Isnin, 19 November 2018 | 5:39pm
SHAHEIZY Sam

Tonton dulu baru hukum - Shaheizy Sam

KUALA LUMPUR: Bintang utama filem Polis Evo 2, Shaheizy Sam memberi jaminan, filem sekuel berkenaan tidak mempunyai unsur penghinaan terhadap umat Islam seperti dicetuskan beberapa pihak sebelum ini.

Shaheizy yang ditemui di lobi Parlimen, hari ini berkata, sebagai pelakon, sudah pasti beliau akan meneliti skrip yang diberikan sebelum melakonkan sebarang babak supaya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

“Jangan terlalu cepat menghukum treler filem yang hanya berdurasi selama dua minit. Saya jamin tiada langsung unsur penghinaan terhadap Islam.

“Hanya kerana seseorang itu berserban, tidak bermaksud adalah Islam. Sama juga sekiranya seseorang pakai sari, belum tentu dia seorang India,” katanya.

Shaheizy turut berharap isu berkenaan tidak akan dipolitikkan kerana filem berkenaan sudah pun melalui proses penapisan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) serta Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri.

“LPF juga terdiri daripada ramai orang Islam. Jadi, kalau mereka rasa benda itu sensitif atau menghasut ramai orang untuk mempercayai agama Islam seperti yang diperkatakan, saya pasti mereka tidak akan lepaskan (Polis Evo 2).

“Jadi, filem ini sudah dapat kelulusan LPF. Mufti pun sudah tengok. Sebenarnya tiada masalah,” katanya.

Sebelum ini, anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Riduan Md Nor menggesa orang ramai memboikot filem arahan Joeh Soh dan Andre Chiew itu kerana didakwanya memberi gambaran buruk kepada Islam.

Katanya, cadangan memboikot filem itu adalah untuk memberi pengajaran kepada penerbit, pengarah dan pelakon yang berada dalam industri seni negara ini supaya menghargai nikmat keamanan negara dan hormati perasaan umat Islam.

Polis Evo 2 akan ditayangkan di pawagam pada 22 November ini dan Riduan membuat kenyataan berkenaan berdasarkan kepada pembacaan terhadap sinopsis filem berkenaan saja.

Selain Shaheizy dan Zizan Razak yang membawa watak utama, Polis Evo 2 juga menampilkan Hasnul Rahmat, Soffi Jikan dan Syafie Naswip sebagai antara pelakon yang menjayakan filem berkenaan.

Berita Harian X