X
Sabtu, 21 Disember 2019 | 7:07am
Filem Ejen Ali The Movie akan menemui penonton di Indonesia mulai 1 Januari 2020. - Foto ihsan Primeworks Studios dan Wau Animation
Filem Ejen Ali The Movie akan menemui penonton di Indonesia mulai 1 Januari 2020. - Foto ihsan Primeworks Studios dan Wau Animation

Ejen Ali pungut RM25 juta, ditayangkan di Indonesia 1 Januari

KUALA LUMPUR: Filem Ejen Ali The Movie terus menunjukkan kemampuan bersaing dengan judul antarabangsa apabila memungut RM25 juta selepas tiga minggu menemui penonton di pawagam.

Kutipan hebat berkenaan dicatatkan karya terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu hasil tayangannya di negara ini, Singapura dan Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata mereka amat gembira atas sokongan diterima daripada semua pihak terhadap filem animasi berkenaan.

“Setiap tiket yang dibeli dan setiap maklum balas yang dikongsi oleh mereka menjadi penyumbang utama kepada pencapaian ini.

“Sambutan luar biasa yang diterima daripada penonton Ejen Ali The Movie di Malaysia turut membuka ruang dan peluang kepada kami untuk terus berkembang serta melebarkan sayap ke negara jiran, Indonesia,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin, pula berkata pencapaian filem terbabit di Malaysia mewujudkan gelombang fenomena yang turut dirasakan di negara jiran berkenaan.

“Kami menerima pelbagai maklum balas daripada peminat di Indonesia. Rata-rata bertanya mengenai tarikh tayangan filem animasi ini di pawagam negara mereka.

“Bukan itu sahaja, ada peminat tegar Ejen Ali sanggup terbang dari Indonesia ke sini, semata-mata untuk menonton filem ini. Kami sangat terharu dengan sokongan yang diterima,” katanya.

Usamah juga mengumumkan, Ejen Ali The Movie akan memasuki pawagam terpilih di negara terbabit, mulai 1 Januari depan.

“Sempena kedatangan tahun baharu 2020, filem ini akan ditayangkan di Indonesia mulai 1 Januari di CGV, Flix Cinemas, Kota Cinema dan Cinemax,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X