Ahad, 15 September 2019 | 11:02am
PELAKON dan penerbit pada majlis tayangan filem Sangkar di Petaling Jaya. - NSTP/Rohanis Shukri

Penerbit yakin penonton Sangkar bertambah selepas UPSR tamat

KUALA LUMPUR: Musim peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berakhir, Khamis lalu, dijangka meningkatkan lagi jumlah kehadiran penonton ke pawagam untuk menyaksikan filem Sangkar.

Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai, berkata pihaknya menerima permintaan daripada golongan ibu yang berharap, tayangan filem berkenaan tidak dikurangkan walaupun selepas minggu kedua.

“Melihatkan maklum balas di laman sosial, kami dapati ramai ibu bapa teruja membawa anak mereka mengikuti filem berkisar seni bela diri campuran (MMA) ini kerana ia menonjolkan isu kekeluargaan dan perjuangan insan.

“Cuma, kebetulan tayangannya hampir serentak dengan UPSR, jadi ada dalam kalangan mereka belum berpeluang ke pawagam berikutan memberi tumpuan kepada anak yang membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

“Ada yang melayangkan mesej peribadi ke laman sosial kami dengan menyatakan harapan masing-masing agar tayangan filem itu tidak dikurangkan, selain meminta promosi jelajah membabitkan pelakon utamanya turut diadakan di kawasan mereka,” katanya.

Filem Sangkar arahan Kabir Bhatia yang menghangatkan panggung wayang sejak 29 Ogos lalu meraih RM7.2 juta hanya dalam tempoh 10 hari tayangan.

Ia mencipta sejarah dalam industri perfileman apabila diterbitkan empat syarikat perfileman tempatan iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.

Selain Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah sebagai teraju utama, atlet profesional MMA, James ‘Sledgehammer’ McSweeney, turut ditampilkan dalam naskhah berkenaan.

Berita Harian X