Isnin, 7 Oktober 2019 | 4:34pm
Eddin Syazlee (dua dari kanan) melancarkan filem biopik romantik Hasmah di MATIC, Kuala Lumpur. Turut serta Ahmad Idham (kiri), Hafiz Rozlan, Nad Zainal dan Hasnul Rahmat. Foto NSTP Rohanis Shukri.

Sutradara Habibie Ainun bakal arah filem Hasmah?

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Habibie Ainun, Faozan Rizal menjadi antara empat calon sutradara yang dijangka mengemudi projek pembikinan filem biopik dan percintaan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berjudul Hasmah.

Penerbit dari Tune Production, Hafiz Rozlan memberitahu, selain Faozan, tiga pengarah tempatan yang turut dipertimbangkan untuk menggalas tanggungjawab itu adalah Erma Fatima, Kabir Bhatia dan Osman Ali.

“Filem Habibie Ainun arahan Faozan menjadi rujukan kami dalam menerbitkan filem ini. Untuk menghasilkan filem biopik dan membabitkan negarawan terulung seperti Dr Siti Hasmah, kita tak boleh buat ala kadar.

“Setiap calon yang terpilih, kita lihat dari segi pencapaian, latar belakang dan pendidikan. Mereka yang terpilih ini mempunyai kriteria itu.

“Ada juga nama yang tercalon dicadangkan penggiat industri kerana mereka lebih arif mengenai perkara itu,” katanya kepada pada majlis pra pelancaran dan sidang media filem Hasmah di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nazri.

Filem Hasmah yang dianggarkan membabitkan kos antara RM6 juta hingga FM7 juta menampilkan pelakon Hasnul Rahmat, Nad Zainal dan Zamarul Hisyam.

Hafiz berkata, empat nama sutradara terbabit adalah senarai cadangan yang akan dirujuk kepada Dr Siti Hasmah untuk mendapatkan kelulusan.

“Nama yang disenaraikan hanya cadangan. Keputusan akan dibuat selepas mendapat persetujuan Dr Siti Hasmah dalam satu pertemuan yang dijadual minggu ini,” katanya.

Hasmah mengisahkan perjalanan hidup dan kisah romantik Dr Siti Hasmah bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penggambaran dijangka bermula Mac depan membabitkan beberapa lokasi termasuk New York, Amerika Syarikat (AS). Filem Hasmah dijangka menemui penonton, akhir tahun hadapan.

Berita Harian X