cerita berikutan enggan terpalit dengan kritikan watak dibawa tidak sesuai.

"Cukuplah sekali saya dikecam kerana menjayakan watak pelajar dalam drama tayangan Ramadan, dua tahun lalu.

"Sekarang, saya pilih watak sesuai dengan usia dan tidak mahu mencetuskan kontroversi.

"Apa yang pasti, saya masih laku dan terima tawaran menjayakan watak utama dalam drama. Cuma, saya lihat pada kesesuaian watak itu.

"Secara jujurnya, saya tidak pernah rasa karier lakonan merudum dengan kehadiran ramai pelakon baharu.

"Alhamdulillah, saya masih bertahan dalam industri dan mungkin dilihat agak merudum kerana tiada gosip cinta," katanya.

Selain Azrel, Teater Maduku Terpaling Kalut arahan Azhar Zainal membariskan pelakon baharu dan lama iaitu Puteri Sarah Liyana, Anna Jobling, Syafiq Naser, Aya Amiruddin dan Curly Jow.

Edisi ketiga teater ini akan dipentaskan mulai 29 September hingga 2 Oktober di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya.

Dalam perkembangan lain, Azrel bersyukur jadual kerjanya padat dengan penggambaran sehingga November depan.

Malah, Azren sedang menimbang beberapa tawaran lakonan yang akan membuatkan dia sibuk hingga tahun depan.

Berita Harian X