Rabu, 14 November 2018 | 8:31pm
PELAKON utama Polis Evo 2, Shaheizy Sam (kiri) bersama Zizan Razak. - Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
PELAKON utama Polis Evo 2, Shaheizy Sam (kiri) bersama Zizan Razak. - Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

Polis Evo 2 tiada unsur burukkan imej Islam - LPF

PUTRAJAYA: Lembaga Penapis Filem (LPF) mengesahkan filem Polis Evo 2 tidak mengandungi sebarang elemen yang boleh ditafsirkan sebagai memberi imej buruk terhadap agama Islam.

LPF, dalam satu kenyataan, memaklumkan filem berbentuk fiksyen itu didapati tiada percanggahan dengan peruntukan Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Lembaga Penapis Filem telah menonton tapis filem ‘Polis Evo 2’ dan memberi keputusan Lulus Bersih (LB) dengan klasifikasi P13 untuk tayangan pawagam,” menurut kenyataan LPF hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, filem berkenaan menjadi kontroversi susulan perkongsian di media sosial mendesak penonton memboikot filem Polis Evo 2 yang didakwa menampilkan imej umat Islam sebagai pengganas.

Menurut kenyataan itu, filem Polis Evo 2 memaparkan kisah dua pegawai polis yang mengintip pergerakan ketua sindiket pengedar dadah di sebuah pulau.

“Dalam operasi itu, mereka terperangkap dengan insiden serangan kumpulan pengganas yang menawan dan menjadikan penduduk pulau berkenaan sebagai tebusan.

“Secara keseluruhan, filem itu mengisahkan usaha polis untuk membanteras kegiatan jenayah dan menyelamatkan orang awam yang terbabit dalam insiden keganasan yang dipaparkan,” katanya.

Berita Harian X