X
Sabtu, 18 Januari 2020 | 9:57am
PANGLIMA Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, (tengah) bersama pengarah filem Bakara Adrian Teh, (empat dari kanan) dan barisan pelakon yang akan membintangi filem berkenaan di Padang Kawad Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanize, Kem Lapangan Terbang. - Foto Nor Farhani Che Ad
PANGLIMA Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, (tengah) bersama pengarah filem Bakara Adrian Teh, (empat dari kanan) dan barisan pelakon yang akan membintangi filem berkenaan di Padang Kawad Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanize, Kem Lapangan Terbang. - Foto Nor Farhani Che Ad

Bakara papar peristiwa sebenar di Mogadishu

SUNGAI PETANI: Tentera Darat Malaysia (TDM) bakal menghasilkan filem memaparkan peristiwa sebenar pertempuran membabitkan anggota tentera Malaysia di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, pada 1993.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, berkata filem bertajuk Bakara itu akan diarahkan Adrian Teh, yang sebelum ini terbabit mengarah filem Paskal dan Wira.

Beliau berkata, pihaknya yakin Bakara mampu direalisasikan dengan jayanya selepas melihat kejayaan dua filem terdahulu arahan Adrian.

“Sebelum ini kita menolak empat tawaran dari beberapa syarikat produksi untuk menjadikan kisah ini sebagai filem, namun kali ini kita terbuka hati untuk melakukannya.

“Kita berharap filem ini dapat membawa sudut berbeza berbanding dengan apa yang ditunjukkan dalam sebuah filem antarabangsa sebelum ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Penerbitan Filem Bakara di Padang Kawad Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanize, Kem Lapangan Terbang, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, filem berkaitan pertempuran itu pernah diterbitkan Hollywood di bawah judul ‘Black Hawk Down’, namun hanya memaparkan pertempuran membabitkan tentera Amerika Syarikat sahaja.

Hasbullah berkata, filem Bakara akan dibuat berdasarkan maklumat daripada anggota tentera Malaysia yang terbabit secara langsung dalam pertempuran itu.

“TDM akan memberi kerjasama dari aspek teknikal, peralatan, pakaian seragam keanggotaan, persenjataan serta khidmat rundingan.

“Kita harap filem ini akan menjadi salah sebuah filem yang boleh menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, sekali gus menaikkan jati diri serta semangat cintakan negara,” katanya.

Sementara itu, pengarah filem berkenaan, Adrian berkata, beliau berasa terpanggil mengarahkan filem berkenaan berikutan kejadian dan fakta sebenar pertempuran yang berlaku pada tanggal 3 dan 4 Oktober 1993 itu tidak begitu diketahui orang ramai.

“Memandangkan ini adalah misi berprofil tinggi membabitkan anggota TDM, kita merancang membawanya ke layar perak bagi menyampaikan cabaran, peranan dan pengorbanan tentera Malaysia dalam misi ini kepada masyarakat.

“Penggambaran filem ini dijadualkan bermula Jun depan dan tayangannya dijangka pada Ogos 2021,” katanya.

Filem yang bakal membabitkan kos kira-kira RM20 juta itu, bakal dibintangi barisan pelakon tempatan seperti Bront Palarae, Shaheizy Sam, Remy Ishak, Hairul Azreen dan Fauzi Nawawi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X